Meskipun awan gerimis membasahi ibu kota sejak lewat petang, ia sama sekali tidak mematahkan semangat hampir 12,000 peminat untuk memenuhi setiap ruang di Stadium Hoki Bukit Jalil bagi menyaksikan Konsert Wali Kembali yang berlangsung penuh meriah, malam tadi.
Seawal jam 4 petang, ribuan peminat sudah mula membanjiri perkarangan stadium sebelum konsert bermula tepat jam 8.30 malam. Kehadiran luar biasa itu sekali gus membuktikan populariti kumpulan terkenal dari Indonesia, Wali Band, masih utuh dalam kalangan peminat tempatan sejak awal kemunculan mereka lebih sedekad lalu.
Bukan kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia, Wali Band sebelum ini pernah beberapa kali mengadakan persembahan dan siri promosi di negara ini yang sentiasa menerima sambutan hangat peminat. Hubungan akrab yang terjalin antara Wali Band dan peminat Malaysia itulah yang akhirnya membawa hikmah besar sehingga tercetusnya konsert mega “Wali Kembali” ini.
Malah, sambutan luar biasa yang diterima setiap kali mereka tampil di Malaysia menjadi bukti bahawa karya dan mesej yang dibawa kumpulan tersebut cukup dekat di hati masyarakat tempatan.
Suasana stadium bertukar gamat sebaik sahaja kumpulan yang dianggotai Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) muncul di pentas utama dengan penuh energi. Sorakan penonton semakin memuncak apabila lagu-lagu hit seperti “Aku Bukan Bang Toyib”, “Tobat Maksiat”, “Yank”, “Cari Jodoh” dan “Baik-Baik Sayang” berkumandang sepanjang malam.
Rata-rata penonton dilihat tidak mampu duduk diam apabila masing-masing bangun menari dan menyanyi bersama, sekali gus mencipta suasana konsert yang cukup ‘happening’ dan dipenuhi getar keterujaan tanpa henti.
Jelas terpancar rasa terharu pada wajah setiap anggota Wali Band apabila melihat sambutan luar biasa yang diberikan peminat. Mereka membalas sokongan tersebut dengan persembahan bertenaga, penuh interaksi dan keikhlasan yang berjaya menyentuh emosi penonton.
Tidak hanya sekadar menghiburkan, konsert anjuran GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures itu turut diselitkan dengan elemen kerohanian yang sinonim dengan identiti dakwah hiburan kumpulan berkenaan.
Pada malam penuh bermakna itu, Wali Band turut mengalunkan zikir, menitipkan doa serta menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat para peminat sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang terhadap mereka yang hadir.
Malah, mereka juga menyampaikan doa khas buat rakyat Palestin sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap situasi kemanusiaan yang sedang berlaku. Tindakan tersebut menerima reaksi penuh empati daripada para penonton yang bersama-sama mengaminkan doa dipanjatkan.
Pendekatan itu sekali lagi membuktikan kekuatan Wali Band bukan hanya terletak pada melodi dan lagu-lagu malar segar mereka, tetapi juga mesej positif yang dibawa menerusi setiap persembahan.
Pada akhirnya, “Wali Kembali” bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya sebuah naskhah persembahan yang menyatukan elemen hiburan, spiritual dan emosi dalam satu malam penuh bermakna. Konsert ini sekali lagi membuktikan bahawa kekuatan Wali Band tidak hanya terletak pada lagu-lagu malar segar mereka, tetapi juga pada kemampuan menyentuh hati ribuan peminat menerusi mesej kasih sayang, kemanusiaan dan nilai keagamaan yang dibawa dalam setiap persembahan.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(77).png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan