Tidak semua luka perlu dibalas dengan luka. Ada waktunya, kemenangan terbesar adalah apabila seseorang memilih untuk terus menjadi baik meskipun pernah melalui pengalaman yang menguji.

Falsafah itu menjadi nadi kepada “Sejambak Bunga”, single terbaharu Ernie Zakri yang menandakan satu lagi fasa penting dalam perjalanan seninya, selain memperlihatkan sisi penyanyi itu yang semakin reflektif, matang dan berdamai dengan pengalaman lalu.

Karya berkenaan diperkenalkan buat pertama kali dalam suasana yang cukup istimewa apabila Ernie memilih pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di Esplanade, KLCC Park, pada 8 Ogos lalu sebagai lokasi pelancaran.

Sejambak Bunga” dipersembahkan ketika pertunjukan fesyen Lerai oleh pereka fesyen Zaimi Zulkafli, satu pemilihan yang bukan sekadar memberikan nilai visual kepada karya itu, malah mempunyai kaitan erat dengan mesej yang ingin disampaikan Ernie.

Konsep “Lerai” dan perjalanan emosi yang menjadi teras “Sejambak Bunga” bertemu pada satu titik yang sama, iaitu tentang proses melepaskan, menerima apa yang telah berlaku dan memberi ruang kepada diri untuk terus berkembang.

Bagi Ernie, muzik dan fesyen hadir melalui medium yang berbeza, namun kedua duanya mempunyai kemampuan untuk menterjemahkan sesuatu yang tidak semestinya mampu dilafazkan dengan kata kata.

“Apabila saya memahami konsep ‘Lerai’ yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui ‘Sejambak Bunga’.

“Muzik dan fesyen mempunyai cara yang berbeza untuk bercerita, tetapi kedua duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” katanya.

Di sebalik kemeriahan pentas fesyen dan persembahan yang menjadi perhatian, “Sejambak Bunga” sebenarnya lahir daripada renungan yang lebih peribadi.

Karya ini berbicara mengenai kehidupan, pengalaman dan bagaimana setiap perkara yang dilalui akhirnya meninggalkan kesan dalam pembentukan seseorang.

Ernie melihat perjalanan hidup bukan sebagai sesuatu yang perlu dilupakan. Sebaliknya, pengalaman lalu perlu diterima sebagai sebahagian daripada proses untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Sejambak Bunga" bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini.

“Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” katanya.

Dicipta dan ditulis oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh, “Sejambak Bunga” turut mencatat satu pencapaian tersendiri buat Ernie apabila menjadi karya pertama beliau hasil sentuhan kedua dua pencipta lagu terbabit.

Lebih istimewa, karya ini tidak memilih untuk menonjolkan sisi kepedihan semata mata. Sebaliknya, Ernie mengangkat keberanian untuk kekal memilih kebaikan sebagai bentuk kekuatan yang sebenar.

“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik.

“Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” katanya.

Mesej tersebut terasa semakin dekat dengan kehidupan Ernie hari ini.

Sebagai wanita, isteri, ibu dan anak seni, beliau melihat perubahan yang dilalui sebagai sebahagian daripada proses mengenali diri, selain membentuk perspektif baharu terhadap kehidupan serta cara beliau menyampaikan emosi menerusi muzik.

Namun, Ernie tidak mahu “Sejambak Bunga” sekadar menjadi kisah tentang dirinya.

Sebaliknya, beliau membuka ruang kepada pendengar untuk menemukan cerita mereka sendiri menerusi karya berkenaan.

“Saya mahu orang mendengar ‘Sejambak Bunga’ dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya.

“Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju. Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Pemilihan mawar putih sebagai elemen visual utama turut memperkukuh naratif yang dibawa lagu berkenaan.

Bagi Ernie, bunga itu bukan sekadar simbol keindahan, sebaliknya membawa makna ketenangan, harapan dan ruang untuk memulakan sesuatu yang baharu.

“Mawar putih bagi saya membawa rasa yang sangat tenang. Ia melambangkan permulaan baharu dan ruang untuk kita terus berkembang.

“Kita tidak perlu melupakan apa yang pernah dilalui, tetapi kita boleh menghargainya sebagai sebahagian daripada apa yang membentuk diri kita hari ini,” katanya.

Pada akhirnya, “Sejambak Bunga” bukan sekadar sebuah lagu baharu dalam katalog muzik Ernie Zakri.

Ia menjadi gambaran sebuah perjalanan tentang luka yang diterima, pengalaman yang dipelajari, nilai yang dipertahankan dan keberanian untuk melangkah tanpa perlu menoleh terlalu lama ke belakang.

Seperti mawar putih yang menjadi perlambangan karya ini, Ernie memilih untuk hadir dalam warna yang lebih tenang, tidak lagi sekadar meraikan apa yang telah berlalu, tetapi menyambut apa yang bakal tumbuh selepasnya.

Sejambak Bunga” kini tersedia untuk distrim di semua platform penstriman digital.