'KATA HATI' KISAH CINTA PELAKON POPULAR DENGAN PEMANDU E-HAILING?

Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan sebuah filem romantik komedi terbaharu berjudul Kata Hati. Naskhah ini menggabungkan elemen percintaan, humor serta realiti kehidupan moden dalam sebuah penceritaan yang segar dan menghiburkan.

Diterbitkan oleh Wayangworks Sdn. Bhd. bersama Filmscape Sdn. Bhd., Kata Hati bermula sebagai kisah santai, namun berkembang menjadi sebuah cerita yang lebih mendalam tentang kehidupan, emosi dan pilihan hati.

Menurut penerbitnya, Muhammad Bahir, idea menghasilkan filem ini tercetus hasil pengalaman bekerja dalam industri hiburan yang memperlihatkan perbezaan antara persona selebriti di hadapan kamera dengan kehidupan sebenar mereka di sebalik tabir.

“Sepanjang berada dalam industri ini, kami berpeluang bertemu ramai selebriti. Kami tertarik melihat perbezaan antara imej yang ditampilkan di hadapan kamera dengan kehidupan sebenar mereka. Dari situlah lahirnya idea untuk menghasilkan kisah yang menyelami dunia sebenar seorang selebriti, namun disampaikan dalam bentuk yang menghiburkan,” katanya.

Filem arahan Nadiah Hamzah ini mengangkat kisah percintaan yang tidak dijangka antara seorang pelakon wanita popular dan seorang pemandu e-hailing. Cerita bermula dengan kehidupan Ayra Natasha, seorang pelakon wanita yang sedang meningkat naik dan menjadi perhatian ramai selepas membintangi sebuah filem aksi berskala besar bersama teman lelakinya yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail.

Namun, kehidupan Ayra yang kelihatan sempurna mula berubah selepas satu insiden memalukan yang tular di seluruh negara ketika malam pencalonan sebuah anugerah berprestij. Dalam kekecohan tersebut, Ayra secara tidak sengaja bertemu Imran Firdaus, seorang pemandu e-hailing yang langsung tidak terkesan dengan kegilaan dunia selebriti.

Pertemuan itu akhirnya membawa kepada situasi yang tidak dijangka apabila Maya, kakak yang juga pengurus Ayra, meminta Imran menjadi pemandu peribadi kepada pelakon tersebut. Dari situ, bermulalah sebuah perjalanan yang membuka ruang kepada perasaan yang tidak pernah disangka oleh kedua-duanya.


Menariknya, Kata Hati turut menampilkan barisan pelakon muda yang sedang meningkat naik sebagai teraju utama iaitu Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris. Mereka turut digandingkan dengan pelakon terkenal seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.

Selain itu, filem ini turut diserikan dengan penampilan istimewa beberapa pelakon popular tanah air termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho , Shweta Sekhon dan Aziz M.Osman. 

Sementara itu, penerbit eksekutif Juliana Foo menjelaskan bahawa filem ini hadir tepat pada masanya memandangkan penonton kebelakangan ini banyak disajikan dengan filem bergenre aksi dan seram.

Menurutnya, genre romantik komedi seperti ini sudah lama tidak diketengahkan, sedangkan masih ramai penonton yang merindui kisah cinta ringan yang menghiburkan.

Kata Hati hadir sebagai sebuah ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ yang mampu memberikan pengalaman menonton yang manis dan berkesan kepada penonton di pawagam,” ujarnya.

Bagi pengarah Nadiah Hamzah pula, tarikan utama filem ini terletak pada gabungan pelbagai emosi yang disatukan dalam sebuah penceritaan yang unik.

Selepas menghasilkan filem yang lebih berat seperti Motif, Nadiah mengakui beliau mahu menghasilkan sebuah filem cinta yang lebih ringan, namun tetap mampu menyentuh emosi penonton.

“Filem ini diharapkan dapat membuatkan penonton ketawa, namun pada masa sama turut menyentuh perasaan mereka. Ia adalah kisah cinta yang penuh kejujuran dan kemanusiaan,” katanya.

Penggambaran Kata Hati telah dijalankan pada Ogos 2025 di sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan. Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026

Catat Ulasan

0 Ulasan