Kekecewaan di pentas Talk To My Manager 2 (TTMM2) akhirnya terubat apabila penyanyi muda, Hussain membuktikan kemampuan dirinya dengan menjuarai Big Stage Rocketfuel pada konsert akhir yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, malam tadi.
Hussain atau nama penuhnya, Jamak Hussain Jamilul Hayat, 23, tampil cemerlang sepanjang saingan sebelum mengungguli keputusan akhir menerusi markah keseluruhan tertinggi yang diberikan juri tetap dan undian dalam talian.
Kejayaan itu bukan sekadar menghadiahkan trofi buat anak kepada penyanyi veteran, Jamilul Hayat berkenaan, malah menjadi detik manis selepas pengalaman bersaing dalam TTMM2 sebelum ini.
“Terima kasih kepada peminat yang sejak TTMM2 lagi mengundi saya sehingga sekarang. Terima kasih juga kepada keluarga. Abah, saya berjaya. Semua ini atas sokongan semua. Terima kasih kepada juri yang memberikan tunjuk ajar kepada saya.
“Terima kasih Allah, Alhamdulillah,” katanya.
Sebagai juara, Hussain membawa pulang kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM100,000, wang tunai RM30,000, sebuah single serta trofi sumbangan Astro.
Pada konsert kemuncak itu, Hussain memilih untuk mempersembahkan Seniman Menangis, lagu yang pernah dipopularkan bapa saudaranya, penyanyi terkenal Dato' Jamal Abdillah.
Adam Nazmi pula menduduki tempat kedua dan menerima kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM50,000, wang tunai RM20,000, sebuah single serta trofi sumbangan Astro.
Ranisha melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM10,000, kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM50,000, sebuah single dan trofi sumbangan Astro.
Tempat keempat menjadi milik Danny, manakala Yad-Z menduduki kedudukan kelima. Kedua-duanya menerima wang tunai RM5,000 bersama trofi.
Danial Kifli pula menamatkan saingan di tempat keenam dengan membawa pulang RM3,000 dan trofi.
Konsert akhir turut menyaksikan peserta bukan sahaja berentap menerusi persembahan solo, malah diuji dalam segmen battle secara individu bagi menentukan siapa paling layak bergelar juara.
Program Big Stage Rocketfuel dikendalikan Nabil Ahmad dan Azeva, manakala barisan juri tetap terdiri daripada Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad.
Maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS pula diundang sebagai juri khas pada konsert final berkenaan.
.png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan