Selepas mendapat sambutan menerusi konsert Exists Memento Mori pada 1 Ogos lalu, kumpulan Exists bakal kembali menghiburkan peminat menerusi Exists Memento Mori 2.0 yang dijadualkan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, pada 8 November depan.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu menjadi kesinambungan kepada persembahan terdahulu, selain memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menghadiri edisi pertama untuk menyaksikan kumpulan berkenaan secara langsung.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, keputusan menganjurkan Memento Mori 2.0 bukan semata-mata disebabkan sambutan terhadap konsert pertama, sebaliknya mengambil kira perjalanan seni Exists yang sudah menjangkau 35 tahun.
Menurutnya, tempoh berkenaan terlalu panjang untuk dirangkumkan dalam sebuah persembahan sahaja, apatah lagi Exists mempunyai katalog lagu yang luas dan merentasi beberapa generasi pendengar.
“35 tahun tidak cukup diceritakan hanya dalam satu malam. Baik daripada rendisi lagu dalam album-album Exists atau mendengar komen yang diluahkan dalam pelbagai platform media sosial oleh peminat.
“Memento Mori 2.0 juga memberi peluang buat peminat Exists yang tidak dapat hadir ke edisi pertama pada 1 Ogos lalu,” katanya pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah anggota Exists, Along, Ezad Lazim, Musa, Ujang, Ajai, Mamat dan Shah.
Iman berkata, edisi kedua itu turut menampilkan pengalaman berbeza berbanding konsert pertama, termasuk persembahan lebih banyak karya popular Exists.
“Kami percaya orang yang membeli tiket bukan semata-mata kerana Exists sudah 35 tahun, tetapi kerana mereka mahu mendengar lagu yang mempunyai cerita dalam hidup mereka secara langsung.
“Memento Mori 2.0 memberi pengalaman yang berbeza daripada edisi pertama, dengan lebih banyak karya hits dipersembahkan.
“Itu yang membuatkan kami yakin peminat mahu kembali menonton konsert Exists dan mereka yang terlepas tidak mahu mengulangi perkara yang sama,” katanya.
Ezad mahu tingkatkan kualiti persembahan
Sementara itu, vokalis Exists, Ezad Lazim mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti selepas konsert pertama, khususnya membabitkan aspek teknikal.
Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 46, berkata perkara berkenaan akan diberi perhatian supaya persembahan pada November nanti dapat disajikan dengan lebih baik.
“Banyak kelemahan yang saya nampak dan perlu diperbaiki pada konsert pertama dan mungkin dari segi teknikalnya. Mungkin orang lain tidak perasan, tapi saya nampak kelemahan itu.
“Tapi, Alhamdulillah dengan semangat semua anggota Exists yang lain, benda itu tak nampak sangat,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi Memento Mori 2.0, Ezad berkata aspek kesihatan, kecergasan fizikal dan mental menjadi keutamaan memandangkan konsert pertama berlangsung hampir tiga jam.
Menurutnya, faktor usia juga membuatkan anggota kumpulan perlu memberikan lebih perhatian terhadap stamina bagi memastikan mereka mampu memberikan persembahan terbaik.
“Saya juga tengok Mamat kini rajin bersenam dan buat ‘live’. Ia agak membakar semangat saya juga.
“Kita perlu stamina yang baik sebab umur pun sudah meningkat. Macam yang saya cakap, persediaan kita dari aspek kesihatan dan stamina. Sebab konsert pertama durasi hampir tiga jam dan kali ini pun sama juga,” katanya.
Peminat digalak tampil dengan fesyen era 80-an dan 90-an
Selain persembahan Exists, penganjur turut menetapkan tema pemakaian bagi peminat yang hadir ke Memento Mori 2.0.
Peminat digalakkan mengenakan pakaian berwarna-warni, neon dan colour-block yang diinspirasikan daripada era penghujung 1980-an dan 1990-an bagi menghidupkan kembali suasana zaman kegemilangan Exists.
Exists Memento Mori 2.0 akan berlangsung pada 8 November 2026 (Ahad), jam 8.30 malam di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Harga tiket bermula RM228 untuk kategori Kapal Terbang Kertas, RM288 (Masih Terserlah Ayumu), RM328 (Dirantai Digelangi Rindu), RM388 (Rindu Serindu Rindunya), RM428 (Jangan Gentar), RM488 (Janji Padamu) dan RM5,000 untuk kategori Mengintai Dari Tirai Kamar/Sofa Couple yang turut menawarkan light snacks dan minuman.
Tiket boleh didapati menerusi Ticket2U dan jualan dibuka mulai 18 Ogos, jam 3 petang.
Konsert berkenaan dianjurkan Icon Entertainment dengan sokongan rakan media rasmi, Gempak serta stesen radio Sinar, ERA dan THR Gegar.
.png)






0 Ulasan