RAIKAN 40 TAHUN LEGASI SENI, AWIE BAKAL GEGAR STADIUM MERDEKA

Selepas lebih empat dekad menguasai pentas muzik tanah air, legenda rock Awie bersedia mencipta satu lagi sejarah menerusi konsert mega Awie Rock King – Last Man Standing 2026 yang bakal berlangsung pada 12 September depan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah perayaan besar yang merangkum keseluruhan perjalanan seni Awie daripada era kegemilangan bersama kumpulan Wings hingga ke fasa solo yang mengukuhkan statusnya sebagai ikon rock negara.

Menurut Penerbit dan Pengarah Konsert, Zamberi Shaari atau Bombay, judul Awie Rock King – Last Man Standing 2026” membawa makna mendalam terhadap keteguhan Awie yang kekal berdiri di pentas meskipun berdepan pelbagai perubahan dalam industri muzik tempatan.

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perjalanan. Dato' Awie adalah simbol ketahanan dalam industri. Dalam apa jua fasa, beliau tetap berdiri dengan identiti dan jiwa seninya yang tersendiri,” jelasnya.

Konsert ini dijangka menampilkan produksi berskala besar dengan susunan muzik eksklusif, gabungan visual dramatik serta penceritaan yang membawa penonton menyelusuri setiap fasa penting dalam karier Dato' Awie. Ia turut menghimpunkan barisan pemuzik profesional serta artis jemputan daripada pelbagai generasi sebagai penghormatan terhadap legasi seni beliau.

Bagi Dato' Awie sendiri, konsert ini merupakan refleksi perjalanan hidupnya sebagai anak seni yang penuh cabaran dan perubahan.

“Konsert ini adalah tanda penghargaan buat semua yang setia bersama saya sejak dahulu hingga sekarang. Setiap fasa itu membentuk siapa saya hari ini,” katanya penuh emosi ketika ditemui media di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Namun, satu momen yang mencuri perhatian apabila beliau diajukan soalan mengenai status legenda dalam dunia rock tempatan. Dengan penuh rendah diri, Dato' Awie menyatakan bahawa Datuk Amy Search lebih layak diangkat sebagai figura utama dalam arena rock negara, malah menyifatkan beliau selayaknya memegang gelaran “Ratu Rock Negara”.

Untuk rekod, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman merupakan vokalis utama kumpulan Search yang terkenal dengan pengaruh besar sejak era 80-an. Dengan vokal yang unik serta karisma pentas luar biasa, beliau sering dianggap antara ikon paling dominan dalam sejarah muzik rock Malaysia.

Kenyataan itu sekali gus memperlihatkan rasa hormat tinggi antara dua legenda besar industri, selain mencerminkan semangat persaudaraan yang kukuh dalam dunia muzik rock tanah air.

Konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026 ini dijangka menjadi antara acara muzik paling epik tahun ini, dengan potensi besar untuk menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran konsert tempatan dari segi konsep, produksi dan pengalaman penonton.

Tiket telah mula dijual dengan harga bermula RM98 hingga pakej eksklusif mencecah RM5,998 dan boleh didapati melalui platform iLasso Tickets.

Lebih daripada sekadar konsert, Awie Rock King – Last Man Standing 2026 adalah sebuah detik sejarah tentang seorang legenda yang tidak pernah jatuh, tidak pernah hilang dan terus berdiri sebagai suara rock yang menggegarkan jiwa generasi demi generasi.

Catat Ulasan

0 Ulasan