SHEILA MAJID KINI BERGELAR DATO' SRI

Penyanyi legenda tanah air, Sheila Majid, kini bergelar Dato' Sri selepas dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran berkenaan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan, semalam.

Pengiktirafan itu menjadi satu lagi pencapaian membanggakan dalam perjalanan seni Sheila yang telah mewarnai industri muzik selama lebih empat dekad. Namun, bagi penyanyi yang dikenali sebagai Ratu Jazz Negara itu, anugerah berkenaan bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya simbol penghargaan terhadap seluruh penggiat seni yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan industri hiburan negara.

Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid meluahkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas pengurniaan tersebut, selain merakamkan penghargaan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang serta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.

"Saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah ke hadrat Ilahi atas pengurniaan ini.

"Menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur atas pengiktirafan yang begitu bermakna ini.

"Saya percaya pengurniaan ini bukan hanya untuk saya, tetapi turut melambangkan penghargaan kepada semua anak seni tempatan yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan industri seni negara," katanya.

Sheila merupakan antara penerima Darjah SSAP sempena ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Khabar gembira itu turut dikongsikan suaminya yang juga pemuzik terkenal, Dato' Hashridz Murshim Hassim atau lebih dikenali sebagai Acis, menerusi satu hantaran di Instagram.

Acis menyifatkan pengurniaan itu sebagai penghormatan yang amat layak diterima Sheila atas segala jasa, pengorbanan dan dedikasinya sepanjang bergelar anak seni. 

"Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah SWT dan setinggi-tinggi tahniah kepada isteri saya yang dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP), yang membawa gelaran Dato' Sri.

"Sesungguhnya, anugerah ini amat layak diterima atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan yang diberikan kepada kita semua.

"Kami sekeluarga amat berbangga dengan pencapaian dan penghormatan yang diraih ini," tulisnya.

Menerusi perkongsian sama, Acis turut memuat naik beberapa foto ketika menghadiri istiadat berkenaan, termasuk gambar kenangan bersama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sepanjang lebih 40 tahun bergelar anak seni, Sheila terus dikenang sebagai antara penyanyi paling berpengaruh di Malaysia dan Indonesia menerusi deretan lagu malar segar seperti Sinaran, Legenda, Antara Anyer dan Jakarta, Warna serta Pengemis Muda.

Beliau juga melakar sejarah apabila menjadi antara artis Malaysia terawal yang berjaya menembusi pasaran Jepun pada era 1980-an dan 1990-an, sekali gus membuka laluan kepada pengiktirafan muzik tempatan di peringkat antarabangsa.

Sepanjang kariernya, Sheila menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Industri Muzik (AIM) serta dinobatkan sebagai Ikon Seni. Sehingga hari ini, beliau masih aktif mengadakan persembahan di dalam dan luar negara.

Ini bukan kali pertama anak kelahiran Kuala Lumpur itu menerima darjah kebesaran daripada Kerajaan Negeri Pahang. Pada Oktober 2008, Sheila dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato', sebelum kini dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang melayakkan beliau menyandang gelaran Dato' Sri, sekali gus mengukuhkan lagi legasi seorang ikon muzik yang terus disegani di persada seni tanah air.

Catat Ulasan

0 Ulasan