Ketika industri hiburan Asia Tenggara terus berkembang pesat, ramai bakat baharu masih berdepan cabaran untuk mengembangkan kerjaya di luar negara akibat kekangan akses kepada media, rangkaian industri, peluang komersial dan platform promosi serantau.
Menyedari keperluan itu, Fast Track Entertainment (FTE), anak syarikat kepada Fast Track Group, memperkenalkan LAUNCHPAD, sebuah platform pembangunan artis yang memberi tumpuan kepada pengalaman persembahan secara langsung sebagai pemangkin membantu artis meningkat naik membina nama di peringkat serantau.
Dibangunkan bersama rakan penjenamaan, Sony Music Malaysia, LAUNCHPAD menghubungkan artis dengan peminat, media, jenama dan rakan industri menerusi siri persembahan eksklusif berskala intim, selain diperkukuhkan dengan kandungan digital asli, liputan media serantau dan kerjasama strategik yang mampu memperluaskan peluang komersial serta meningkatkan keterlihatan artis di seluruh Asia Tenggara.
Pelancaran rasmi platform itu berlangsung di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) dengan kehadiran wakil media, rakan industri serta artis antarabangsa termasuk kumpulan wanita K-Pop KIIRAS dari Korea Selatan, kumpulan pop UPRIZE dari Vietnam dan penyanyi, komposer, pelakon, pengarah serta penerbit terkenal Malaysia, Yusry Abdul Halim.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fast Track Entertainment, Harris Lim, penubuhan LAUNCHPAD merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi syarikat untuk membina ekosistem hiburan yang saling berhubung di seluruh Asia Tenggara.
Katanya, meskipun rantau ini muncul sebagai antara pasaran hiburan yang berkembang pesat di dunia, masih ramai artis meningkat naik berdepan kesukaran mengembangkan kerjaya di luar negara berikutan akses yang terhad kepada media, jaringan industri dan peluang kerjasama komersial.
"LAUNCHPAD merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan visi kami untuk membina ekosistem hiburan yang saling berhubung di seluruh Asia Tenggara. Kami percaya seseorang artis dapat berkembang dengan lebih cepat apabila mereka dapat berhubung secara langsung dengan audiens baharu menerusi pengalaman persembahan secara langsung yang istimewa.
"Menerusi siri persembahan eksklusif berskala intim, LAUNCHPAD menghubungkan artis bersama peminat, media, jenama dan rakan industri. Disokong oleh kandungan digital asli, kerjasama jenama serta kolaborasi serantau, kami membuka peluang komersial baharu yang mempercepatkan perkembangan artis dan meluaskan pengaruh mereka ke pasaran serantau di luar negara asal.
"Ini hanyalah permulaan dan kami berharap dapat terus mengembangkan LAUNCHPAD ke seluruh rantau ini," katanya.
Berbeza daripada program pembangunan artis konvensional, LAUNCHPAD dibangunkan sebagai sebuah platform yang menggabungkan persembahan secara langsung, pendedahan media, kandungan digital asli, kerjasama jenama dan jaringan industri dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.
Melalui pendekatan itu, setiap siri showcase bukan sekadar menjadi pentas persembahan, sebaliknya berfungsi sebagai platform memperkenalkan artis kepada audiens baharu, membina pengaruh di peringkat serantau dan membuka peluang kerjasama komersial yang lebih luas.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan secara langsung daripada KIIRAS, UPRIZE dan Yusry Abdul Halim, selain sesi temu bual eksklusif bersama media yang memberi peluang kepada tetamu mengenali lebih dekat konsep serta hala tuju LAUNCHPAD.
Turut mencuri perhatian ialah kemunculan KIIRAS, kumpulan wanita K-Pop yang semakin mencipta nama di pentas antarabangsa. Kumpulan yang dianggotai enam ahli itu terus mengukuhkan populariti menerusi single terbaharu TA TA yang meraih lebih 10 juta tontonan dalam tempoh kurang seminggu, selain mencatat sejarah apabila Ling Ling muncul sebagai rakyat Malaysia pertama mengetuai kumpulan K-Pop wanita.
Sementara itu, UPRIZE, kumpulan pop lelaki Vietnam yang dianggotai tujuh ahli, semakin mendapat perhatian selepas menjuarai program realiti Show It All. Album sulung mereka, THĂNG, turut menduduki tangga teratas carta iTunes Vietnam, selain merakam lagu tema rasmi kejohanan e-sukan APL 2026 dan membuat persembahan di Vietnam International Fashion Week.
Tidak ketinggalan, kehadiran Yusry Abdul Halim sebagai wakil Malaysia turut menyerlahkan aspirasi LAUNCHPAD untuk menghimpunkan nama-nama berpengaruh dan bakat baharu dalam satu platform serantau. Sebagai anggota kumpulan legenda KRU, beliau terus dikenali sebagai antara figura paling disegani dalam industri hiburan tanah air menerusi kejayaan dalam bidang muzik, perfileman dan televisyen sepanjang lebih tiga dekad.
Selepas pelancaran rasmi ini, LAUNCHPAD akan diperkenalkan secara berperingkat menerusi siri showcase di seluruh Asia Tenggara bermula penghujung 2026 hingga awal 2027. Setiap edisi akan disokong oleh liputan media serantau, kandungan digital asli, kerjasama jenama dan aktiviti bersama peminat bagi mempercepatkan perkembangan artis, memperkukuh keterlihatan mereka serta membuka lebih banyak peluang komersial di peringkat serantau.
Melalui pendekatan menyeluruh itu, LAUNCHPAD menyasarkan untuk menjadi platform yang bukan sahaja membantu artis memperluaskan kelompok peminat, malah membina kerjaya yang lebih mampan dan berdaya saing, sekali gus mengangkat potensi industri hiburan Asia Tenggara ke pentas yang lebih tinggi.

.png)

%20UPRIZE.png)


0 Ulasan