CELA BERANI SENTUH SISI GELAP CINTA

Keberanian Viu meneroka sisi berbeza dalam penceritaan menerusi pelbagai drama terbitannya semakin memperlihatkan identiti platform berkenaan dalam mengetengahkan karya yang tidak semestinya bermain pada formula selamat.

Ada antaranya tampil dengan tema yang berani, mencabar perspektif penonton dan menyentuh sisi kehidupan yang mungkin dianggap sedikit taboo. Namun, pendekatan itu bukan sekadar mahu mencipta sensasi atau berlumba-lumba menandingi platform penstriman lain.

Sebaliknya, Viu dilihat lebih berminat membuka ruang kepada cerita yang mempunyai sesuatu untuk diperkatakan, khususnya apabila ia menyentuh emosi manusia, hubungan yang kompleks serta konflik yang tidak semestinya hitam dan putih.

Terbaharu, pendekatan itu diteruskan menerusi Cela (Broken), Viu Original Malaysia arahan Feroz Kader yang menggabungkan elemen suspens psikologi, dark romance, drama kekeluargaan dan misteri.

Menariknya, Cela tidak sekadar meletakkan hubungan antara dua manusia sebagai teras cerita, tetapi membina persoalan lebih besar mengenai obsesi, kehilangan, dendam dan rahsia yang mampu mengubah kehidupan sebuah keluarga.

Gandingan Nabila Huda dan Hun Haqeem sebagai Datuk Anees dan Kaer turut memberikan warna tersendiri kepada siri 12 episod berkenaan, apatah lagi hubungan antara kedua-dua karakter itu menjadi antara aspek yang paling mencetuskan rasa ingin tahu penonton.

Beberapa babak yang dipaparkan menerusi trailer termasuk interaksi intim antara Anees dan Kaer, sekali gus mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Namun, jika dilihat daripada keseluruhan premisnya, babak tersebut bukan sekadar elemen untuk menarik perhatian. Ia menjadi sebahagian daripada hubungan yang sengaja dibina secara kompleks bagi membawa penonton memahami keadaan emosi serta konflik yang menghimpit kedua-dua karakter.

Nabila, 42, yang membawa watak Anees mengakui dirinya memahami kemungkinan reaksi penonton terhadap babak sedemikian, namun melihatnya sebagai sebahagian daripada tuntutan lakonan.

“Saya pergi ke set untuk bekerja, bukan untuk cari ‘romance’. Saya rasa orang yang mengenali saya sudah faham bahawa itulah pekerjaan saya.

“Jadi, apabila pengarah kata ‘cut’, saya kembali menjadi diri saya sendiri. Itu sahaja, semudah itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana Cela di TGV Suria KLCC, baru-baru ini.

Bagi Nabila, karakter yang dimainkan perlu dipisahkan daripada dirinya sebagai individu.

Katanya, setiap interaksi fizikal yang berlaku antara Anees dan Kaer dilakukan berdasarkan keperluan babak, arahan pengarah serta konteks cerita.

“Sebagai seorang pelakon, apabila menjayakan sesuatu babak, saya bukan Nabila Huda, saya adalah Anees.

“Setiap interaksi fizikal dalam babak berkenaan ada sebab, arahan dan konteksnya. Bukan saya datang ke set suka-suka hendak menyentuh anak orang. Semuanya berdasarkan jalan cerita.

“Sudah tentu ada batasannya. Kita semua profesional. Kami berbincang, melakukan latihan dan tahu apa yang diperlukan untuk sesuatu babak,” katanya.

Hun: Jangan nilai cerita daripada trailer

Hun Haqeem, 28, pula melihat reaksi penonton sebagai sesuatu yang sudah dijangka, terutama apabila trailer memperlihatkan sisi hubungan Kaer dan Anees yang mungkin membuatkan sesetengah penonton kurang selesa.

Namun, dia berharap penonton tidak terlalu cepat membuat kesimpulan terhadap sesuatu karya hanya berdasarkan beberapa babak yang dipilih untuk tujuan promosi.

“Sejujurnya, saya memang sudah menjangkakan reaksi mereka akan jadi begini. Tetapi, apa yang saya boleh katakan kepada mereka yang berasa kurang selesa atau memberikan komen, tengok dahulu.

“Berikan peluang dan selepas itu, anda akan faham kenapa saya melakukan apa yang saya lakukan. Bagi saya, setiap karya dan perkara yang saya lakukan perlu memberikan impak kepada mereka yang menonton,” katanya.

Apa yang membuatkan Hun tertarik dengan Cela sebenarnya ialah lapisan emosi yang dibawa oleh watak Kaer.

Selepas membaca skrip, dia melihat karakter itu sebagai seorang anak muda yang berdepan perasaan yang sukar untuk diterima, selain perlu berhadapan dengan hubungan yang berada di luar batas kebiasaan.

“Apabila saya menerima skrip dan membacanya, saya rasa sakit. Dalam erti kata lain, saya rasa setiap manusia yang hidup di dunia ini pernah melalui perasaan sakit itu, terutama apabila berdepan sesuatu yang bersifat ‘forbidden’ atau cinta yang tidak direstui,” katanya.

Bermula dengan tragedi keluarga

C​ela membawa penonton mengikuti kehidupan Kaer selepas kematian bapanya yang mengubah keadaan keluarganya. Bersama ibunya yang masih dalam kesedihan, Kaer kemudiannya tinggal bersama Datuk Arshad dan isterinya, Datuk Anees.

Dalam suasana keluarga yang belum benar-benar pulih daripada tragedi tersebut, Kaer mula mempunyai ikatan emosi dengan Anees. Hubungan itu bagaimanapun mengambil arah yang lebih gelap apabila Kaer menemui sebuah rahsia yang mengaitkan Anees dengan tragedi yang telah memusnahkan keluarganya.

Daripada sebuah hubungan yang bermula ketika Kaer sedang mencari ruang untuk melepaskan kesedihan, cerita kemudian berkembang menjadi permainan emosi yang melibatkan kepercayaan, pengkhianatan dan dendam.

Persoalannya bukan lagi sekadar siapa mencintai siapa, tetapi sejauh mana seseorang sanggup pergi apabila orang yang dipercayainya rupa-rupanya mempunyai kaitan dengan luka paling besar dalam hidupnya.

Di sinilah kekuatan Cela sebagai sebuah drama psikologi mula terserlah. Siri berkenaan juga menandakan gandingan pertama Nabila dan Hun dalam sebuah karya, manakala Feroz Kader pula meneroka genre dark romance buat julung kali sebagai pengarah.

Selain mereka berdua, Cela turut menampilkan Zarif Ghazzi, Ellyza Azizi, Dato' Sri Eizlan Yusof, Lisdawati dan Zain Saidin.

Sementara itu, perjalanan emosi drama berkenaan turut diperkukuh menerusi lagu tema rasmi, Sejambak Bunga, dendangan penyanyi Ernie Zakri.

C​ela mempunyai 12 episod dan kini boleh distrim secara eksklusif di Viu, dengan episod baharu disiarkan setiap Khamis dan Jumaat.

Menerusi karya seperti Cela, Viu nampaknya terus memilih untuk memberi ruang kepada cerita yang berani melihat manusia daripada sudut yang lebih rumit, bukan semata-mata siapa yang baik atau siapa yang salah, tetapi bagaimana trauma, kehilangan, cinta dan dendam mampu mempengaruhi keputusan seseorang.

Catat Ulasan

0 Ulasan