Kumpulan K.O.I mencipta kejutan di pentas Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) apabila karya Tiwikarma dinobatkan sebagai juara pada malam kemuncak acara berprestij itu di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Kemenangan berkenaan menyaksikan K.O.I membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi, sekali gus menobatkan Tiwikarma sebagai karya terbaik AJL40.
Lagu berkenaan dihasilkan menerusi kolaborasi Zai Hamzah, Hemo Globin, Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.
Aisha Retno pula menduduki tempat kedua menerusi Tak Adil, manakala Ryenald Guntabid melengkapkan tiga kedudukan teratas dengan karya Lumangad Oku Dika.
Tak Adil yang dicipta bersama Aisha Retno dan Radi, dengan lirik oleh Aisha Retno, melayakkan penyanyi itu menerima RM50,000 dan trofi.
Ryenald pula membawa pulang RM30,000 serta trofi menerusi Lumangad Oku Dika, karya yang turut dinyanyikan dan dicipta sepenuhnya olehnya.
Persaingan AJL40 turut menyaksikan Marsha Milan membawa pulang Anugerah Vokal Terbaik menerusi persembahan Tangisan Seorang Pendosa. Pengiktirafan itu memberikan Marsha hadiah RM12,000 berserta trofi.
Aina Abdul pula mengungguli kategori Persembahan Terbaik menerusi Kamu, berdasarkan undian penonton melalui portal Tonton. Kemenangan itu memberikan Aina RM12,000 dan trofi.= Tidak cukup dengan satu pengiktirafan, Aina turut dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee yang menawarkan hadiah RM50,000, trofi eksklusif dan kontrak sebagai Duta Kempen Shopee.
Aina juga mencipta satu lagi detik penting apabila dipilih mewakili Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026, dengan TV3 sebagai penyiar rasmi Malaysia untuk pertandingan tersebut.
AJL40 yang mengangkat tema Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia turut membawa mesej Love Your Legacy, Elevate Your Future sebagai refleksi perjalanan empat dekad acara berkenaan dalam industri muzik tempatan.
Sembilan karya berentap di pentas akhir, termasuk Cak Cak Cekuk nyanyian Wanie Kayrie, Kemana Ni oleh Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik serta Semacam Pandora dendangan Hazama. Turut bersaing ialah Lemah nyanyian Dayang Nurfaizah dan Nurcinta oleh Amir Masdi.
AJL40 turut dipimpin Pengarah Muzik, Aubrey Suwito, manakala barisan juri profesional diketuai Datuk Acis bersama SM Muzaffar, Efry, AG Coco, Siti Hajar, Ad Samad, LY, Pat Ibrahim dan Helen Yap.
Naz Rahman dan Sissy Imann menggalas tugas sebagai hos pentas utama, sementara Fizi Ali dan Fiza Frizzy mengendalikan segmen Karpet Merah dan Backstage.
Acara empat dekad itu turut mengimbau sejarah AJL menerusi persembahan bekas juara yang menampilkan Datuk Francissca Peter, Misha Omar, Haqiem Rusli, Syamel, Ernie Zakri, Azlan serta Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Umairah.
Daiyan Trisha dan Nabila Razali turut membuat persembahan sebelum acara diteruskan dengan segmen interlud dan persembahan penutup oleh Amelina serta Ziana Zain.
AJL40 disiarkan secara langsung menerusi TV3 selain penstriman eksklusif melalui aplikasi Tonton.
Acara berkenaan dibawakan oleh McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), dengan Shopee, Grab, Unifi dan Volvo sebagai rakan rasmi dalam kategori masing-masing.
HotFM dan KoolFM pula bertindak sebagai rakan radio, manakala OhBulan!, XTRA dan SEISMIK menjadi rakan digital rasmi.
.png)
.png)




0 Ulasan