MONOLOQUE KEMBALI DENGAN 'PUJAAN HATIKU'

Pemuzik dan komposer terkenal, MonoloQue, sekali lagi mencuri tumpuan apabila tampil dengan langkah berani menghidupkan semula lagu “Pujaan Hatiku” dalam versi baharu yang lebih intim dan sarat emosi.

Ramai mungkin tidak menyedari, karya berkenaan sebenarnya bukan lagu baharu sepenuhnya, sebaliknya pernah menjadi runut bunyi filem Kami Histeria arahan Shamyl Othman sekitar 2013, ketika itu dipersembahkan oleh kumpulan Histeria.

Selepas lebih sedekad ‘terperam’, lagu ciptaan Khairil Ridzwan Anuar atau loQue itu kini kembali dengan wajah baharu yang jauh berbeza daripada versi asal.

Menurut loQue, versi terbaharu ini sengaja ditampilkan dengan susunan muzik yang lebih ringkas bagi memberi ruang kepada emosi sebenar lagu untuk lebih menyerlah.

“Versi ini agak berbeza. Saya hanya menggunakan gitar akustik, piano dan synthesizer tanpa elemen dram supaya emosi lagu ini lebih terasa dan jujur,” katanya.

Pendekatan minimalis itu bukan sekadar eksperimen, sebaliknya menjadi kekuatan utama yang membolehkan setiap lapisan emosi dalam lagu ini terasa hidup tanpa gangguan susunan muzik yang padat.

Dari segi nuansa, “Pujaan Hatiku” tampil dengan mood lebih gelap dan suram, namun masih diselitkan elemen romantik berinspirasikan era 80-an yang memberikan sentuhan misteri dan mendalam.

Dalam masa sama, kekuatan utama lagu ini kekal terletak pada liriknya yang puitis serta sarat metafora, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai tafsiran.

“Liriknya tidak terikat kepada satu maksud sahaja. Pendengar bebas mentafsir berdasarkan pengalaman dan emosi masing-masing,” jelasnya.

Versi baharu ini juga disusun dalam acuan muzik rakyat yang lebih ‘besar’ dari segi rasa, namun minimal dari segi bunyi, menjadikan ia sebuah karya yang berdiri sebagai entiti tersendiri, bukan sekadar versi ulangan.

“Pujaan Hatiku” versi MonoloQue dijangka dilancarkan sebagai single rasmi dalam masa terdekat dan bakal tersedia di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Sejak diperkenalkan pada 2009, MonoloQue terus dikenali dengan pendekatan eksperimental dan lirik puitis yang berani, sekali gus membuktikan bahawa karya lama masih mampu diberi nafas baharu dengan jiwa yang segar dan relevan.

Catat Ulasan

0 Ulasan