HARI KELEPASAN AM BUAT KRU FILEM BAKAL DIPERKASAKAN?

Mewajibkan pelepasan cuti khas pada 1 Februari kepada semua kru penggambaran seluruh negara menjadi antara lima perkara diangkat dalam Resolusi Banding kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sempena sambutan Hari Kru Filem, hari ini.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) Khalil Saleh berkata penghargaan di peringkat kebangsaan itu sebagai pengiktirafan kepada jasa dan pengorbanan golongan tersebut kepada industri kreatif negara.

“Ia juga perlu berada dalam kalendar tahunan kebangsaan agar rakyat Malaysia mengetahui jasa dan peranan pekerja belakang tabir terutama dalam kejayaan sesebuah karya filem, televisyen dan penerbitan kandungan kreatif negara.

“Sebelum ini pekerja belakang tabir sentiasa tidak dipandang tinggi. Jadi, sudah sampai masanya pekerja filem dihargai dan jasa mereka juga sangat penting selain menjadi nadi sebuah penerbitan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Hari Kru Filem 2024 oleh Pengerusi Finas,  Dato' Kamil Othman (gambar atas) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata isu kebajikan dan keselamatan kru filem bagi menjamin kesejahteraan golongan itu turut diangkat dalam resolusi itu termasuk penekanan terhadap penggunaan Akta Kerja 1955 sebagai sandaran dan rujukan utama berkaitan hal ehwal pekerja filem.

Khalil berkata perkara lain termasuk kewajipan mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi keselamatan serta masa depan mereka.

“Kita juga meletakkan ketetapan bahawa setiap filem tempatan wajib disokong sepenuhnya oleh seluruh penggiat industri filem dan rakyat, jangan ada tohmahan melampau terutama di media sosial,” katanya.

Menurutnya resolusi itu merupakan hasil perbincangan, pemikiran dan persetujuan 20 Ahli Jawatankuasa, Ahli Lembaga dan Ahli Lembaga Pengurusan kumpulan Profima selepas mengadakan pemukiman di Tasik Banding, Perak pada 18 Jan lepas.

Sementara itu, Kamil berkata lima perkara dalam resolusi berkenaan boleh dilaksanakan, namun perlu melalui penelitian Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia yang memayungi 11 persatuan seni utama industri perfileman negara.

“Resolusi ini kita dah bincang cuma sekarang nak lihat cara terbaik untuk melaksanakannya,” katanya.

Teks: Bernama
Gambar: FINAS Malaysia

Catat Ulasan

0 Ulasan