MAGIS DUA ERA, KEMBALIKAN AURA SHARIFAH AINI

Lebih sedekad pemergian Datuk Sharifah Aini, namun nama dan karya seni biduanita itu masih utuh dalam ingatan pencinta muzik tanah air. Suaranya yang lunak, kelembutan peribadi serta karisma yang dimiliki menjadikan Allahyarham bukan sekadar penyanyi popular, tetapi lambang keanggunan seni Melayu yang sukar dicari penggantinya.

Sebagai penghormatan terhadap legasi luar biasa itu, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal mempersembahkan konsert A Tribute to Sharifah Aini pada 6 Jun depan, jam 8 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS, Kuala Lumpur. 

Konsert istimewa itu diadakan bagi meraikan perjalanan seni hampir lima dekad Allahyarham yang pernah mencorakkan sejarah industri hiburan negara menerusi ratusan karya malar segar yang terus dekat di hati masyarakat sehingga hari ini.

Bagi ramai peminat, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah membawa makna yang cukup besar dalam dunia muzik tempatan. Beliau bukan sahaja dikenali kerana kehebatan vokal, malah disegani kerana disiplin, pembawaan diri dan kehalusan seni yang dimilikinya.

Digelar “anak emas EMI”, Allahyarham mencipta fenomena tersendiri apabila album-album nyanyiannya berjaya mencapai jualan emas dan platinum pada era kegemilangan industri rakaman tempatan. Sepanjang karier seninya, beliau merakamkan kira-kira 700 lagu dan menghasilkan lebih 100 album termasuk album solo, kompilasi, runut bunyi filem serta album berbahasa Inggeris.

Namun, kekuatan sebenar Sharifah Aini tidak hanya terletak pada pencapaian angka. Keistimewaan beliau hadir melalui cara setiap lagu disampaikan dengan penuh penghayatan sehingga mampu menyentuh emosi pendengar. Dari lagu balada yang sarat rasa pilu hingga irama tradisional yang lembut dan mendamaikan, setiap karya yang dibawakan memiliki jiwa tersendiri.

Antara lagu yang terus menjadi siulan ramai termasuk Hapuslah Airmatamu, Kenang Daku Dalam Doamu, Mawar Putih Untuk Mama, Bunga Tanjung, Seri Dewi Malam dan Kau Tinggi Di Awan Biru. Lagu-lagu inilah yang membina memori buat generasi peminat yang membesar bersama suara emas beliau.

Datuk Sharifah Aini juga dikenang sebagai seorang penghibur yang cukup elegan ketika berada di atas pentas. Dengan hanya lontaran vokal, ekspresi wajah dan penghayatan yang mendalam, beliau mampu membuatkan sebuah dewan tenggelam dalam emosi lagu yang dipersembahkan.

Momen itulah yang paling dirindui peminat hingga hari ini.

Justeru, penganjuran A Tribute to Sharifah Aini dilihat sebagai usaha menghidupkan kembali roh seni seorang legenda menerusi susunan muzik orkestra yang lebih segar dan eksklusif. Walaupun peminat tidak lagi berpeluang menyaksikan kelibat Allahyarham di pentas, karya-karya yang bakal dipersembahkan nanti dijangka mampu membawa penonton mengimbau era kegemilangan Kak Pah.

Di bawah pimpinan konduktor terkenal Ahmad Muriz Che Rose, konsert berkenaan akan menampilkan pelbagai dimensi muzik Sharifah Aini merangkumi pop, balada, tradisional, lagu filem dan Inggeris.

Konsert itu turut menghimpunkan barisan penyanyi terkenal seperti Salamiah Hassan, Dato' Khadijah Ibrahim, Shiha Zikir dan Asmidar yang bakal menghidupkan semula karya-karya ikonik Allahyarham menerusi interpretasi tersendiri.

Dato' Khadijah Ibrahim dijadual mendendangkan Hapuslah Airmatamu, Kudaku Lari serta medley Kau Tinggi Di Awan Biru, Terbang Helang dan Rindu, manakala Salamiah Hassan pula bakal membawa penonton mengimbau nostalgia menerusi Kenang Daku Dalam Doamu, Tiada Maaf Bagimu serta medley Inggeris Forever And Ever, I Have A Dream dan Will You Still Love Me Tomorrow.

Sementara itu, Asmidar akan mempersembahkan Seri Dewi Malam selain beberapa medley tradisional dan pop, manakala Shiha Zikir pula akan memberi penghormatan kepada mentornya menerusi Mawar Putih Untuk Mama dan Bunga Tanjung.

Menurut Shiha, Allahyarham Datuk Sharifah Aini akan terus hidup dalam dirinya sebagai seorang ikon seni yang cukup istimewa.

“Bagi saya, Umi seorang yang sangat sempurna dalam cara beliau membawa diri sebagai artis. Beliau pernah mengajar saya bagaimana mahu menguasai pentas, menghormati penonton dan menjaga batas kehormatan diri.

“Itulah yang menjadikan Umi begitu berbeza. Beliau bukan sekadar penyanyi hebat, tetapi seorang wanita yang membawa maruah seni dengan penuh kelas dan disiplin,” katanya.

Tambah Shiha lagi, peluang menyampaikan lagu-lagu Allahyarham bersama MPO merupakan penghormatan besar buat dirinya kerana dapat menghidupkan semula karya seorang ikon yang amat dikaguminya sejak kecil.

Persoalannya, mampukah konsert ini mengubat kerinduan peminat terhadap suara emas Sharifah Aini?

Barangkali tiada siapa yang mampu menggantikan tempat seorang biduanita negara yang amat disayangi itu. Namun menerusi alunan muzik orkestra yang megah, susunan karya yang sarat emosi serta deretan lagu malar segar yang pernah menjadi teman suka dan duka masyarakat, malam tersebut mungkin menjadi ruang paling dekat buat peminat untuk kembali merasai kehadiran Sharifah Aini.

Walaupun jasadnya telah lama pergi, seni dan kenangan yang ditinggalkan biduanita itu akan terus hidup, mekar dan abadi dalam hati pencinta muzik tanah air.

Catat Ulasan

0 Ulasan