Konsert TRILOGI bakal menghimpunkan tiga figura vokal berkarisma; Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim dalam sebuah persembahan eksklusif yang meraikan muzik dan kekuatan interpretasi masing-masing di atas satu pentas. Menggabungkan elemen rock, balada dan sentuhan kontemporari, setiap artis akan menampilkan repertoir terbaik mereka, di samping kolaborasi istimewa yang hanya dapat disaksikan di konsert TRILOGI, sekali gus mencipta momen bersejarah buat para peminat muzik tempatan.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall, Astana Putra UPM Serdang ini dijangka menjadi pengalaman muzik yang luar biasa dengan kapasiti terhad seramai 1,000 penonton sahaja, sekali gus menawarkan suasana eksklusif dan lebih dekat antara artis dan peminat.
Konsert TRILOGI bakal menampilkan Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim yang kini kembali membuat ‘comeback’ selepas lama menyepi, sekali gus menandakan kemunculan semula yang dinanti-nantikan oleh para peminat. Fiq Halim yang dikenali dengan lagu 'Tiga Malam Tanpa Bintang' berkata beliau tidak sabar untuk kembali bersama dua rakan baiknya dan akhirnya dia terbuka hati untuk kembali selepas bertemu Aepul Roza.
Boleh dikatakan Aepul Roza adalah 'mastermind' disebalik konsert ini, ini kerana, ketiga-tiga artis ini sebelum ini pernah mencipta keserasian menerusi kolaborasi lagu “Selamatkan Aku” pada tahun 2017, yang memperlihatkan kekuatan vokal dan karakter unik masing-masing. Penganjuran Konsert TRILOGI tercetus daripada sambutan luar biasa ketika persembahan mereka di Konsert 15 Tahun Drama Band pada 31 Januari 2026 yang lalu. Sorakan dan reaksi hebat daripada para peminat telah membuka mata banyak pihak, sekaligus mencetuskan idea untuk menggabungkan ketiga-tiga figura ini dalam sebuah konsert khas. TRILOGI kini lahir sebagai sebuah pentas istimewa yang meraikan kekuatan muzik, nostalgia, dan keunikan tiga vokal yang berbeza, namun saling melengkapi.
Konsert ini bakal mempersembahkan sebanyak 25 buah lagu, merangkumi karya solo setiap artis, kolaborasi istimewa serta repertoir terbaik Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim. Penonton akan dibawa menyelusuri perjalanan seni dan emosi bersama ketiga-tiga penyanyi ini dalam satu malam
yang yang bertenaga, nostalgia dan penuh dinamika.
Menurut pihak penganjur, Aepul Roza Ventures Sdn Bhd, Konsert TRILOGI bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi sebuah platform untuk meraikan perjalanan seni, persahabatan dan
evolusi muzik rock tempatan.
Tiket Konsert TRILOGI ditawarkan dalam tiga kategori utama iaitu VIP berharga RM289 (terhad kepada 100 pemegang tiket) yang turut merangkumi sesi Meet & Greet eksklusif, diikuti kategori Normal pada harga RM189, serta kategori Standing berharga RM99. Para peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman rasmi di www.trilogi.uberticket.asia.

.jpg)

.jpg)

0 Ulasan