Pelakon popular Aedy Ashraf kini melangkah ke satu fasa baharu dalam kerjayanya apabila tampil sebagai penerbit menerusi filem aksi terbaharu berjudul Tarung: Unforgiven.
Filem arahan Razaisyam Rashid itu baru sahaja melancarkan treler rasmi berdurasi satu minit 45 saat yang memberi gambaran lebih jelas mengenai dunia organisasi elit dikenali sebagai MARGA, selain memaparkan aksi pertarungan sengit antara watak Hatta lakonan Mierul Aiman dan Isa yang dilakonkan oleh Aedy sendiri.
Menariknya, penglibatan Aedy dalam filem ini bukan sekadar sebagai pelakon, malah beliau turut memikul tanggungjawab sebagai penerbit dan penerbit eksekutif, menjadikan projek ini antara pencapaian penting dalam perjalanan kerjayanya dalam industri seni.
Menurut Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosli, pengalaman terlibat dalam keseluruhan proses penerbitan filem daripada peringkat awal sehingga strategi pemasaran memberi satu pengalaman yang sangat bermakna buat dirinya.
“Ini merupakan pertama kali saya terlibat dalam proses penghasilan filem dari mula sehingga ke strategi pemasaran. Ia satu pengalaman yang sangat bermakna buat saya.
“Alhamdulillah, teaser Tarung: Unforgiven juga berjaya mencatatkan lebih daripada satu juta tontonan dalam masa singkat dan saya amat menghargai sokongan serta komen positif daripada penonton,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tarung: Unforgiven di Kuala Lumpur.
Namun di sebalik keterujaan menghasilkan filem tersebut, Aedy tidak menafikan perjalanan sebagai penerbit datang bersama pelbagai cabaran yang menguji ketahanan emosi dan fizikalnya.
Menurutnya, ada ketika dia berasa begitu tertekan sehingga hampir berputus asa ketika menyiapkan projek berkenaan.
.png)
klik gambar ini untuk menonton trailer
“Cabarannya, setiap hari saya rasa seperti hendak menangis ketika menyiapkan filem ini. Setiap hari juga timbul rasa mahu mengalah dan mempersoalkan diri sendiri mengapa saya memilih laluan ini.
“Namun apa yang menguatkan saya adalah tujuan asal saya. Saya mahu membuktikan kepada pembikin filem muda bahawa jika saya mampu melakukannya, mereka juga boleh,” katanya.
Tambah Aedy, walaupun tidak menamatkan persekolahan dan tidak pernah mengikuti pengajian filem secara formal, perkara itu tidak menghalangnya untuk menghasilkan karya sendiri.
“Saya tidak menamatkan persekolahan dan tidak pernah mengikuti pengajian filem secara formal, namun saya tetap berjaya menghasilkan karya ini. Saya harap semangat itu dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus berkarya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Aedy turut mengakui dirinya pernah dipandang rendah apabila mengambil keputusan untuk bergelar penerbit, namun beliau memilih untuk tidak menjadikan perkara tersebut sebagai penghalang.
“Dipandang rendah itu perkara biasa bagi saya. Saya tidak menjadikannya alasan untuk berhenti.
“Sejak dahulu hingga kini perkara itu sudah menjadi lumrah. Malah saya anggap ia seperti ‘kawan baik’ yang sentiasa ada,” katanya.
Selain Aedy dan Mierul, filem Tarung: Unforgiven turut dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel serta Theebaan G.
Filem ini mengisahkan tentang seorang bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas satu tragedi, sehingga memaksanya bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya tanpa menyedari lawan yang bakal ditemuinya adalah individu yang pernah rapat dengannya suatu ketika dahulu.
Tarung: Unforgiven dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(23).png)
.png)


0 Ulasan