Kumpulan Slam bakal mengembalikan nostalgia era kegemilangan muzik tempatan menerusi konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang dijadual berlangsung pada 20 Jun ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Lebih menarik, konsert berkenaan tampil dengan kelainan tersendiri apabila menghimpunkan tiga gitaris tersohor tanah air iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search dalam satu pentas, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik luar biasa buat peminat.
Gabungan tiga figura berpengaruh itu dilihat sebagai langkah strategik dalam mengangkat nilai persembahan apabila masing-masing memiliki identiti, gaya dan sentuhan tersendiri yang telah mencorakkan landskap muzik tempatan sejak sekian lama.
Konsert berkenaan juga menjadi sekuel kepada persembahan ikonik The Grand Slam Unplugged yang pernah mencipta sejarah pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka apabila tetap berlangsung meskipun berdepan gangguan elektrik.
Namun menurut anggota Slam, konsert kali ini bukan sekadar mengulang kejayaan lalu, sebaliknya hadir dengan pendekatan lebih segar bagi mencipta momen baharu buat penonton.
Gitaris Slam, Shah berkata, The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah apresiasi terhadap perjalanan seni kumpulan itu yang masih bertahan dan relevan sehingga hari ini.
“Ini bukan konsert ulang tayang atau mengambil kesempatan atas sejarah yang pernah berlaku sebelum ini. Sebaliknya, ia sebuah perayaan karya dan penghargaan buat peminat yang sentiasa bersama Slam sejak era kaset, cakera padat (CD) hingga ke platform penstriman digital,” katanya.
Menurut Shah lagi, konsert itu bakal menjadi medan buat peminat mengimbau kenangan lama dalam suasana lebih segar dan eksklusif.
Sementara itu, pemain dram Slam, Osman Khalid meluahkan rasa syukur apabila sambutan terhadap The Grand Slam Unplugged 2 cukup memberangsangkan sejak jualan tiket dibuka pada Februari lalu.
Menurutnya, keterujaan peminat jelas dapat dilihat apabila sebahagian besar tiket sudah berjaya dijual, malah kategori PS3 dan PS4 turut habis terjual dalam tempoh singkat.
“Kami sangat bersyukur dengan sokongan peminat. Sambutan yang diterima membuktikan Slam masih mendapat tempat di hati peminat lama dan baharu,” katanya.
Dalam masa sama, Osman percaya kehadiran tiga gitaris legenda iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search bakal menjadi antara tarikan utama konsert berkenaan apabila pengalaman serta sentuhan muzik mereka dijangka menyuntik dimensi lebih segar, eksklusif dan bertenaga ke pentas The Grand Slam Unplugged 2.
Aznan Alias menyifatkan penglibatannya dalam The Grand Slam Unplugged 2 sebagai satu penghormatan besar, malah menganggap Slam sebagai antara kumpulan yang menjadi wajah sebenar genre Pop Melayu di negara ini.
Bagi JoBranko pula, kolaborasi tersebut bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya melambangkan eratnya persahabatan serta silaturahim yang telah lama terjalin sesama pemuzik dalam industri seni tempatan.
Pandangan sama turut dikongsi Kid Search yang menyifatkan gabungan itu sebagai simbol penyatuan muzik tanpa mengira latar belakang mahupun genre.
“Muzik sentiasa menyatukan kita. Walaupun datang daripada kumpulan dan genre berbeza, kita tetap meraikan muzik bersama,” katanya.
Dengan gabungan nama besar industri, elemen nostalgia serta kolaborasi eksklusif yang jarang disaksikan, The Grand Slam Unplugged 2 dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti tahun ini, sekali gus berpotensi mencipta satu lagi momen bersejarah dalam landskap hiburan tempatan.
Tiket konsert kini dijual pada harga RM468 bagi kategori VIP (Gold), RM388 untuk PS1 (Silver) dan RM368 bagi PS2 (Platinum), manakala kategori Grand VIP berharga RM3,000 bagi tempat duduk sofa pasangan. Tiket kategori PS3 dan PS4 pula dilaporkan telah habis dijual.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(78).png)
.png)
.png)
.png)


0 Ulasan