Lagu balada popular “Masing Masing” nyanyian penyanyi tersohor Ernie Zakri terus melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya merekodkan lebih 236 juta penstriman di platform Spotify, sekali gus mencipta satu lagi detik bersejarah dalam landskap industri muzik serantau.
Karya yang turut menampilkan sentuhan komposer dan pemuzik Indonesia, Ade Govinda, ini bukan sekadar meraih perhatian peminat, malah turut menerima pengiktirafan daripada Asia Book of Records sebagai lagu Melayu/Indonesia terpantas mencapai 200 juta penstriman, satu rekod yang dicatatkan menjelang Ogos 2025.
Pencapaian tersebut sekali lagi memperkukuh kedudukan Ernie sebagai antara figura berpengaruh dalam industri muzik Nusantara. Kejayaan ini hadir tidak lama selepas beliau dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Disember 2025, sekali gus menambah satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni penyanyi berkarisma itu.
Pengiktirafan daripada Asia Book of Records turut memberikan nilai kredibiliti yang signifikan terhadap kejayaan berkenaan. Platform pengiktirafan berprestij ini bukan sahaja meraikan pencapaian luar biasa, malah berperanan mengangkat profil individu atau karya yang mencipta rekod ke pentas lebih luas di seluruh Asia. Dalam masa sama, ia turut menghubungkan para pemegang rekod dengan tokoh, pemimpin serta inovator dari pelbagai bidang di benua ini, sekali gus menjadikan pencapaian tersebut sebagai inspirasi yang berpotensi meninggalkan legasi berkekalan.
Kejayaan “Masing Masing” turut mencerminkan kekuatan kolaborasi muzik serantau yang semakin kukuh. Gabungan kreativiti antara Malaysia dan Indonesia menerusi karya ini membuktikan bahawa muzik yang lahir daripada emosi yang tulus mampu merentasi sempadan geografi, sekali gus menyatukan pendengar daripada pelbagai latar budaya di Asia Tenggara.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ernie mengakui bahawa kejayaan luar biasa lagu berkenaan tidak pernah terlintas dalam jangkaannya ketika ia mula dihasilkan.
“Saya sangat terharu dan bersyukur apabila mengetahui ‘Masing Masing’ mencapai lebih 236 juta penstriman di Spotify serta diiktiraf oleh Asia Book of Records. Sejujurnya, ketika menghasilkan lagu ini bersama Ade Govinda, matlamat kami hanyalah untuk menyampaikan sebuah karya yang jujur dari segi emosi.
Melihat ia kini menerima sambutan luar biasa sehingga melakar sejarah merupakan sesuatu yang amat bermakna buat saya. Saya amat menghargai sokongan para pendengar, khususnya Ernienators yang sentiasa setia menyokong perjalanan seni saya sejak awal,” katanya.
Sejak dilancarkan, “Masing Masing” bukan sahaja mendapat sambutan hangat di Malaysia dan Indonesia, malah turut menambat hati pendengar di pelbagai negara Asia Tenggara. Bagi Ernie, kekuatan utama lagu tersebut terletak pada naratif emosi yang bersifat universal.
Menurutnya, kisah yang diangkat dalam lagu itu sangat dekat dengan pengalaman kehidupan ramai orang, sekali gus menjadikannya mudah difahami serta dirasai oleh pendengar tanpa mengira latar bahasa atau budaya.
“Saya rasa kekuatan ‘Masing Masing’ terletak pada ceritanya yang sangat dekat dengan kehidupan ramai orang. Walaupun ia lagu Melayu/Indonesia, emosinya bersifat universal dan pendengar dari mana-mana pun boleh relate.
Ditambah pula dengan kolaborasi bersama Ade Govinda serta susunan muzik yang ringkas tetapi menyentuh hati, mungkin itulah yang membuatkan lagu ini diterima baik di seluruh Asia Tenggara,” tambahnya.
Dengan pencapaian terbaharu ini, “Masing Masing” terus memperkukuh reputasinya sebagai antara karya muzik serantau paling berjaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ia sekali gus membuktikan bahawa muzik yang lahir daripada kejujuran emosi masih mempunyai kekuatan besar untuk merentasi sempadan bahasa, budaya dan negara, sekali gus menyatukan jutaan pendengar di bawah satu rasa yang sama.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(4).png)

.png)
.png)

0 Ulasan