Penyanyi legenda, Dato’ Aishah bakal meraikan empat dekad perjalanan seninya menerusi konsert berskala besar, Aishah 40 Chapters of Love, yang dijadual berlangsung pada 4 Julai ini di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Vox Nation Live itu diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media eksklusif di Restoran Rebung Chef Ismail, petang tadi, sekali gus mengangkat perjalanan seni Dato’ Aishah yang kekal relevan merentas generasi.
Lebih daripada sekadar persembahan, konsert ini dirangka sebagai sebuah pengalaman penuh emosi yang menggabungkan cinta, kenangan dan evolusi seni, dengan setiap segmen membawa penonton menyelusuri perjalanan panjang kariernya yang sarat dengan sejarah tersendiri.
Mengimbau perjalanan seninya, Dato’ Aishah pernah mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila mengembangkan kerjayanya ke New Zealand dan Amerika Syarikat pada era 1980-an bersama kumpulan The Fan Club sebelum kembali mengukuhkan nama di tanah air. Sepanjang kariernya, beliau turut menjayakan pelbagai persembahan eksklusif dan konsert berskala sederhana yang sentiasa mendapat sambutan hangat, termasuk konsert berprestij bersama Orkestra Filharmonik Malaysia di Dewan Filharmonik PETRONAS pada 2022 yang memperlihatkan sisi vokalnya dalam susunan muzik orkestra yang lebih elegan dan eksklusif.
Kini, menerusi Aishah 40 Chapters of Love, timbul persoalan sama ada konsert berskala mega ini bakal mencipta gelombang kebangkitan semula minat peminat terhadap Aishah, khususnya lagu-lagu hits era 1990-an yang pernah mendominasi carta muzik tempatan.
Antara lagu ikonik yang dijangka mengisi malam berkenaan termasuk Janji Manismu, Camar Yang Pulang dan Kemaafan Dendam Yang Terindah, selain karya lain yang menjadi runut bunyi kehidupan peminat sejak beberapa dekad lalu. Menambah keterujaan, penyanyi berbakat, Ara Johari diumumkan sebagai artis undangan, sekali gus mempertemukan dua generasi dalam satu pentas yang dijangka mencipta momen istimewa.
Dalam perkembangan sama, Aishah, 61, mendedahkan konsert berkenaan sebelum ini berdepan isu teknikal apabila jualan tiket yang dibuka pada 17 April lalu didakwa terganggu sehingga menimbulkan kekecewaan dalam kalangan peminat. Menurutnya, beliau menerima banyak aduan daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket walaupun menunggu lama dalam talian.
“Saya menangis apabila mula-mula mengetahui perkara ini kerana kami sudah bekerja keras untuk menjayakan konsert ini. Ada peminat yang menunggu berjam-jam, tetapi apabila berjaya masuk, sistem memaparkan tiket sudah habis dijual,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan menuding jari atau mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak dan memilih untuk terus memberi fokus kepada persiapan konsert.
“Saya tidak mahu ada perasaan marah. Saya hanya mahu ‘move on’ dan fokus kepada konsert kerana tempoh masa yang ada sangat singkat,” katanya.
Susulan isu berkenaan, pihak pengurusan memutuskan untuk beralih ke platform jualan tiket baharu, iaitu Ticketmelon bagi memastikan proses pembelian lebih lancar, selain memberi peluang kepada peminat yang sebelum ini terlepas mendapatkan tiket.
Sebagai penghargaan kepada peminat setia, konsert ini turut memperkenalkan edisi terhad vinyl eksklusif yang dihasilkan dalam jumlah terhad, sekali gus menjadi koleksi istimewa buat penggemar muzik fizikal. Aishah kini giat menjalani persiapan dari segi vokal, mental dan fizikal bagi memastikan persembahan terbaik dapat dipersembahkan pada malam berkenaan.
“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat yang sentiasa menyokong saya selama ini. Saya mahu ia menjadi pengalaman yang bermakna untuk semua,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang menyifatkan konsert ini sebagai sebuah penghormatan kepada perjalanan seni luar biasa penyanyi itu, dengan sasaran memberikan pengalaman konsert bertaraf tinggi kepada penonton.
Tiket konsert kini boleh didapati menerusi platform Ticketmelon sahaja dengan harga bermula RM168 hingga RM788, meliputi beberapa kategori termasuk VVIP, VIP dan zon khas peminat.
Konsert Aishah 40 Chapters of Love bukan sekadar meraikan perjalanan seni seorang penyanyi, tetapi menjadi simbol dedikasi dan kecintaan terhadap muzik yang terus hidup dalam jiwa peminat, selain dijangka menghidupkan semula nostalgia lama sambil mencipta kenangan baharu yang sukar dilupakan.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(70).png)


.png)


0 Ulasan