BINTANG SUARA MELILEA 2026: BAKAT MUDA, PERLU TAHU HAK! - FAHMI

Setiap penyanyi bermula dengan sebuah impian, namun dalam perjalanan mengejar cita-cita, bakat semata-mata belum tentu cukup untuk menjamin masa depan dalam industri muzik.

Menyedari hakikat itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengingatkan bakat muzik baharu supaya bukan sahaja memberi perhatian kepada suara dan persembahan, tetapi turut memahami hak serta aspek perundangan sebelum melangkah lebih jauh dalam industri.

Menurut beliau, pengetahuan asas mengenai perundangan amat penting, khususnya sebelum seseorang penyanyi menandatangani kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman.

“Sebelum kita tandatangan apa-apa kontrak dengan mana-mana label, yang paling penting sebenarnya adalah untuk tahu hak kita sebagai seorang penyanyi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bintang Suara Melilea 2026 di ibu negara, semalam.

Peringatan itu dilihat cukup signifikan ketika semakin ramai anak muda menggunakan platform digital untuk memperkenalkan bakat masing-masing dan membina nama tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada televisyen atau radio.

Fahmi berkata perkembangan teknologi dan platform digital kini membuka ruang lebih luas kepada bakat baharu untuk memperkenalkan diri, sekali gus memberi peluang kepada mereka membina pengikut dan mencipta laluan sendiri dalam industri muzik.

Namun, di sebalik kemudahan untuk menjadi ‘viral’ atau mendapat perhatian dalam tempoh singkat, beliau mahu pembangunan bakat tidak berhenti setakat menemukan penyanyi baharu.

Sebaliknya, ia perlu disusuli bimbingan, pendidikan, sokongan dan asas profesionalisme supaya bakat yang diketengahkan benar-benar bersedia menghadapi realiti industri.

Fahmi menyifatkan bakat muda sebagai “permata yang belum digilap” yang perlu diasuh, dididik, diberikan nasihat dan sokongan supaya bakat, iltizam serta impian yang dimiliki dapat dikembangkan ke tahap lebih tinggi.

Nasihat itu hadir bersempena pelancaran Bintang Suara Melilea 2026, sebuah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MELILEA (M) Sdn. Bhd. yang mahu mencungkil, membimbing dan memperkasa bakat baharu dalam kalangan generasi muda.

Menerusi tagline ‘Impian Anda · Suara Anda · Masa Depan Anda’, pertandingan berkenaan tidak sekadar mahu mencari seorang juara, sebaliknya membuka ruang kepada peserta untuk membina keyakinan, mengenali kekuatan diri dan mendapatkan pendedahan terhadap dunia industri muzik.

Bukan sekadar mencari juara

Bagi MELILEA, bakat hanyalah permulaan. Peserta juga perlu mempunyai disiplin, ketekunan, keberanian mengambil peluang serta kesediaan menerima bimbingan jika mahu menjadikan minat terhadap muzik sebagai kerjaya.

Atas sebab itu, Bintang Suara Melilea 2026 turut memberi penekanan kepada pendedahan industri dan panduan profesional daripada penggiat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik serta pengurusan bakat.

Program berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama SWYM Entertainment Group yang diterajui Ong Peng Chu, selain mendapat kerjasama Neo Gendang Studio pimpinan komposer, pengarah muzik dan gitaris kumpulan Wings, Edrie Hashim.

Ong, yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri muzik, melihat pertandingan nyanyian sebagai medan penting untuk mengenal pasti bakat baharu yang mungkin selama ini tidak mempunyai ruang untuk mengetengahkan kemampuan.

Baginya, pertandingan bukan semata-mata mengenai siapa menang atau kalah, tetapi peluang untuk bakat baharu didengar, dilihat dan diberikan ruang untuk melangkah lebih jauh.

Beliau turut mengajak mereka yang mempunyai bakat atau sekadar mencintai dunia nyanyian supaya berani keluar daripada zon selesa dan merebut peluang yang tersedia.

“Kalau anda rasa anda mempunyai bakat, potensi atau sekadar sangat mencintai dunia nyanyian, jangan hanya menyanyi seorang diri di rumah. Apabila peluang datang, beranilah untuk tampil ke hadapan,” katanya.

‘Transforming Lives’

Dalam pada itu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA International Group of Companies, Datuk Prof. Dr. Alan Wong, berkata inisiatif berkenaan selari dengan falsafah ‘Transforming Lives’ yang menjadi antara asas pendekatan MELILEA dalam membuka peluang serta membantu individu mengembangkan potensi diri.

Katanya, peluang yang diberikan kepada golongan muda bukan sekadar memberi manfaat kepada individu, malah berpotensi membawa perubahan lebih besar kepada keluarga dan masyarakat.

“Apabila seseorang diberikan ruang untuk menyerlahkan kebolehan mereka, dibimbing dengan baik dan diberi keyakinan, perubahan itu bukan sahaja boleh mengubah kehidupan individu tersebut, malah boleh memberi kesan positif kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.

Justeru, Bintang Suara Melilea 2026 mahu peserta melihat pentas berkenaan bukan sebagai destinasi terakhir, tetapi sebagai langkah pertama untuk memahami apa yang diperlukan sebelum benar-benar terjun ke dunia profesional.

Selain peluang mengetengahkan bakat dan mendapatkan pendedahan industri, peserta turut berpeluang merebut hadiah wang tunai serta produk kesihatan.

Fahmi pada masa sama menyatakan kesediaannya membantu menyediakan platform lebih besar untuk program berkenaan pada tahun-tahun akan datang, selain menyokong usaha mencungkil bakat baharu dalam industri muzik.

Beliau turut melihat pembangunan bakat tempatan sebagai satu usaha yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selain membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.

Bintang Suara Melilea 2026 yang berlangsung sehingga 10 Oktober membawa mesej lebih besar daripada sekadar pertandingan nyanyian. Ia mahu mengingatkan bahawa bakat perlu diberi ruang untuk berkembang, namun pada masa sama, bakat baharu juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan bagi melindungi kepentingan mereka sebelum melangkah lebih jauh dalam industri.

Dalam dunia muzik, suara mungkin menjadi kunci untuk membuka pintu, tetapi ilmu, disiplin dan pengetahuan mengenai hak sendiri menjadi bekalan untuk terus bertahan dan berkembang di dalamnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan