MIERUL AIMAN MAHU CABAR DIRI

Siapa menyangka di sebalik populariti drama Projek High Council yang dicetuskan Astro Originals pada 2023, pemilik nama Mohammad Amirul Aiman Norazman boleh dikatakan antara pelakon baharu yang mencipta fenomena tersendiri, bahkan lakonannya di dalam beberapa buah projek drama tempatan berjaya meletakkan dirinya sebagai antara pelakon 'terlaris' yang mempunyai auranya yang tersendiri.

Lahir sebagai Mierul Aiman yang dicungkil bakatnya menerusi rancangan Hero Remaja bagi tahun 2021 sehingga dinobatkan sebagai Juara Hero Remaja 2021, anak kelahiran Putrajaya ini bukanlah seorang pelakon lelaki biasa malahan impiannya untuk beraksi di dalam beberapa buah produksi besar mahupun kecil menjadikan anak seni berusia 25 tahun ini berada di kelasnya yang tersendiri. 

Melakonkan watak Ghazi di dalam drama adaptasi popular dari Korea, W: To Worlds yang bermula siarannya pada 30 November lalu, Mierul Aiman ketika ditemui media dalam satu majlis Tayangan Khas drama tersebut yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bukit Bintang mengidamkan beberapa watak penting di dalam beberapa buah karya termasuk bergenre biografi, aksi, sejarah dan mencabar kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

"Mierul sangat mengidamkan naskhah yang mempunyai visi yang tinggi dari segi penceritaan, watak yang mencabar, malahan juga sekiranya diberi peluang, Mierul mahukan karya bersifat biografi yang boleh memberikan variasi terhadap lakonan Mierul di dalam industri seni dan hiburan tanah air.

"Sebagai seorang pelakon, sudah tentu Mierul mahukan karektor yang pelbagai. Kalau boleh Mierul nak mencuba sesuatu yang baharu asalkan ia tidak lari dari norma masyarakat dan jika anda mana-mana penerbit yang mahu memberikan watak tersebut, Mierul bersedia," katanya dengan penuh berharap.

Walaupun dilihat masih setahun jagung, namun kesungguhan Mierul Aiman untuk mencipta legasi haruslah diberi peluang. Memegang peranan penting dalam drama bersiri W: To Worlds menerusi watak seorang pegawai peribadi kepada watak utama, Mierul tidak menolak rezeki dan berharap kemunculannya dalam drama yang disiarkan di platform penstriman popular, ViU itu sebagai langkah permulaan untuk beliau lebih dikenali. 

Catat Ulasan

0 Ulasan