Impian Krisya untuk mara ke pusingan suku akhir Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) tidak kesampaian apabila penyanyi itu tersingkir pada konsert minggu kesembilan yang berlangsung semalam meskipun hanya tinggal seminggu sahaja lagi sebelum saingan memasuki fasa seterusnya.
Membawakan lagu Hening Rindu nyanyian asal Marsha Milan pada malam bertemakan lagu pilihan penonton, persembahan Krisya dilihat kurang menyerlah. Keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan serta beberapa gangguan ketika persembahan menjadi faktor utama sehingga beliau memperoleh markah terendah, iaitu 54.5 peratus.
Mengulas lanjut, Krisya mengakui dirinya tidak berada pada tahap terbaik sejak dua minggu kebelakangan ini meskipun telah mendapatkan rawatan perubatan.
“Saya sudah berjumpa doktor dan menerima suntikan, tetapi keadaan kesihatan saya masih belum pulih sepenuhnya. Pada awal persembahan, saya sukar mendengar muzik kerana sorakan penonton yang kuat, ditambah pula dengan intro lagu yang perlahan.
“Situasi itu membuatkan saya panik dan hilang fokus. Sepanjang persembahan, saya rasa tidak stabil dan ketika itu saya sedar persembahan saya tidak berjalan seperti yang dirancang,” katanya pada sidang media selepas konsert.
Penyanyi yang sinonim dengan lagu Keluang Man itu turut meluahkan rasa terkilan kerana anak sulungnya yang menetap di Bosnia tidak berpeluang menyaksikan persembahannya di pentas GV12.
“Anak saya dijangka tiba di Malaysia pada 1 Januari ini, tetapi dia tidak sempat menonton persembahan saya. Namun, mungkin saya akan membawa dia hadir menonton konsert akan datang untuk memberi sokongan kepada peserta lain,” katanya.
Sementara itu, juri tetap GV12, Dato' Ramli MS, menjelaskan bahawa pemilihan lagu Hening Rindu merupakan cabaran besar buat Krisya dari sudut teknikal vokal.
“Lagu ini memerlukan julat vokal yang luas seperti dimiliki Marsha. Walaupun ‘key’ telah diturunkan, ia tetap sukar dinyanyikan. Krisya juga berdepan masalah pernafasan sehingga saya terpaksa menghentikan muzik di beberapa bahagian untuk memberinya ruang mengambil nafas,” jelasnya.
Penyingkiran Krisya menyaksikan lapan peserta lain berjaya meneruskan perjuangan ke peringkat suku akhir, iaitu Nubhan, Mark Adam, Iskandar Ismail, Ruri Republik, Freshies, Mendua, Mell Sakura dan Shae.
Pada minggu kesembilan, Nubhan muncul sebagai peserta terbaik dengan markah 74.50 peratus, diikuti Mark Adam (73.50 peratus) dan Iskandar Ismail (67.50 peratus) yang masing-masing menguasai kedudukan teratas carta. Sementara itu, penyanyi dari Indonesia, Shae, berjaya berada di zon selamat apabila meraih 56.25 peratus, sekali gus menewaskan Krisya yang terpaksa mengakhiri perjuangan selepas memperoleh 54.50 peratus.
Gegar Vaganza musim ke-12 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad jam 9.00 malam, dengan gandingan Sherry Alhadad dan Nabil Ahmad sebagai pengacara utama.
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan