DOLLA BERKOLABORASI DENGAN F.HERO MENERUSI G.O.A.T

Selepas lapan bulan menyepi, kumpulan wanita popular, Dolla, kembali menghangatkan industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu berjudul 'G.O.A.T', hasil kolaborasi sulung bersama ikon rap Thailand, F.Hero.

Lebih daripada sekadar kemunculan semula, karya itu menandakan permulaan era baharu Dolla yang disifatkan paling berani sepanjang perjalanan seni mereka, sekali gus mencerminkan aspirasi kumpulan terbabit untuk mengembangkan pengaruh ke seluruh Asia Tenggara dan pasaran antarabangsa.

Single berkenaan diterbitkan oleh penulis lagu dan penerbit dari Norway, Audun Agnar Guldbrandsen yang pernah menghasilkan lagu antarabangsa seperti I AM dan Kitsch nyanyian IVE.

Turut ditulis bersama Erika Dahlen, Amanda Liedberg, Stian Nyhammer Olsen serta F.Hero, 'G.O.A.T' menggabungkan produksi pop yang mantap dengan elemen rap penuh karakter, selain mengangkat mesej mengenai keyakinan diri, keberanian menjadi diri sendiri serta kekuatan mengharungi cabaran tanpa membiarkan keraguan menguasai diri.

Kolaborasi bersama F.Hero turut menjadi langkah strategik Dolla dalam usaha mengembangkan sayap ke Thailand yang disifatkan antara pasaran muzik paling dinamik di Asia Tenggara.

Sebagai antara figura hip-hop paling berpengaruh di negara itu, F.Hero menyuntik identiti dan karisma tersendiri ke dalam lagu berkenaan, sekali gus menghasilkan gabungan unik antara muzik pop Malaysia dan hip-hop Thailand. Kolaborasi itu juga membuka peluang kepada Dolla untuk mendekati khalayak lebih luas di peringkat serantau.

"Bekerjasama dengan F.Hero memang satu pengalaman yang sangat menarik kerana gaya muziknya sangat berani dan penuh karakter, dan itu selari dengan arah baharu yang kami ingin tampilkan menerusi 'G.O.A.T'.

"Kami juga rasa F.Hero benar-benar membawa semangat lagu ini. Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin, manakala dia pula membawa tenaga yang lebih garang dan kuat. Kontras itu menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi satu dimensi baharu," kata Dolla.

Seiring dengan perubahan arah muzik, Dolla turut tampil dengan transformasi visual paling berani menerusi 'G.O.A.T'. Meninggalkan imej glamor yang sinonim dengan mereka sebelum ini, kumpulan itu memilih konsep lebih edgy, penuh karakter dan berani, selari dengan semangat lagu yang mengangkat keyakinan untuk menjadi diri sendiri.

Daripada penggayaan fesyen berimpak tinggi hingga visual sinematik, setiap elemen kreatif yang diketengahkan membawa mesej jelas bahawa keyakinan bukan sesuatu yang perlu diperoleh daripada pengiktirafan orang lain, sebaliknya lahir daripada kekuatan diri sendiri.

"'G.O.A.T' adalah tentang keyakinan yang diperoleh hasil daripada segala usaha dan cabaran yang telah dilalui. Ia bukan sekadar tentang menjadi yang terbaik, tetapi tentang menghargai perjalanan yang membentuk siapa diri kami hari ini.

"Era ini benar-benar mencerminkan siapa kami sekarang, bukan sahaja sebagai individu tetapi juga sebagai Dolla. Kami ingin menampilkan sisi yang lebih matang, lebih berani dan lebih yakin dengan identiti sendiri. Kami mahu orang melihat bahawa kami tidak takut mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa bersedia untuk melangkah lebih jauh," katanya.

Sebagai antara kumpulan wanita paling berpengaruh di Malaysia, Dolla terus membuktikan mereka bukan sekadar mengikut arus, sebaliknya berani mencipta haluan sendiri menerusi eksplorasi muzik dan identiti yang lebih matang.

'G.O.A.T' bukan sekadar sebuah single, malah menjadi simbol keberanian kumpulan itu untuk terus berkembang, bereksperimen dan memperluaskan horizon muzik menerusi sentuhan produksi bertaraf antarabangsa serta kolaborasi merentas sempadan yang mengukuhkan lagi pengaruh mereka di pentas serantau.

Mengulas perancangan selepas pelancaran 'G.O.A.T', Dolla menyifatkan karya itu sebagai permulaan kepada satu era baharu yang akan terus berkembang.

"Ini memang era yang kami teruja untuk teruskan. Peminat boleh menjangkakan lebih banyak persembahan, konsep-konsep menarik dan tentunya lebih banyak muzik baharu daripada kami.

"Kami juga tidak sabar untuk menjayakan persembahan di Paris Oktober ini, yang merupakan satu pencapaian besar buat Dolla. Konsep ini benar-benar menggambarkan siapa kami hari ini, jadi peminat akan terus melihat sisi Dolla yang lebih berani, lebih yakin dan lebih matang pada masa akan datang," katanya.

Single 'G.O.A.T' kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama. 

Catat Ulasan

0 Ulasan