SYAMEL MOHON MAAF

Penyanyi Syamel memohon maaf susulan salah faham yang timbul berhubung teaser muzik video (MV) lagu terbaharunya, Pertama.

Karya ciptaan dan terbitan Edry Abdul Halim itu menampilkan sisi muzik lebih groovy dan moden, sekali gus berbeza daripada lagu balada yang sering menjadi identiti penyanyi berkenaan sebelum ini.

Mengangkat tema cinta pandang pertama, Pertama tidak hanya berkisar tentang perasaan terhadap seseorang, sebaliknya turut menggambarkan keterujaan terhadap sesuatu yang diminati pada pandangan pertama.

“Kadang-kadang bila kita tengok sesuatu, terus ada satu perasaan yang sukar dijelaskan, tetapi hati kita terus ‘klik’. Itulah rasa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” katanya.

Dari segi vokal dan persembahan, Syamel tampil dengan gaya lebih santai dan berani, selain memberi penekanan terhadap aspek penghayatan serta gaya penyampaian hasil bimbingan Edry Abdul Halim.

“Edry banyak menekankan soal penghayatan dan cara penyampaian untuk lagu ini. Dia mahu saya tampil dengan tenaga berbeza,” katanya.

Melengkapkan naratif lagu, muzik video (MV) Pertama tampil dengan konsep sinematik yang mengisahkan pertemuan singkat antara dua individu asing sebelum berkembang menjadi kisah cinta sempurna, namun akhirnya hanya imaginasi yang tercipta dalam sekelip mata.

MV berkenaan turut menampilkan personaliti media sosial, Aya Amiruddin serta finalis Dewi Remaja 2025, Sharmaine Alexander.

Bagaimanapun, pelancaran teaser MV lagu itu sebelum ini mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen yang menyangka berlaku sentuhan fizikal antara Syamel dan Sharmaine.

Mengulas perkara itu, Syamel sekali lagi memohon maaf sekiranya babak terbabit menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penonton.

“Saya ambil pendekatan untuk mohon maaf jika babak itu memberi rasa kurang kepada sesiapa yang menonton. Sebagai seorang yang matang, saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.

Syamel menjelaskan, babak berkenaan hanyalah teknik sudut kamera dan tidak melibatkan sebarang sentuhan fizikal.

“Ramai ingat saya rangkul pinggang, tetapi kalau ‘zoom’ betul-betul, memang tidak sentuh. Itu hanya ‘camera angle’,” katanya.

Menurutnya, beliau turut mendapatkan pengesahan daripada Sharmaine selain berkongsi perkara itu dengan isterinya, penyanyi Ernie Zakri.

“Saya hubungi Sharmaine untuk pengesahan dan dia sendiri memaklumkan memang tidak berlaku sentuhan. Saya juga berbincang dengan isteri dan kami melihat perkara itu bersama,” katanya.

Dalam masa sama, lagu Pertama turut didedikasikan khas buat peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan seni Syamel sejak awal.

“Mereka yang nampak saya sebelum orang lain nampak. Jadi lagu ini saya tujukan buat mereka yang pertama dalam hati saya,” katanya.

Single berkenaan kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 24 April lalu, manakala tarikh pelancaran muzik video (MV) rasmi akan diumumkan menerusi media sosial Syamel.

Catat Ulasan

0 Ulasan