Selepas memperkenalkan diri menerusi single sulung berjudul Yang Ku Punya sekitar 2024, penyanyi baharu, Hazreen Amreena kembali mengorak langkah dalam industri muzik dengan mempertaruhkan single terbaharu berjudul Teruskanlah, hasil ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer, Shiha Zikir.
Lebih daripada sekadar karya baharu, single terbitan bersama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia itu membawa naratif cukup dekat dengan realiti kehidupan, khususnya mengenai pengorbanan, tanggungjawab dan perjuangan individu yang terpaksa menguatkan diri demi insan tersayang.
Menariknya, keistimewaan Teruskanlah turut terletak pada proses penghasilannya apabila Shiha mengambil pendekatan memahami pengalaman peribadi Hazreen sebelum menterjemahkan kisah berkenaan menjadi sebuah karya yang sarat dengan emosi.
Bagi Hazreen, 29, lagu itu mempunyai makna tersendiri kerana mesej yang disampaikan lebih dekat dengan perjalanan hidupnya berbanding single terdahulu yang berteraskan kisah cinta.
"Kalau sebelum ini saya hanya ada lagu cinta, kali ini ia membawa mesej mengenai perjuangan dalam hidup.
"Kita semua mempunyai perjuangan dan pengorbanan tersendiri. Tipulah kalau tidak pernah berasa penat atau terdetik untuk mengalah, tetapi kita tetap gagahkan diri meneruskan kehidupan demi orang tersayang.
"Ada perkara yang kita pendam sendiri supaya terus kelihatan kuat di mata orang lain, sedangkan jauh di sudut hati, sebenarnya kita tidak sekuat itu.
"Saya berharap lagu ini dapat mewakili perasaan mereka yang sukar meluahkan apa yang terbuku di hati, sekali gus menjadi penguat semangat untuk terus bertahan," katanya.
Bukan sekadar populariti, Shiha nilai kesungguhan
Di sebalik kemunculan Hazreen menerusi karya terbaharu itu, kepercayaan Shiha Zikir Empire (SZE) terhadap potensinya sebagai penyanyi baharu turut menjadi antara perkara menarik untuk diberikan perhatian.
Bagi Shiha, pemilihan seseorang artis untuk berada di bawah naungannya bukan bersandarkan populariti atau jumlah pengikut di media sosial semata-mata, sebaliknya perlu disertai minat mendalam, disiplin dan kesungguhan untuk membina kerjaya dalam industri seni.
Justeru, Hazreen dilihat mempunyai ciri yang dicari Shiha apabila menunjukkan kesediaan untuk belajar, bekerja keras serta tidak mengehadkan kemampuan dirinya kepada bidang nyanyian sahaja.
"Sebelum memilih bakat baharu untuk bernaung di bawah SZE, saya akan bertanya terlebih dahulu mengenai tujuan mereka mahu menjadi penyanyi.
"Kalau matlamat mereka hanya untuk menjadi popular, saya tidak berminat. Sebaliknya, jika mereka benar-benar mempunyai minat mendalam terhadap nyanyian, menganggapnya sebagai jiwa dan sanggup belajar, Insya-Allah saya boleh pertimbangkan.
"Saya suka Hazreen kerana dia tidak mudah berputus asa, rajin dan tidak hanya menunggu peluang datang. Dia sanggup mencuba pelbagai perkara. Selain menyanyi, dia juga menghasilkan kandungan media sosial bersama saya, berlakon dan terbabit dalam kerja produksi yang kami jalankan.
"Saya dapat melihat peningkatan dirinya, terutama dari segi keyakinan di hadapan kamera. Disiplinnya juga baik dan dia mempunyai kemahuan yang tinggi," katanya.
Shiha turut menyifatkan Hazreen sebagai penyanyi yang mempunyai kelebihan vokal tersendiri, khususnya dari segi julat suara yang luas sehingga memberinya ruang untuk meneroka pelbagai pendekatan muzik.
"Dia mempunyai julat vokal yang tinggi dan saya seronok menghasilkan lagu untuknya kerana boleh mencuba macam-macam. Hazreen mampu mencapai nota tinggi dan rendah dengan baik, malah ada nota yang boleh dicapainya melebihi kemampuan saya sendiri.
"Walaupun saya tegas ketika bekerja kerana mahukan hasil terbaik, saya puji Hazreen kerana dia mempunyai kemahuan yang tinggi," katanya.
Pengalaman peribadi jadi inspirasi lirik
Mengulas proses penciptaan Teruskanlah Shiha berkata, beliau terlebih dahulu mendapatkan gambaran jelas mengenai jenis lagu yang diinginkan Hazreen sebelum memulakan proses penulisan.
Katanya, perbincangan secara mendalam dilakukan bagi memahami emosi, pengalaman dan perkara yang ingin disampaikan penyanyi itu, sekali gus memastikan karya berkenaan benar-benar mencerminkan kisah yang mahu diketengahkan.
"Hazreen memberitahu dia mahukan lagu mengenai kehidupan anak sulung yang sering berdepan tanggungjawab besar. Ada masanya mereka berasa penat, tetapi tetap perlu kuat demi keluarga.
"Saya bertanya bagaimana dia meluahkan perasaan ketika bersedih. Hazreen berkongsi bahawa dia lebih suka duduk sendirian di dalam bilik dan menangis.
"Daripada pengalaman itu, saya mendapat inspirasi untuk menghasilkan baris lirik 'Di kamar ku sendiri, bertahan untuk berdiri, di saat duniaku runtuh melalui takdir sendiri'.
"Jawapan dan pengalaman lain yang dikongsikan Hazreen turut saya olah menjadi lirik lagu ini," katanya.
Bagaimanapun, Shiha menegaskan mesej Teruskanlah tidak terhad kepada golongan anak sulung sahaja, sebaliknya turut mewakili sesiapa yang menggalas tanggungjawab mencari rezeki dan berkorban demi keluarga.
Malah, beliau sendiri dapat mengaitkan penceritaan lagu itu dengan kehidupan peribadi, terutama pengorbanan seseorang yang bukan sahaja bekerja untuk diri sendiri, tetapi turut berkongsi rezeki bersama ibu bapa, keluarga dan pasangan.
"Saya mahu lagu ini menjadi peneman kepada mereka yang sedang melalui kepenatan dan cabaran kehidupan. Ada kalanya kita bekerja bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi demi memastikan orang tersayang turut mendapat kehidupan lebih baik," katanya.
Utamakan disiplin, teliti proses rakaman
Dalam memastikan Teruskanlah mencapai hasil yang diinginkan, Shiha turut memberikan perhatian terhadap persediaan Hazreen sebelum memasuki studio rakaman.
Berbeza dengan pendekatan yang terus memulakan latihan di studio, Shiha memilih mengadakan beberapa sesi latihan lebih awal di pejabatnya bagi memastikan Hazreen benar-benar bersedia dari segi vokal, penghayatan dan penyampaian emosi.
Pendekatan itu bukan sahaja membantu melancarkan proses rakaman, malah membolehkan setiap bahagian lagu diberikan perhatian sewajarnya.
Sementara itu, muzik video Teruskanlah turut menampilkan pendekatan visual yang ringkas, namun sarat dengan simbolik tersendiri bagi mengukuhkan mesej perjuangan yang dibawa.
Antaranya penggunaan lilin yang hampir terpadam sebagai gambaran seseorang yang tetap berusaha menjadi sumber kekuatan dan cahaya kepada insan tersayang walaupun dirinya sendiri sedang keletihan.
Elemen laut pula melambangkan gelombang kehidupan yang tidak selalunya tenang, sekali gus menggambarkan perjalanan manusia dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.
Bagi Hazreen, peluang bekerjasama dengan Shiha adalah pengalaman cukup bermakna, apatah lagi apabila beliau diberikan ruang menyampaikan kisah yang begitu dekat dengan kehidupannya sendiri.
"Saya sangat berterima kasih kepada Shiha Zikir Empire kerana mempercayai kemampuan saya dan sentiasa memberikan sokongan.
"Kak Shiha seorang yang sentiasa mahukan hasil terbaik dan tegas ketika bekerja. Saya melihat ketegasan itu sebagai sesuatu yang membantu saya supaya tidak leka dalam mengejar impian, terutama sebagai penyanyi yang masih mencari langkah.
"Lagu ini saya tujukan kepada diri sendiri dan semua yang sedang berjuang dalam kehidupan. Saya juga masih berusaha mencapai impian dalam bidang seni. Tipulah kalau tidak pernah terfikir untuk mengalah, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti di tengah jalan," katanya.
Mengharapkan Teruskanlah menjadi batu loncatan untuk mengembangkan kerjaya seninya, Hazreen berharap karya itu dapat diterima pendengar dan menjadi sumber kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan ujian kehidupan.
"Saya berharap mesej lagu ini sampai ke hati pendengar. Kalau ada yang menggunakan lagu ini di media sosial untuk berkongsi kisah pahit manis kehidupan mereka dan mendapat kekuatan daripadanya, saya sangat bersyukur.
"Semoga lagu ini juga membuka lebih banyak peluang dan rezeki untuk saya meneruskan perjalanan dalam industri muzik," katanya.
Single Teruskanlah mula boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital bermula 3 November 2026, manakala muzik video rasminya turut dilancarkan menerusi YouTube pada tarikh sama.
.png)

0 Ulasan