16 TAHUN MENANTI, KAKA AZRAFF TAMPIL DENGAN ALBUM SULUNG 'MPT'

Selepas 16 tahun mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi dan komposer, Kaka Azraff, akhirnya merealisasikan impian melancarkan album sulung berjudul MPT, singkatan kepada eMPaTI, yang membawa makna keupayaan memahami perasaan serta pengalaman orang lain.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat dan rakan industri, Kaka mengadakan sesi Showcase & Listening Party di Kafe Bijou, Ara Damansara, baru-baru ini. Acara itu turut disertai pengamal media serta rakan seperjuangan yang bersama-sama meraikan detik penting dalam perjalanan seni beliau.

Menurut Kaka, album berkenaan merupakan hasil refleksi dan pengumpulan pengalaman sepanjang tiga tahun beliau memilih untuk berada di luar sorotan utama industri. Tempoh tersebut dimanfaatkan untuk memberi ruang kepada proses kreatif yang lebih jujur dan bermakna.

“Banyak idea album ini datang daripada perbualan, perkongsian dan kisah orang sekeliling. Semua pengalaman itu membantu membentuk arah serta identiti MPT,” katanya.

Album MPT menampilkan enam lagu iaitu Berubah, Cabar, Arguments, Bully, Takleh Usik dan Aku, yang masing-masing membawa naratif tersendiri. Fokus penghasilan karya ini tidak hanya tertumpu kepada aspek teknikal, sebaliknya menekankan keaslian emosi dan penceritaan.

Bagi memperkukuhkan bunyi album, Kaka bekerjasama dengan dua penerbit terkenal, SonaOne dan Yonnyboii, yang berjaya menghasilkan melodi seimbang selari dengan tema empati yang diketengahkan.

Dalam perkembangan sama, Kaka yang juga anak saudara kepada penyanyi legenda rock, Ella, menegaskan album ini bukan dianggap sebagai kemunculan semula, sebaliknya kesinambungan kepada perjalanan seninya yang telah bermula sejak sekian lama.

MPT disifatkan sebagai fasa penyesuaian semula yang memberi makna kepada setiap pengalaman dan hubungan yang dilalui, sekali gus mencerminkan kematangan peribadi serta perkembangan seni secara berperingkat.

Album ini dihasilkan dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia. Album MPT dijangka berada di pasaran pada hujung Januari 2026.

Apakah album ini akan dihasilkan dalam bentuk fizikal? Kaka hanya memberi bayangan, “Nantikan sahaja.”

Catat Ulasan

0 Ulasan