MAMPUKAH FFM35 KEMBALIKAN KEYAKINAN INDUSTRI?

Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) membuka lembaran baharu dalam sejarah penganjurannya apabila memperkenalkan reformasi sistem penjurian yang lebih telus, inklusif dan diyakini industri menerusi pembabitan bekas pemenang Festival Filem Malaysia (FFM) dalam menentukan penerima anugerah, selain memperhalusi pelaksanaan mekanisme kerahsiaan panel juri bagi memperkukuhkan integriti proses pemilihan karya terbaik negara.

Pembaharuan terbesar sejak festival itu diperkenalkan lebih tiga dekad lalu diumumkan pada majlis pelancaran FFM35 yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil, manakala Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato' Dr. Hans Isaac, turut menggariskan hala tuju baharu festival yang disifatkan lebih mencerminkan suara serta kepercayaan warga industri sendiri.

Bertemakan "Spektrum Sinema", FFM35 meraikan kepelbagaian landskap perfileman Malaysia yang merangkumi pelbagai genre, budaya, bahasa, perspektif, teknologi dan generasi pembikin filem. Ibarat spektrum cahaya yang menghimpunkan pelbagai warna menjadi satu sinaran, tema itu melambangkan perkembangan sinema Malaysia yang terus berevolusi hasil gabungan idea, bakat dan kreativiti, tanpa mengabaikan identiti budaya serta nilai tempatan sebagai tunjang industri.

Hans berkata, pembaharuan format penjurian itu lahir daripada cadangan pelakon dan penerbit, Bront Palarae, yang berkongsi pengalaman mengenai kaedah pemilihan pemenang di beberapa festival serta pasaran filem antarabangsa sebelum ia dibentangkan kepada Ahli Perbadanan FINAS dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato' Azmir Saifuddin Mutalib.

Katanya, FINAS berpandangan sudah tiba masanya sistem penjurian memberi ruang lebih luas kepada penggiat industri menentukan sendiri penerima pengiktirafan tertinggi negara.

"Kami mahu mencuba sesuatu yang baharu tahun ini dengan memperkenalkan format penjurian yang lebih segar. Peringkat pertama masih dikendalikan panel juri profesional untuk membuat saringan awal dan menyenaraikan calon terbaik.

"Selepas itu, keputusan akhir akan dibuat menerusi sistem penilaian yang membabitkan bekas pemenang Festival Filem Malaysia serta penggiat industri yang dipilih. Sudah tiba masanya industri filem sendiri menentukan siapa yang terbaik dalam industri kita," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu diharap mampu meningkatkan keyakinan warga industri terhadap keputusan yang dibuat, di samping mengurangkan persepsi negatif yang sering timbul setiap kali pengumuman pemenang FFM.

Hans turut berharap mekanisme baharu itu tidak hanya digunakan pada FFM35, malah berpotensi menjadi model penjurian kekal pada edisi akan datang.

Menurutnya, pembaharuan itu selari dengan peningkatan ketara mutu karya tempatan yang dihasilkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kita perlu berubah mengikut peredaran zaman kerana filem yang dihasilkan hari ini mempunyai kualiti yang sangat baik. Saya juga ingin memberikan penghargaan kepada semua penerbit yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan industri perfileman negara," katanya.

Bagi memperkukuhkan lagi kredibiliti sistem berkenaan, Azmir berkata FINAS kini sedang memperhalusi cadangan memperkenalkan mekanisme penilaian tertutup yang merahsiakan identiti setiap panel juri menerusi pelaksanaan Perjanjian Kerahsiaan (Non-Disclosure Agreement atau NDA).

Beliau berkata, langkah itu adalah antara penambahbaikan yang sedang diteliti hasil maklum balas daripada penggerak industri filem bagi memastikan setiap panel membuat penilaian secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Daripada segi ketelusan, saya fikir kita boleh bangunkan satu sistem yang mana setiap juri sendiri tidak tahu siapa juri lain yang turut dipilih. Sudah tentu mereka juga perlu menandatangani NDA.

"Mereka perlu membuat penilaian secara individu terlebih dahulu sebelum markah itu dikumpulkan," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FINAS dan Management and Science University (MSU).

Mengulas dakwaan kononnya FFM tidak menggunakan sistem pemarkahan, Azmir menjelaskan borang pemarkahan sebenarnya telah digunakan dalam setiap penganjuran festival sebelum ini.

Menurutnya, perbezaan hanya bergantung kepada pendekatan yang digunakan oleh pengerusi panel juri ketika mengendalikan mesyuarat penilaian.

"Ada yang menggunakan kaedah konsensus, iaitu semua juri menonton, berbincang dan menetapkan markah bersama. Ada juga kaedah setiap juri membuat penilaian secara individu sebelum markah keseluruhan dikumpulkan. Apa pun pendekatannya, proses pemarkahan itu memang wujud," katanya.

Beliau berkata, cadangan yang dikemukakan Bront mengambil inspirasi daripada sistem penilaian yang diamalkan Anugerah Akademi (Oscar), yang memberi ruang kepada ratusan ahli akademi daripada pelbagai cabang industri filem untuk menentukan pemenang.

Menurutnya, konsep sama sedang diperhalusi bagi disesuaikan dengan ekosistem industri filem tempatan.

"Pada peringkat pertama akan ada panel juri yang menyenaraikan lima calon terbaik bagi setiap kategori. Kemudian, pemenang akan ditentukan melalui sistem pemarkahan yang membabitkan bekas pemenang Festival Filem Malaysia serta penggiat industri yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan," katanya.

Sementara itu, Bahria berkata Festival Filem Malaysia bukan sekadar sebuah pertandingan, sebaliknya institusi penting yang menjadi simbol kecemerlangan, penanda aras mutu karya serta platform tertinggi bagi mengiktiraf bakat kreatif tanah air sejak lebih tiga dekad lalu.

Beliau berkata, kerajaan melihat industri kreatif sebagai antara sektor strategik yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuhkan identiti budaya negara.

Berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor budaya dan kreatif menyumbang RM130.7 bilion, bersamaan 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain menyediakan lebih 763,000 peluang pekerjaan.

Katanya, industri filem memainkan peranan besar dalam ekosistem ekonomi kreatif kerana setiap karya bukan sahaja membawa identiti Malaysia, malah menggerakkan rantaian ekonomi yang melibatkan ribuan tenaga kerja daripada pembangunan idea, penerbitan, pascaproduksi, pemasaran sehingga pengedaran.

Bagi memastikan momentum itu terus berkembang, katanya, Kementerian Komunikasi akan memperkukuhkan kerjasama dengan FINAS dalam aspek pembangunan modal insan, penghasilan kandungan berkualiti, promosi ke pasaran antarabangsa serta usaha menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada FINAS menerusi inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai destinasi pilihan penerbitan antarabangsa.

Antara pencapaian membanggakan tahun ini ialah potensi nilai jualan melebihi RM10 juta yang direkodkan syarikat Malaysia di Hong Kong International Film & TV Market (HK FILMART) 2026, selain potensi pelaburan sebanyak RM249.2 juta yang dicapai menerusi penyertaan negara di Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026.

Pada masa sama, sehingga 24 Julai 2026, FINAS merekodkan kutipan filem di bawah Skim Wajib Tayang sebanyak RM111.17 juta membabitkan 32 filem tempatan, dengan 14 daripadanya mencapai status box office dan mengumpul kutipan keseluruhan sebanyak RM107.49 juta.

"Pencapaian ini membuktikan karya tempatan terus mendapat tempat di hati penonton apabila disokong kandungan berkualiti, strategi pemasaran yang berkesan serta kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri. Momentum ini perlu diteruskan supaya lebih banyak karya Malaysia mampu menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

Penyertaan bagi FFM35 dibuka mulai 29 Julai hingga 11 Ogos 2026, manakala malam kemuncak festival akan berlangsung pada 21 November 2026 di Panggung Sari, Istana Budaya, sekali gus menjadi acara pertama dianjurkan di venue berprestij itu selepas selesai menjalani kerja-kerja naik taraf.

Sebanyak 25 kategori dipertandingkan pada FFM35 yang merangkumi kategori utama, teknikal dan kreativiti, manakala lima lagi adalah anugerah khas yang tidak dipertandingkan. Antara kategori yang dijangka menjadi tumpuan serta rebutan penggiat industri ialah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Sinematografi Terbaik, yang saban edisi menjadi penanda aras kecemerlangan sesebuah karya filem tempatan.

Dengan reformasi sistem penjurian, pendekatan yang lebih inklusif serta komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan ekosistem industri kreatif, FFM35 dilihat bukan sekadar pentas mengiktiraf karya terbaik negara. Sebaliknya, festival berprestij ini menjadi pemangkin kepada era baharu Festival Filem Malaysia yang lebih telus, progresif dan diyakini warga industri, sekali gus memperkukuh kedudukan sinema Malaysia di persada nasional serta mengangkat potensi karya tempatan ke pentas antarabangsa. Persoalannya, mampukah FFM35 mengembalikan keyakinan industri?

Catat Ulasan

0 Ulasan