OFF SCRIPT BAWA KELAINAN, KUPAS ISU INDUSTRI

Industri perfileman tempatan kini mempunyai satu lagi platform perbincangan menerusi OFF SCRIPT, sebuah podcast terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang mengangkat pelbagai isu dunia perfileman, hiburan dan perkembangan semasa menerusi pendekatan lebih santai, terbuka serta berani.

Menampilkan tiga figura berpengalaman dalam industri seni tanah air iaitu Dato’ Afdlin Shauki, Dato’ Hans Isaac dan Dato’ Romli Ishak sebagai pengacara, OFF SCRIPT membawa kelainan menerusi gabungan perspektif, pengalaman dan personaliti berbeza dalam setiap perbincangan.

Diterbitkan oleh Amy Ikram bersama Asdayanti Daut, podcast ini turut menampilkan tetamu undangan daripada pelbagai latar belakang bagi mengupas topik yang diketengahkan, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian pandangan dan perbincangan lebih mendalam mengenai isu yang dekat dengan industri serta masyarakat.

Tidak terikat dengan format temu bual konvensional, OFF SCRIPT memberi kebebasan kepada pengacara dan tetamu untuk mengemukakan persoalan, berkongsi pengalaman serta menyuarakan pandangan secara lebih terbuka. Pendekatan itu turut diterjemahkan menerusi tagline rancangan, “Soalan kita sediakan, tapi jawapan yang kita risau.”

Menariknya, setiap episod menampilkan empat segmen utama yang merangkumi pelbagai sudut perbincangan. Segmen Filem Pilihan memberi tumpuan kepada karya filem untuk diulas dari sudut jalan cerita, lakonan, pengarahan dan mesej yang disampaikan, manakala Cerita Industri membawa penonton menyelami perkembangan serta cabaran dunia perfileman tempatan, termasuk isu penerbitan, kutipan pawagam, peluang penggiat seni dan masa depan industri kreatif.

Segmen OFF SCRIPT pula menjadi ruang untuk mengupas perkara yang jarang dibicarakan secara terbuka, termasuk persoalan di sebalik sesuatu keputusan, dasar, peranan agensi serta hala tuju industri. Menerusi segmen ini, pengacara berpeluang mengajukan soalan lebih kritikal kepada tetamu undangan bagi mendapatkan penjelasan dan perspektif berbeza.

Sementara itu, segmen Malaysia MADANI & Isu Viral meluaskan skop perbincangan dengan mengetengahkan inisiatif kerajaan, isu rakyat, perkembangan semasa serta kontroversi yang mencetuskan perhatian dan perdebatan dalam masyarakat.

Menerusi gabungan pengisian berkenaan, OFF SCRIPT bukan sekadar menjadi platform membicarakan dunia hiburan, malah turut menghubungkan perkembangan industri kreatif dengan dasar, isu masyarakat dan realiti semasa negara.

Bersiaran sejak 9 November lalu, OFF SCRIPT menemui penonton setiap Isnin, jam 9 malam menerusi saluran YouTube FINAS Malaysia. Meneruskan kesinambungan episod pertama, OFF SCRIPT kembali dengan episod kedua pada malam ini, 16 November, jam 9 malam menerusi tema ROAD TO FFM35 yang memberi tumpuan kepada penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35).

Episod berkenaan bakal mengupas perjalanan dan persiapan penganjuran FFM35, termasuk aspek pemilihan juri, kategori pertandingan serta perkara berkaitan penganjuran acara yang menjadi antara pengiktirafan penting dalam industri perfileman negara.

Perbincangan turut menampilkan perspektif daripada pihak yang terlibat secara langsung dalam penganjuran FFM35, termasuk wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Istana Budaya yang berkongsi pengalaman, persiapan serta cabaran dalam menjayakan acara berprestij berkenaan.

Dengan pendekatan yang menggabungkan perbincangan industri, filem, dasar serta isu semasa, OFF SCRIPT diharap dapat menjadi platform perkongsian yang bukan sahaja menghiburkan, malah membuka ruang kepada perbualan lebih kritikal mengenai perkembangan industri perfileman dan kreatif tempatan.

Catat Ulasan

0 Ulasan