SITI NURHALIZA RAIKAN LEGASI 30 TAHUN

Berbaki hampir sembilan hari sahaja lagi untuk meraikan 30 tahun pembabitannya dalam seni suara tanah air, Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, bakal sekali lagi mencatat sejarah dalam landskap hiburan tempatan menerusi penganjuran Konsert Legacy 30.

Persembahan mega yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026 ini memilih Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi utama. Bakal menampilkan pelbagai lagu hit sepanjang kariernyaLegacy 30 tampil sebagai pembuka tirai industri hiburan tempatan bagi tahun 2026. Konsert berskala gergasi ini dijangka menghimpunkan lebih 63,000 penonton, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Siti Nurhaliza sebagai ikon seni yang terus relevan dan berpengaruh merentas generasi.

Menurut Siti, penganjuran Legacy 30 bukan bertujuan untuk menandingi mana-mana konsert mega lain, sebaliknya hadir sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang tiga dekad perjalanan seninya.

“Saya amat berterima kasih kepada semua peminat yang terus menghargai perjalanan seni saya. Sepanjang 30 tahun bergelar anak seni, banyak suka dan duka telah saya tempuhi. Namun pada 10 Januari ini, saya berjanji untuk mempersembahkan satu pengalaman muzik yang benar-benar luar biasa.

“Konsert ini bukan soal persaingan. Ia adalah penghargaan tulus kepada peminat yang sentiasa berada di sisi saya sejak awal kerjaya. Sokongan mereka inilah yang menjadi nadi, membolehkan saya terus bertahan, berkembang, dan mengekalkan cinta terhadap industri seni,” katanya.

Berbanding konsert terdahulu yang pernah dianjurkan di Arena Axiata dengan kapasiti sekitar 15,000 penonton, Legacy 30 menampilkan skala pementasan jauh lebih besar apabila melibatkan lebih 2,000 tenaga produksi, sekali gus menjanjikan pengalaman persembahan bertaraf antarabangsa dari segi teknikal, visual dan artistik.

Walaupun sudah sinonim dengan persembahan berskala besar, Siti mengakui debaran tetap dirasai apabila tarikh konsert semakin hampir.

“Saya tidak menafikan apabila semakin dekat tarikh konsert, saya semakin berasa berdebar. Namun pada masa sama, perasaan teruja itu lebih kuat kerana saya mahu memberikan yang terbaik buat semua yang hadir," ujarnya.

Dalam tempoh persiapan akhir, Siti kini memberi fokus terhadap latihan stamina dan tarian bagi memastikan persembahan tampil lebih mantap dan bertenaga. Malah, beliau turut menjaga disiplin vokal dengan lebih ketat, termasuk mengelakkan pengambilan minuman berais sejak sebulan lalu selain bakal mengadakan sesi latihan intensif bersama barisan pemuzik dan artis jemputan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Hemisfera Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas mengenai tekanan dan jangkaan tinggi peminat terhadap konsert terbesar dalam kariernya, Siti tidak menafikan cabaran yang perlu dihadapi, namun menegaskan komitmen sepenuhnya untuk memastikan persembahan kali ini setimpal dengan legasi yang diraikan.

“Bohonglah kalau kata tiada tekanan. Setiap konsert pasti ada cabarannya, apatah lagi konsert sempena 30 tahun dalam industri. Saya dan pasukan tidak mahu buat kerja secara cincai; sebaliknya mahu memberikan yang terbaik mengikut kemampuan.

“Mereka yang hadir pasti menginginkan sesuatu yang istimewa untuk dikenang, lebih-lebih lagi esok adalah hari lahir saya. Jadi, konsert malam ini adalah pembuka tirai, dan kita akan sama-sama meraiannya,” katanya.

Dalam masa sama, Siti turut mengakui banyak menimba inspirasi daripada Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain, atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah, khususnya dalam menampilkan kelainan serta elemen kejutan bagi memastikan setiap konsert kekal segar dan penuh makna.

Bagi menyerikan malam bersejarah ini, Siti menjemput barisan artis yang mempunyai hubungan istimewa dengannya, termasuk penyanyi tersohor Indonesia Cakra Khan, serta Hafiz Suip, Noh Salleh dan anak saudaranya sendiri, Umairah.

Konsert berdurasi hampir tiga jam itu bakal menampilkan lebih daripada 30 buah lagu, termasuk persembahan medley dan duet eksklusif bersama artis jemputan, yang dibahagikan kepada empat segmen utama. Segmen-segmen ini menampilkan lagu-lagu ikonik, karya yang melonjakkan namanya, serta naskhah penuh nostalgia yang pasti meninggalkan kenangan manis buat peminat setia.

Legacy 30 bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah perayaan legasi yang menghimpunkan perjalanan seni, pengorbanan, dan cinta seorang Biduanita Negara, yang terus mewarnai industri hiburan tanah air merentas generasi.

Adakah ini bakal menjadi konsert terakhir seorang legenda, yang suaranya mekar bukan sahaja di tanah air, tetapi juga menembusi pelbagai pelosok Nusantara? Nantikan sendiri kegemilangan Siti Nurhaliza pada malam 10 Januari 2026, sebuah pengalaman muzik yang pasti meninggalkan kenangan abadi sepanjang zaman.

Catat Ulasan

0 Ulasan