"JAM MISTERI ATUK" BUAT SYAFIQ DHARMA SEBAK

Dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini, penonton sekali lagi disajikan dengan pelbagai karya khas bertemakan keluarga, kasih sayang dan nostalgia yang sering menjadi elemen utama dalam penceritaan musim perayaan.

Antara karya yang menarik perhatian untuk dikupas ialah filem pendek Jam Misteri Atuk, terbitan Avaris Studio yang tampil dengan gabungan elemen misteri, emosi dan nilai kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

Filem arahan Ali Irman Bahrudden itu mengangkat kisah seorang cucu perempuan yang masih merindui arwah datuknya. Segalanya berubah apabila dia menemui sebuah jam tangan lama milik datuknya yang secara misteri membawanya kembali ke masa lalu.

Melalui pengalaman tersebut, dia berpeluang bertemu semula dengan datuknya dan secara tidak langsung menyedari betapa berharganya masa bersama insan tersayang sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.

Selain menyentuh tema kehilangan, filem pendek ini turut membawa elemen nostalgia kehidupan kampung serta tradisi keluarga menjelang Aidilfitri seperti penyediaan ketupat yang semakin jarang dilihat dalam kalangan generasi muda hari ini.

Dalam pada itu, antara yang mencuri perhatian dalam karya ini ialah lakonan Syafiq Dharma, yang mengakui watak dibawanya memberi kesan emosi mendalam kerana mempunyai persamaan dengan pengalaman hidupnya sendiri.

Syafiq atau nama sebenarnya Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 37, berkata perasaan sebak itu kembali hadir apabila dia terlibat dalam pembikinan filem pendek tersebut.

Ini kerana ia merupakan kali pertama dia kembali berlakon selepas pemergian bapanya, pelakon veteran Allahyarham Dharma Harun Al Rashid, yang meninggal dunia pada 25 November tahun lalu.

“Ini kali pertama saya kembali berlakon selepas pemergian bapa. Jalan cerita filem pendek ini sangat dekat dengan diri saya sehingga saya terpaksa berperang dengan emosi sendiri.

“Cerita ini tentang seorang anak yang kehilangan bapanya dan saya sendiri masih dalam proses untuk ‘move on’. Ada babak yang saya tidak berlakon, sebaliknya emosi itu datang secara semula jadi,” katanya.

Menurut Syafiq lagi, karya tersebut turut memberi peringatan tentang pentingnya menghargai masa bersama ibu bapa selagi mereka masih ada.

“Seperti dalam cerita ini, selepas arwah bapa tiada barulah kita teringat kenangan bersama dan rasa rindu.

“Semasa mereka masih ada, kita sibuk dengan kerja dan kehidupan. Sekarang apabila saya nampak kerusi yang arwah bapa selalu duduk pun saya rasa sayu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Syafiq yang kini sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) berharap penglibatannya dalam Jam Misteri Atuk dapat membuka lebih banyak peluang dalam bidang lakonan.

Malah, dia juga menyimpan hasrat untuk meneruskan legasi bapanya dalam dunia seni.

“Jika boleh arwah bapa mahu saya terus menghidupkan nama Dharma dalam bidang seni dan saya harap melalui karya ini orang akan mula nampak bakat saya,” katanya.

Selain Syafiq Dharma, filem pendek tersebut turut dibintangi Azhar Amir, Aleza Shadan, Wafariena Roslan, Kiky Hannah dan Aidern Shafiy.

Filem pendek Jam Misteri Atuk menjalani penggambaran selama dua hari di sekitar Hulu Langat, Selangor sebelum mengadakan tayangan perdana eksklusif pada 13 Mac lalu di 10Stars Cinemas Hextar World, Empire City Mall, Damansara.

Karya berkenaan kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Avaris Studio MY dan dijangka turut disiarkan di Awesome TV.

Catat Ulasan

0 Ulasan