Dolla terus melakar pencapaian membanggakan apabila diumumkan sebagai antara artis yang bakal menggegarkan pentas antarabangsa menerusi penyertaan mereka di The A Festival Paris 2026, yang akan berlangsung di Perancis pada 24 dan 25 Oktober depan.
Pemilihan trio yang dianggotai Sabronzo, Tabby dan Angel itu bukan sahaja mengukuhkan reputasi mereka di peringkat global, malah membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan bakat serta karya muzik Malaysia kepada khalayak antarabangsa menerusi festival yang menghimpunkan artis, peminat dan penggiat industri muzik dari seluruh dunia.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh penganjur, Envol Production, yang menyifatkan Dolla sebagai antara kumpulan pop dari Asia Tenggara yang berjaya mencorakkan identiti tersendiri dalam landskap muzik moden.
Menerusi hantaran di Instagram rasmi mereka, penganjur memuji kekuatan Dolla yang tampil dengan persembahan penuh tenaga, keberanian meneroka idea kreatif serta identiti artistik yang cukup menyerlah.
"Dolla terus menetapkan penanda aras baharu dalam industri muzik, selain berjaya meraih jutaan peminat dan mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan pop paling berpengaruh di Asia Tenggara," menurut kenyataan yang dikongsikan.
Dolla dijadualkan membuat persembahan pada 24 Oktober 2026, sekali gus menjadi antara wakil Malaysia yang bakal membawa nama negara ke pentas The A Festival Paris 2026, sebuah festival berprestij yang menghimpunkan barisan artis dari pelbagai negara.
.png)


0 Ulasan