KILAUAN EMAS SELEBRITI TAMPIL WAJAH BAHARU

Selepas lebih sedekad menjadi platform mencungkil bakat golongan berusia, program realiti popular Kilauan Emas kembali dengan pembaharuan terbesar dalam sejarah penganjurannya apabila buat julung kalinya menghimpunkan 10 selebriti veteran menerusi edisi khas Kilauan Emas Selebriti 2026.

Tampil bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Astro, musim terbaharu itu mengetengahkan barisan personaliti terkenal tanah air yang bukan penyanyi profesional, sekali gus membuka ruang kepada mereka merealisasikan impian beraksi di pentas nyanyian.

Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, berkata perubahan format itu dilakukan bagi menyuntik kelainan kepada jenama Kilauan Emas tanpa mengubah matlamat asal program berkenaan sebagai platform mencungkil bakat baharu.

"Kilauan Emas kembali dengan format baharu sempena ulang tahun Astro yang ke-30. Sebelum ini konsepnya memberi peluang kepada orang awam menerusi format Zero to Hero, namun kali ini kami melakukan perubahan dengan memberi peluang kepada selebriti.

"Kami melihat ramai selebriti veteran masih aktif dalam industri hiburan dan mempunyai minat mendalam terhadap bidang nyanyian, namun tidak pernah berpeluang mengetengahkan bakat mereka. Jadi, kami menyediakan pentas untuk mereka merealisasikan impian itu," katanya.

Menurut Idlan, pemilihan peserta tidak terhad kepada pelakon semata-mata, sebaliknya turut membabitkan personaliti daripada pelbagai latar belakang termasuk pengacara, pembaca berita, ahli sukan, cef dan penganalisis yang dikenali ramai.

Beliau berkata, semua peserta perlu memenuhi syarat ditetapkan iaitu berusia 50 tahun dan ke atas, warganegara Malaysia, bukan penyanyi profesional, tidak pernah menjalani latihan nyanyian secara profesional serta tidak pernah menghasilkan atau menerbitkan album muzik.

Mengulas tanggapan sesetengah pihak yang menyamakan program itu dengan Gegar Vaganza (GV), Idlan menjelaskan kedua-dua program mempunyai konsep yang berbeza.

"GV adalah platform untuk penyanyi profesional membuat kemunculan semula, manakala Kilauan Emas diwujudkan bagi memberi peluang kepada mereka yang berusia mengejar impian menjadi penyanyi.

"Kali ini, peluang itu diberikan kepada selebriti yang sudah dikenali ramai, tetapi bukan penyanyi profesional," katanya.

Sementara itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh, berkata Kilauan Emas Selebriti 2026 bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya membawa misi kemasyarakatan menerusi konsep 'Talent That Gives Back'.

Beliau berkata, setiap kemenangan mingguan akan disusuli dengan sumbangan kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan melalui inisiatif Astro Kasih, sekali gus menjadikan pertandingan itu sebagai platform yang meraikan bakat sambil menyemai nilai kebajikan.

"Program ini bukan sekadar mencari juara, tetapi turut memberi peluang kepada peserta menyumbang semula kepada komuniti seni yang banyak berjasa kepada industri hiburan negara," katanya.

Bagi menghidupkan elemen nostalgia, musim baharu itu turut memperkenalkan segmen 'Telan Kaset', yang akan menampilkan kemunculan artis legenda tanah air pada setiap minggu.

Segmen berkenaan diwujudkan bagi mengimbau kenangan peminat terhadap lagu-lagu malar segar selain menyuntik nilai sentimental yang menjadi antara identiti Kilauan Emas sejak diperkenalkan.

Mengemudi program ialah Raja Azura, yang kembali sebagai hos selepas pernah mengacarakan Kilauan Emas dari musim pertama hingga musim kelima. Beliau digandingkan bersama Keanu Azman sebagai rakan pengacara.

Barisan juri tetap pula dibarisi Datuk Yusry Abdul Halim dan Jihan Muse, manakala seorang juri jemputan akan diundang pada setiap minggu bagi melengkapkan proses penilaian.

Persembahan peserta akan diadili menerusi gabungan 80 peratus markah panel juri profesional dan 20 peratus undian penonton, yang boleh dibuat secara dalam talian menerusi platform Astro Gempak.

Selain siaran utama, penonton turut berpeluang mengikuti perkembangan peserta menerusi Diari Kilauan Emas Selebriti 2026, yang akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat bermula 17 Ogos, memaparkan latihan vokal, persiapan pentas dan kisah di sebalik tabir pertandingan.

Podcast Kilauan Emas Selebriti yang dihoskan penyampai SINAR, Faliq, pula akan menemui penonton bermula 14 Ogos dengan perkongsian eksklusif mengenai perjalanan hidup serta pengalaman para peserta.

Kilauan Emas Selebriti 2026 akan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama tujuh minggu bermula 22 Ogos, setiap Sabtu, jam 9 malam menerusi Astro Prima (saluran 105) serta boleh distrim melalui Astro GO, On Demand dan Sooka.

Catat Ulasan

0 Ulasan