TIGER STRIPES KE OSCAR'S?

Filem ‘Tiger Stripes’ secara rasminya telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam Anugerah Akademi (Oscars) ke-96 dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata filem itu diputuskan oleh jawatankuasa pemilihan filem Finas mengikut peraturan yang ditetapkan oleh penganjur.

‘Tiger Stripes’ mula mencipta nama apabila filem arahan Amanda Nell Eu itu memenangi anugerah Grand Prix di Semaine de la Critique ke-62 yang menawarkan hadiah €10,000 (kira-kira RM49,684) sempena Festival Filem Cannes ke-76 di Perancis, tahun ini. Ini, menjadikan Eu sebagai pengarah Malaysia dan Asia Tenggara pertama memenangi hadiah berkenaan.

Ia juga menerima anugerah khas penghargaan juri bagi kategori filem cereka pertama di Fantasia International Film Festival ke-27 di Kanada, tahun ini.

“Semoga perkembangan ini menjadi penyuntik semangat kepada semua penggiat filem untuk terus mendukung misi kerajaan dalam usaha memperkasakan industri perfileman negara di peringkat global.

“Pada masa yang sama, saya berharap usaha ini akan meningkatkan potensi penjenamaan serta pengantarabangsaan produk filem dan bakat kreatif negara yang berkualiti tinggi,” kata Fahmi dalam satu kenyataan hari ini.

‘Tiger Stripes’ mengisahkan tentang Zaffan yang berusia 12 tahun (lakonan Zafreen Zairizal) ketika dia bergelut untuk memahami tubuhnya yang sedang akil baligh.

Diprovokasi oleh komunitinya, dia kemudiannya menyedari bahawa menerima hakikat diri sebenar adalah satu-satunya jawapan kepada kebebasannya.

Filem ini adalah penerbitan bersama antara lapan negara termasuk Malaysia, Singapura, Taiwan, Perancis, Jerman, Belanda, Indonesia dan Qatar.

Catat Ulasan

0 Ulasan