NOH SALLEH & AUBREY SUWITO BERKONGSI PENTAS

Dalam landskap muzik tempatan yang sentiasa berevolusi, Noh Salleh kekal berdiri sebagai antara figura paling berpengaruh dalam membentuk identiti muzik alternatif Malaysia. Lebih dua dekad berkarya, penyanyi, komposer dan penulis lagu berusia 41 tahun itu bukan sekadar dikenali menerusi karakter vokalnya yang tersendiri, malah diraikan kerana keupayaannya menghasilkan karya yang merentasi zaman serta terus menemukan tempat di hati pendengar pelbagai generasi.

Keberanian bereksperimen dengan pelbagai genre, daripada rock alternatif, folk dan pop hinggalah jazz, bossa nova serta elemen sinematik, menjadikan setiap karya ciptaannya memiliki identiti yang sukar ditandingi. Lagu-lagu seperti Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam bukan sekadar mencatat kejayaan komersial, malah menjadi antara karya yang membentuk perjalanan muzik alternatif tanah air.

Kini, perjalanan seni yang dibina dengan konsisten itu bakal memasuki satu lagi fasa penting menerusi konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra, yang akan berlangsung di Idea Live Arena pada 8 November depan.

Dianjurkan bersama Altus ProHouse dan CK Star Entertainment, konsert berkenaan menyatukan dua figura yang mempunyai falsafah muzik tersendiri. Jika Noh dikenali dengan karya yang sarat emosi dan penceritaan, Aubrey Suwito pula membawa kepakaran menghasilkan susunan muzik orkestra yang sering mengangkat sesebuah karya ke tahap lebih dramatik dan sinematik.

Persembahan itu juga menjadi konsert solo kedua Noh dalam format orkestra selepas kejayaannya bergandingan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu. Bezanya, kali ini skala produksi lebih besar dengan pendekatan artistik yang dibangunkan khusus bagi memberikan pengalaman mendengar yang lebih mendalam kepada penonton.

Menerusi persembahan itu, karya-karya ikonik Noh akan dipersembahkan semula dalam susunan orkestra eksklusif yang mengekalkan roh asal setiap lagu, namun diperkayakan dengan dimensi bunyi baharu tanpa menghilangkan identiti yang selama ini menjadi kekuatan pemuzik berkenaan.

Judul konsert turut membawa simbolisme tersendiri. Istilah 'Cadenza', yang dipinjam daripada bahasa Itali, merujuk kepada bahagian solo yang memberi ruang kepada pemuzik menampilkan kemahiran dan interpretasi mereka secara bebas, manakala 'Soul' melambangkan jiwa yang menjadi teras kepada keseluruhan persembahan.

Wakil CK Star Entertainment dan Altus ProHouse berkata, penganjuran konsert itu bukan sekadar menghimpunkan dua nama besar dalam industri, sebaliknya menjadi penghormatan terhadap perjalanan seni Noh Salleh yang berjaya membina pengaruh tersendiri dalam muzik tempatan.

"Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Cadenza of the Soul ialah penghormatan terhadap perjalanan seni Noh Salleh yang menggabungkan muzik, penceritaan dan emosi dalam satu malam istimewa bersama para peminat.

"Dengan reputasi Aubrey Suwito sebagai antara pengarah muzik dan komposer paling disegani negara, kami yakin kolaborasi ini mampu menawarkan pengalaman persembahan yang berbeza serta mengangkat nilai artistik karya-karya Noh ke dimensi baharu," katanya.

Sementara itu, Aubrey berkata, beliau tidak mengambil masa lama untuk menerima pelawaan menjayakan konsert berkenaan kerana menyifatkan Noh sebagai seorang pemuzik yang mempunyai identiti kreatif yang luar biasa.

"Saya tidak perlu berfikir panjang untuk mengatakan ya. Noh Salleh ialah seorang karyawan yang cukup genius.

"Cadenza of the Soul bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan muzik. Saya berharap penonton akan menikmati setiap emosi yang dipersembahkan dan pulang dengan penghargaan yang lebih besar terhadap karya anak tempatan," katanya.

Tiket konsert akan mula dijual pada 5 Ogos, bermula jam 12 tengah hari, menerusi Ticket2U dan Fantopia dengan harga bermula RM188 sehingga RM788.

Selain sesi Meet & Greet eksklusif untuk pemegang tiket VVIP, pembeli kategori VIP turut menerima T-shirt rasmi konsert edisi terhad sebagai memorabilia persembahan.

Catat Ulasan

0 Ulasan