ANTARA FANTASI DAN TEKNOLOGI: DUYUNG: LEGENDA AURORA, FILEM YANG GAGAL?

Duyung: Legenda Aurora, filem fantasi terbaru terbitan KRU Films, mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan penonton sejak tayangan pertamanya, dengan majoriti reaksi cenderung kepada kritikan, khususnya dari segi visual, naratif, dan pendekatan kreatif dalam konteks sinema moden.

Sekiranya filem ini diterbitkan sekitar 17 tahun lalu, kekurangan yang dipaparkan mungkin masih boleh diterima, sejajar dengan tahap teknologi dan citarasa penonton pada waktu itu. Namun, kemunculannya semula selepas berbelas tahun menimbulkan jurang ketara, di mana kelemahan yang sama kini lebih jelas kelihatan dan sukar dimaafkan lebih-lebih lagi dalam landskap industri filem tempatan yang kini jauh lebih kompetitif dan matang.

Filem ke-45 arahan Prof. Madya Dato’ Dr. Abd Razak Mohaideen ini mengisahkan Aurora, seorang duyung misteri yang terperangkap antara dua dunia, laut dan daratan ; dalam usaha mencari identiti serta makna pengorbanan dan cinta. Walaupun premisnya penuh potensi, naratif yang longgar dan konflik dramatik yang lemah gagal diterjemahkan secara berkesan ke layar, menjadikan cerita sukar untuk menarik keterlibatan emosi penonton.

Menampilkan Anna Jobling sebagai watak utama, filem ini jelas bergantung kepada populariti pelakon muda tersebut sebagai daya tarikan. Namun, kehadiran bintang ini semata-mata tidak mampu menyelamatkan keseluruhan naskhah, terutamanya apabila watak-watak lain ditulis secara cetek dan hubungan dramatik antara karakter tidak dibina dengan meyakinkan.

Turut mencuri perhatian ialah kemunculan semula Maya Karin, yang suatu ketika dahulu sinonim dengan watak fantasi dan naskhah berimpak. Namun, dalam Duyung: Legenda Aurora, penampilannya dilihat kurang selari dengan nada dan tenaga filem; ada pandangan bahawa lakonannya tampak agak penat dan tidak lagi membawa kekuatan dramatik seperti yang diharapkan penonton.

Dari sudut teknikal, penggunaan CGI dan teknologi AI menjadi antara isu paling banyak diperkatakan. Elemen visual yang sepatutnya menghidupkan dunia fantasi duyung dilihat berlebihan, tidak kemas, dan dalam beberapa babak kelihatan ketinggalan, sekali gus menjejaskan pengalaman tontonan. Selain itu, busana duyung yang disarungkan oleh pelakon utamanya turut dikritik kerana kelihatan ketinggalan zaman dan gagal menonjolkan kematangan kreativiti dalam pembikinan filem, terutamanya dalam industri yang semakin mencabar.

Keresahan mengenai kualiti filem ini turut disuarakan pelakon veteran, Saiful Apek, yang menyatakan bahawa Duyung: Legenda Aurora gagal memenuhi piawaian dan “tidak perlu diterbitkan sekiranya kekurangan dana dan bajet terlalu ketara.” Namun begitu, dari sudut penulis, produksi sebegini wajar dijadikan ruang pembaharuan,dan berharap agar Prof. Razak mempertimbangkan kolaborasi dengan pengarah muda untuk mengadaptasi naskhah ini dengan pendekatan lebih segar dan relevan bagi penonton masa kini.

Sebagai naskhah terbitan KRU Films, Duyung: Legenda Aurora turut menimbulkan perbincangan mengenai hala tuju produksi tempatan, khususnya dalam mengadaptasi genre fantasi. Rata-rata penonton menganggap filem ini antara naskhah yang kurang berjaya menutup tirai tayangan filem tempatan bagi tahun 2025, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keperluan penilaian kreatif yang lebih ketat di peringkat pembangunan skrip dan produksi.

Secara keseluruhan, Duyung: Legenda Aurora memperlihatkan jurang jelas antara niat untuk mengangkat legenda tempatan dengan pelaksanaan sinematik yang memenuhi jangkaan penonton masa kini. Penulis berharap filem sebegini menjadi titik permulaan kepada pendekatan lebih kolaboratif dan inovatif, agar karya fantasi tempatan mampu mencapai potensi sebenar pada masa akan datang.

Namun begitu, pujian wajar diberikan kepada tenaga produksi yang berjaya menyiapkan naskhah ini. Duyung: Legenda Aurora kini boleh ditonton di pawagam seluruh negara sejak 25 Disember lalu, menampilkan barisan pelakon seperti Anna Jobling, Saiful Apek, Maya Karin, Ayie Elham, Yasmin Hani, dan ramai lagi.

Catat Ulasan

0 Ulasan