RAMAI TAK TAHU KISAH SEBENAR ALIFF SHUKRI

Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, D’Herbs Holdings tampil dengan sebuah karya istimewa menerusi pelancaran brandfilm Raya 2026 berjudul “Ya, Abah Saya Security”, sebuah naskhah menyentuh hati yang diinspirasikan daripada kisah benar kehidupan usahawan terkenal tanah air, Dato’ Sri Aliff Syukri bersama arwah bapanya.

Karya ini membawa penonton menyelami perjalanan emosi seorang anak yang suatu ketika dahulu pernah berasa malu dengan pekerjaan bapanya sebagai seorang pengawal keselamatan. Namun seiring dengan perjalanan masa dan kematangan hidup, perasaan itu akhirnya berubah apabila beliau menyedari bahawa di sebalik uniform sederhana tersebut tersimpan pengorbanan besar seorang ayah yang bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan masa depan anak-anaknya lebih terjamin.

Menurut Dato’ Sri Aliff Syukri, penghasilan brandfilm ini merupakan dedikasi istimewa buat arwah bapanya, Kamarzaman Kamaludin, yang meninggal dunia pada tahun 2019.

“Filem ini adalah dedikasi saya kepada arwah ayah. Ketika kita masih kecil, kadang-kadang kita tidak benar-benar memahami pengorbanan ibu bapa. Kita hanya melihat dari sudut pandang kita sebagai anak. Tetapi apabila kita dewasa, barulah kita sedar betapa besar pengorbanan mereka,” katanya.

Beliau turut berharap naskhah tersebut mampu menyentuh hati penonton serta menjadi inspirasi kepada masyarakat agar lebih menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.

“Kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa, jangan sesekali malu dengan pekerjaan mereka. Daripada rezeki itulah kita dibesarkan dan menjadi siapa kita hari ini,” tambahnya lagi.

Dalam masa sama, Aliff turut berkongsi rasa ralat yang masih tersimpan dalam dirinya apabila mengenang detik terakhir bersama bapanya. Kesibukan menguruskan empayar perniagaan membuatkan beliau tidak sempat meluangkan masa secukupnya bersama insan yang banyak berjasa dalam hidupnya itu.

Dari sudut penceritaan, filem pendek ini berkisar tentang kehidupan seorang kanak-kanak bernama Syukri yang masih bersekolah rendah. Syukri berdepan konflik emosi apabila berasa malu dengan pekerjaan bapanya sebagai pengawal keselamatan. Namun seiring perjalanan masa, dia akhirnya menyedari bahawa pekerjaan itulah yang menjadi sumber rezeki yang membesarkan mereka sekeluarga.

Lebih menarik, naskhah yang sarat dengan nilai kekeluargaan ini turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Azhan Rani, Mikael Noah, Niezam Zaidi serta Megat Shahrizal. Gabungan lakonan mereka berjaya memberikan impak emosi yang cukup kuat sehingga mampu menyentuh perasaan penonton dengan jalan cerita yang penuh pengajaran.

Malah, kekuatan penceritaan dan lakonan para pelakon menjadikan karya ini bukan sekadar sebuah filem pendek sempena Hari Raya, tetapi sebuah kisah kehidupan yang mampu membuatkan penonton tersentuh dan merenung kembali pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.

Tayangan perdana brandfilm tersebut telah berlangsung di sebuah pawagam di Damansara, yang turut dihadiri oleh rakan media, influencer serta tetamu jemputan khas yang memberikan sokongan terhadap penghasilan karya berkenaan.

Brandfilm Raya D’Herbs 2026 ini dihasilkan dengan kerjasama Terranego Media sebagai agensi media dan diterbitkan oleh Tangerine Films KL sebagai syarikat produksi.

Melalui karya ini, D’Herbs berharap mesej yang disampaikan mampu memberi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih menghargai ibu bapa serta insan tersayang selagi mereka masih berada di sisi.

Brandfilm “Ya, Abah Saya Security” akan dilancarkan kepada umum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi platform digital rasmi D’Herbs dan boleh ditonton di laman YouTube TV Terlajak Laris bermula 12 Mac 2026.

Catat Ulasan

0 Ulasan