DUET LAGU KLASIK PERANCIS, ERNIE ZAKRI & EMMANUEL MACRON

Penyanyi, Ernie Zakri melakar detik cukup istimewa dalam perjalanan karier seninya apabila diberi penghormatan berduet dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menerusi lagu klasik negara itu, La Vie En Rose.

Peluang beraksi bersama pemimpin tertinggi Perancis itu berlangsung pada majlis jamuan tengah hari rasmi yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sempena lawatan rasmi dua hari Macron ke Malaysia.

Lebih bermakna, persembahan berkenaan bukan sekadar satu pengalaman berharga buat penyanyi berusia 34 tahun itu, malah menjadi platform untuk Ernie membawa nama serta seni muzik Malaysia ke pentas diplomatik bertaraf antarabangsa.

Mengulas pengalaman berkenaan, Ernie yang popular menerusi lagu Masing-Masing menyifatkan peluang menyampaikan karya ikonik Perancis itu bersama Macron sebagai penghormatan luar biasa yang akan dikenang sepanjang hayat.

"Diberi penghormatan untuk membuat persembahan di hadapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, merupakan detik yang amat bermakna dalam perjalanan seni saya.

"Peluang menyanyikan La Vie En Rose bersama beliau menjadikan pengalaman ini lebih istimewa dan akan kekal sebagai kenangan yang saya hargai sepanjang hayat.

"Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan untuk membawa suara dan seni Malaysia ke pentas ini," katanya.

Pemilihan lagu La Vie En Rose, karya klasik yang cukup sinonim dengan identiti muzik Perancis, turut memberikan nilai tersendiri kepada persembahan berkenaan, sekali gus memperlihatkan peranan muzik sebagai jambatan yang menghubungkan budaya dan masyarakat berbeza negara.

Untuk rekod, kunjungan Macron itu merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.

Lawatan berkenaan turut membuka ruang kepada Malaysia dan Perancis untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama sedia ada ke arah perkongsian strategik yang lebih erat.

Bagi Ernie, pengalaman itu pastinya menjadi antara detik paling berprestij dalam karier seninya, apatah lagi apabila diberi peluang mewakili bakat tempatan dalam sebuah acara rasmi yang menghimpunkan pemimpin kedua-dua negara.

Catat Ulasan

0 Ulasan