Sebagai menghargai bakat dan kreativiti dalam kalangan pencipta kandungan digital serta penstrim atas talian, KamiSempoi Golden Award 2025 kembali buat tahun keempat anjuran KamiSempoi International Agency (KSIA), menghimpunkan komuniti bakat digital dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Acara yang bakal berlangsung pada 28 Ogos ini di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan, Selangor, bukan sahaja menjadi pentas meraikan pencapaian hos TikTok LIVE dan pencipta kandungan, malah turut menyaksikan pelancaran KamiSempoi Premier Academy bagi melahirkan generasi penstrim yang lebih profesional dan berkemahiran.
Ketua Pegawai Eksekutif KSIA yang juga hos TikTok LIVE, Pakcik Chin Swee, berkata penganjuran kali keempat itu menjadi wadah untuk menghargai usaha dan pencapaian semua pihak yang membentuk komuniti KamiSempoi.
“KamiSempoi Golden Award diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua yang menjadi sebahagian daripada komuniti kami. Bukan hanya live host, tetapi turut melibatkan sub-agency, gifter dan rakan penaja yang sama-sama menyokong perkembangan platform ini.
“Kami mahu menghargai usaha serta pencapaian mereka. Pada masa sama, pengiktirafan ini diharap dapat menjadi dorongan kepada lebih ramai live host untuk terus berusaha dan meningkatkan prestasi masing-masing,” katanya.
Pada edisi kali ini, sebanyak 20 kategori disediakan bagi mengiktiraf pencapaian pelbagai pihak dalam komuniti KSIA, merangkumi 13 kategori Live Host, tiga kategori Sub Agency dan Talent Manager, satu kategori Gifter serta tiga pengiktirafan utama mengikut pasaran iaitu Top Host Malaysia, Top Host Indonesia dan Top Host Singapura.
Pemilihan penerima tidak hanya berdasarkan populariti, sebaliknya mengambil kira pencapaian diamond, prestasi LIVE, komitmen serta perkembangan yang ditunjukkan sepanjang berada dalam komuniti KSIA.
“Tahun ini kita betul-betul pilih host yang akan menyertai acara ini. Kita mahu mereka yang berada di pentas itu mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan.
“Antara perkara yang kita lihat ialah diamond achievement dan live achievement. Jadi ia bukan semata-mata kerana seseorang itu popular, tetapi kerana mereka benar-benar menunjukkan prestasi dan usaha,” jelas Pakcik Chin Swee.
Ketika ini, KSIA mempunyai kira-kira 4,300 hos di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura, manakala rangkaian Rakan Niaga di ketiga-tiga negara terbabit telah menghasilkan lebih 150 juta diamond.
Perkembangan itu memperlihatkan skala komuniti digital yang dibangunkan KSIA di rantau ini, selain membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk membina kerjaya menerusi platform digital.
Seiring perkembangan tersebut, KSIA turut memperkenalkan KamiSempoi Premier Academy, sebuah platform khusus untuk melatih dan membangunkan bakat baharu sebagai penstrim profesional.
Akademi yang bakal beroperasi di pejabat KSIA di Quill City Mall, Kuala Lumpur, memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran secara menyeluruh merangkumi latihan teknikal, pembangunan kandungan, komunikasi, ketrampilan diri, persembahan, live setup, interaksi dengan penonton serta peningkatan prestasi LIVE.
Pengambilan peserta akan dibuat menerusi proses temuduga dan saringan bagi memastikan mereka yang terpilih benar-benar mempunyai minat, kesungguhan serta komitmen untuk mengikuti program berkenaan.
Menariknya, latar belakang bukan menjadi ukuran utama dalam pemilihan peserta.
“Kami tidak kisah mereka datang daripada background apa. Penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah atau orang biasa sekalipun.
“Yang penting mereka mahu belajar, mahu bekerja dan betul-betul serius untuk jadikan live streaming sebagai kerjaya. Kalau dia pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan boleh menghiburkan orang, itu yang kami cari,” katanya.
Program pembangunan berkenaan akan berlangsung selama setahun, dengan pencapaian satu juta diamond ditetapkan sebagai antara penanda aras untuk menamatkan latihan.
Bagaimanapun, peserta yang menunjukkan prestasi memberangsangkan berpeluang mencapai sasaran itu lebih awal, dengan tempoh sekitar enam bulan dilihat sebagai antara perkembangan terpantas.
“Kami ada kurikulum. Mereka perlu belajar dan bekerja pada masa yang sama. Kalau ada yang boleh berkembang dalam enam bulan dan capai sasaran, itu sangat bagus. Tetapi program ini secara keseluruhannya adalah untuk tempoh satu tahun.
“Kalau mereka tidak mencapai sasaran, mereka perlu melalui penilaian dan latihan seterusnya. Kami mahu mereka benar-benar layak dan bersedia sebelum graduate,” katanya.
Dalam masa sama, KSIA turut mahu mengubah persepsi bahawa menjadi live streamer sekadar pekerjaan dari rumah yang tidak memerlukan disiplin.
Sebaliknya, Pakcik Chin Swee menegaskan mereka yang mahu menjadikan bidang itu sebagai kerjaya tetap perlu mempunyai sasaran, disiplin, daya saing dan kesungguhan untuk terus memperbaiki prestasi.
“Ramai orang mahu jadi live streamer tetapi tidak ada direction. Kita mahu ubah mindset bahawa sebab kerja dari rumah, kita tidak perlu ada disiplin.
“Kalau mahu jadikan ini pekerjaan tetap, kita kena bekerja dan belajar. Kena ada drive, fighting spirit dan performance. Sebab itu kami wujudkan akademi ini,” katanya.
Selain latihan, KSIA turut menyediakan peluang kepada bakat baharu yang berdepan kekangan kewangan untuk memiliki studio sendiri.
Sebuah studio LIVE lengkap dirancang untuk disediakan secara sewaan, termasuk kemudahan PC, dua kamera, sistem audio dan keperluan asas bagi menjalankan siaran langsung.
“Untuk set up sebuah studio LIVE yang betul-betul profesional, kosnya besar. Kalau mereka sudah menyimpan dan ada bajet, mereka boleh set up studio sendiri. Tetapi kalau belum ada bajet, kami mahu sediakan studio untuk mereka.
“Ada PC, dua kamera, sound system dan keperluan asas untuk LIVE. Jadi mereka boleh datang dan gunakan kemudahan yang kami sediakan,” katanya.
Menurut Pakcik Chin Swee, usaha meningkatkan tahap profesionalisme juga perlu meliputi kualiti produksi, bukan sekadar kemampuan seseorang hos bercakap dan menghiburkan penonton.
Beliau melihat perkembangan Douyin di China sebagai contoh bagaimana kandungan LIVE boleh berkembang sehingga mempunyai skala produksi besar dan tampil seakan-akan sebuah rancangan televisyen.
“Kalau kita lihat Douyin di China, mereka sudah jauh ke hadapan. Saya boleh katakan mereka mungkin sudah 10 hingga 12 tahun lebih advance daripada kita.
“Di sana, orang buat LIVE sudah macam sebuah rancangan televisyen. Malah ada LIVE yang mempunyai produksi sangat besar, termasuk konsert dan pelbagai bentuk persembahan.
“Kita di Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan. Kalau kita mahu bersaing, kita perlu mula bergerak ke arah live streaming yang lebih profesional,” katanya.
Justeru, aspek seperti kualiti kamera, PC, sistem audio, pencahayaan, grooming, penampilan, kandungan serta cara hos berkomunikasi dan berinteraksi dengan penonton perlu diberikan perhatian.
“Kualiti bukan hanya pada cara mereka bercakap. Kita tengok keseluruhan LIVE itu. Bagaimana setup mereka, bagaimana kamera mereka, bagaimana mereka tampil, bagaimana mereka communicate dan bagaimana mereka menghiburkan penonton.
“Kalau pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan pandai menghiburkan orang, itu asas yang sangat bagus. Tetapi kita mahu membentuk mereka menjadi lebih profesional,” katanya.
Dengan komuniti yang semakin berkembang di Malaysia, Indonesia dan Singapura, KamiSempoi Golden Award 2025 bukan sekadar menjadi pentas penghargaan buat pencipta kandungan dan hos TikTok LIVE.
Sebaliknya, penganjuran kali keempat itu turut memperlihatkan usaha KSIA membina laluan yang lebih tersusun untuk mereka yang mahu serius dalam bidang berkenaan, daripada latihan dan pembangunan kemahiran sehingga penyediaan kemudahan teknikal.
Menerusi KamiSempoi Premier Academy, KSIA menyasarkan untuk melahirkan generasi baharu penstrim yang bukan sahaja mampu menarik perhatian penonton, tetapi turut mempunyai disiplin, kemahiran dan kemampuan menghasilkan kandungan LIVE dengan standard produksi lebih tinggi.
“Kami mahu orang melihat live streaming sebagai satu kerjaya profesional. Kami mahu lahirkan generasi baharu yang bukan sahaja boleh mendapatkan tontonan, tetapi boleh menghasilkan sebuah live show yang berkualiti dan mempunyai standard produksi yang tinggi.
“Ini bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam satu malam. Tetapi kita perlu mula bergerak sekarang. Kami percaya masa depan live streaming Malaysia sangat besar,” katanya.
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)


0 Ulasan