PENTAS EKSKLUSIF AIDILFITRI ' BERAYA DENGAN SAYA' MERIAH

Dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri, Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza tidak ketinggalan meraikan peminat menerusi penganjuran konsert Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya Dengan Saya yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi. Persembahan istimewa itu menghimpunkan lebih 15 lagu raya malar segar yang cukup dekat di hati peminat, antaranya Lip Lap Raya, Sesuci Lebaran, Meriah Suasana Hari Raya, Mekar Di Hari Raya, Hari Kemenangan, Air Mata Syawal, Bila Raya Menjelma, Anugerah Aidilfitri,  Nazam Lebaran dan banyak lagi. 

Konsert berdurasi lebih dua jam itu menyaksikan Siti menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu raya yang dipersembahkan secara solo mahupun dalam segmen medley, sekali gus menghidupkan suasana Aidilfitri dengan penuh kemeriahan.

Dalam masa sama, Siti turut menjelaskan penambahan kategori zon tempat duduk pada konsert berkenaan dilakukan bagi memastikan keselesaan para peminat yang hadir.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira maklum balas yang diterima, khususnya daripada peminat berusia yang mahu menikmati persembahan dalam keadaan lebih selesa.

Siti berkata, ramai dalam kalangan peminatnya terdiri daripada mereka yang sudah lama mengikuti perjalanan seni beliau dan mungkin tidak mampu berdiri terlalu lama, justeru penambahan zon duduk dilihat sebagai satu langkah yang lebih mesra penonton.

Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan bangku di zon berdiri sebagai alternatif kepada penonton yang memerlukan rehat sepanjang konsert berlangsung, namun penggunaannya perlu dilakukan secara bergilir.

Penyanyi tersohor itu turut berharap peminat yang membeli tiket zon berdiri tidak berkecil hati dengan perubahan yang dilakukan pada saat akhir, apatah lagi ada yang memilih zon berkenaan selepas tempat duduk habis terjual.


“Saya harap semua tetap menikmati malam ini dengan penuh semangat dan tidak berkecil hati,” katanya dalam nada berseloroh ketika berinteraksi dengan penonton.

Malam penuh nostalgia itu turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi muda, Aisha Retno yang berkongsi pentas bersama Siti menerusi lagu Raya Nak Ke Mana. Sebelum itu, Aisha terlebih dahulu memukau penonton dengan lagu popularnya, Jodoh Lebaran.

Selain Aisha, dua artis di bawah naungan SN Legacy iaitu Umairah dan Auddra turut tampil membuat persembahan khas bagi memeriahkan konsert berkenaan.

Konsert Beraya Dengan Saya akhirnya melabuhkan tirainya dengan lagu tema yang sama, sekali gus menutup malam penuh kemeriahan Aidilfitri bersama peminat yang hadir.

Catat Ulasan

0 Ulasan