'DULU KINI RAYA', HIDUPKAN NOSTALGIA AIDILFITRI IZZUE ISLAM & DEHANIFF

Kemeriahan Aidilfitri tahun ini terus diserikan dengan kemunculan pelbagai lagu raya baharu daripada penggiat seni tempatan. Antara yang turut memeriahkan suasana ialah gandingan Izzue Islam dan Dehaniff menerusi lagu duet berjudul Dulu Kini Raya.

Lagu tersebut menampilkan gabungan elemen klasik dan moden yang diinspirasikan daripada kenangan sambutan Hari Raya ketika zaman kanak-kanak dan remaja.

Menurut Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, karya berkenaan mempunyai identiti tersendiri selain membawa sentuhan nostalgia yang dekat dengan pengalaman ramai.

“Lagu ini ada rasa klasik raya yang kita semua rindu, pada masa sama ada juga sentuhan moden supaya generasi sekarang pun suka mendengarnya.

“Memang kedengaran elemen nostalgia seperti kenangan kita beraya dahulu, cuma bunyinya lebih segar. Itu yang membuatkan saya rasa lagu ini mempunyai identiti tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Dulu Kini Raya yang berlangsung di The St. Regis Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam masa sama, Izzue berharap orang ramai dapat meraikan setiap lagu raya yang dihasilkan oleh penggiat seni tanpa terlalu cepat memberikan kritikan.

“Pada saya, kita raikan sahaja apa jua lagu raya yang dihasilkan. Setiap lagu ada keunikan tersendiri.

“Untuk lagu raya kami iaitu Dulu Kini Raya, kami mengkategorikan lagu ini sebagai lagu yang mudah diterima kerana terdapat beberapa elemen yang diterapkan seperti gabungan moden dan tradisional,” katanya.

Mengulas tanggapan segelintir pihak mengenai ‘perang lagu raya’ dalam kalangan penyanyi, Izzue melihat perkara itu sebagai perkembangan positif buat industri muzik tempatan.

“Bagi saya, ia sebenarnya sihat untuk industri. Lagi banyak lagu raya dihasilkan, lagi meriah suasana sambutan Aidilfitri.

“Saya tidak melihatnya sebagai ‘perang’, sebaliknya rakan-rakan artis sama-sama menambah warna untuk sambutan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Izzue berkata beliau sentiasa terbuka menerima pelbagai pandangan termasuk reaksi pengguna di Threads.

“Saya okey sahaja dan terbuka menerima apa sahaja pandangan. Sebenarnya saya sudah bersedia dengan perkara seperti ini sejak lebih 10 tahun lalu kerana sudah terbiasa.

“Ada juga yang mengatakan suara saya biasa tetapi masih sibuk mahu menyanyi. Namun kata-kata itu tidak pernah menjatuhkan semangat saya,” katanya.

Tambahnya, kritikan tersebut tidak pernah menghalangnya untuk terus berkarya dalam industri muzik.

Mengulas kerjasama bersama Dehaniff, Izzue menyifatkan penyanyi berkenaan memiliki tenaga dan keserasian yang menjadikan lagu tersebut lebih hidup.

“Dehaniff ada tenaga yang sesuai dengan lagu ini. Bekerjasama dengannya seolah-olah ada chemistry yang datang secara semula jadi.

“Sepanjang proses rakaman vokal dan penggambaran video muzik, banyak momen kelakar berlaku. Walaupun penat, pengalaman itu memang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Difahamkan, pembikinan video muzik Dulu Kini Raya menelan kos agak tinggi dengan beberapa elemen unik termasuk penggunaan lembu yang dibawa dari Melaka serta kren skylift sebagai props.

Menurut Izzue, elemen berkenaan dimasukkan bagi memberi pengalaman visual berbeza kepada penonton.

“Memang ada sedikit ‘gila’ dalam pembikinan video muzik ini, tetapi bagi kami kalau mahu buat sesuatu, biarlah dibuat dengan bersungguh-sungguh.

“Kami mahu memberi pengalaman visual yang lain daripada video muzik raya biasa. Bukan untuk berlawan dengan mana-mana artis lain, tetapi sekadar mahu menghasilkan sesuatu yang diingati,” katanya.

Sementara itu, Dehaniff menyifatkan Izzue sebagai rakan kerja yang mudah bekerjasama serta sangat komited sepanjang proses pembikinan lagu tersebut.

“Lagu ini menggabungkan beberapa genre dan mudah dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Apabila mendengarnya, ia boleh membuatkan kita rasa gembira.

“Saya berharap Dulu Kini Raya menjadi antara lagu pilihan pendengar setiap kali menjelang Aidilfitri,” katanya.

Lagu Dulu Kini Raya kini boleh didengari di pelbagai platform digital, manakala video muzik rasminya turut dilancarkan di YouTube untuk tontonan umum.

Catat Ulasan

0 Ulasan