'TERBANG' ANGKAT KISAH BENAR KARAMJIT SINGH KE LAYAR PERAK

Filem Terbang yang diilhamkan daripada kisah benar legenda rali negara, Karamjit Singh, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 17 September depan, bersempena sambutan Hari Malaysia.

Naskhah arahan Chiu Keng Guan, yang sebelum ini mencipta kejayaan menerusi OlaBola dan The Journey, mengangkat kisah perjuangan seorang anak Malaysia yang berani mengatasi pelbagai cabaran demi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Diinspirasikan daripada perjalanan sebenar Karamjit, filem itu menampilkan semangat juang, ketabahan dan pengorbanan dalam mengejar impian, sekali gus meneruskan kecenderungan Chiu menghasilkan karya yang berteraskan kisah tempatan dengan mesej yang dekat di hati masyarakat.

Poster dan treler rasmi Terbang dilancarkan pada majlis yang berlangsung di Carfe, Petaling Jaya, semalam, sekali gus memberi bayangan awal mengenai jalan cerita yang mengetengahkan aksi perlumbaan rali serta perjuangan mengharumkan nama negara.

Mengulas mengenai pemilihan tarikh tayangan, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata filem itu dijadualkan menemui penonton pada 17 September, bersempena sambutan Hari Malaysia bagi meraikan semangat perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. 

"Pemilihan tarikh tayangan Terbang pada 17 September dibuat bersempena sambutan Hari Malaysia kerana kami mahu filem ini menjadi simbol kepada semangat perpaduan, kebanggaan dan identiti rakyat Malaysia.

"Pada masa sama, kami berharap Terbang dapat membangkitkan rasa bangga terhadap kisah anak Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia," katanya.

Beliau berkata, Astro Shaw turut memperkenalkan kempen 'Kita Terbang Sama-Sama' sebagai usaha mendekatkan orang ramai dengan filem itu menerusi pelbagai aktiviti dan kolaborasi bersama rakan strategik menjelang tayangan rasminya.

Katanya, kempen berkenaan bakal dilaksanakan merentasi pelbagai platform, termasuk aktiviti lapangan, pertandingan, kolaborasi bersama stesen radio serta kandungan digital.

"Kami berharap Terbang  bukan sekadar sebuah filem, sebaliknya menjadi pengalaman yang mampu menyatukan rakyat Malaysia dan menyemarakkan rasa bangga terhadap kisah yang lahir dari negara sendiri," katanya.

Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan, berkata kerjasama bersama Astro Shaw melangkaui penajaan apabila kedua-dua pihak berganding bahu menjayakan pelbagai inisiatif yang memberi pengalaman lebih bermakna kepada peminat, selari dengan semangat keberanian dan kecekalan yang menjadi identiti Terbang serta Sting. 

Sementara itu, Ketua Pemasaran U Mobile, Bernand Lee, berkata kerjasama dengan Astro Shaw memberi peluang kepada peminat mengikuti proses pembikinan Terbang menerusi kandungan eksklusif The Making Of (TMO) yang menampilkan penggunaan teknologi generasi baharu dalam penghasilan filem berkenaan.

Sebelum ini, Terbang mencuri perhatian menerusi pelancaran sedutan awal filem, selain menjalinkan kerjasama strategik bersama Sting serta menampilkan semula kereta ikonik Proton Pert pada acara EON Auto Fest.

Menjelang tayangan di pawagam, Astro Shaw turut merangka pelbagai aktiviti promosi bersama rakan strategik, termasuk Cabaran Rali Terbang X Sting, Kembara EV Terbang x Sting, pertandingan Reka Kereta Rali Impian Anda, penyertaan pada acara Art of Speed, Let Your Creativity Fly STING Challenge, siri jelajah ke pawagam terpilih di beberapa negeri serta pelancaran koleksi eksklusif filem itu.

Sebagai sebahagian daripada kempen promosi, pelbagai koleksi eksklusif bertemakan Terbang turut diperkenalkan, antaranya kereta diecast Proton Pert, kemeja-T edisi terhad, topi, pelekat, rantai kunci serta origami kereta rali.

Pada masa sama, Astro Shaw turut menawarkan pakej tayangan korporat kepada organisasi dan syarikat yang ingin mengadakan tayangan khas filem itu untuk kakitangan, rakan niaga atau pelanggan.

Terbang diterbitkan Astro Shaw dengan kerjasama EJJ Films, Enotech Pictures dan Aventure Space, manakala Woohoo Pictures bertindak sebagai syarikat produksi. Filem itu turut mendapat sokongan daripada STING dan U Mobile, selain kerjasama PROTON, PETRONAS, EON Berhad serta Malaysia Aviation Group (MAG).

Naskhah berkenaan dibintangi Irfan Zaini, Jack Tan, Nadiya Nisaa, Daiyan Trisha dan Tony Eusoff, selain menampilkan Karamjit Singh sebagai penampilan khas.

Menariknya, Terbang turut ditayangkan dalam format 4DX, sekali gus menawarkan pengalaman menonton yang lebih imersif menerusi pelbagai kesan khas.

Terbang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 17 September 2026.

Catat Ulasan

0 Ulasan