Pernahkah anda membayangkan selepas tiga dekad, mereka kembali menemui peminat membawakan jenama yang dibina bersama pada 1994? Legasi yang terbina sekitar 32 tahun lalu bakal mengusik kembali hati nurani dan jiwa jutaan peminat apabila tiga figura legenda, Dato’ Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain disatukan di pentas berprestij menjelang 7 Februari 2026 dalam Sembilu The Reunion Live In Concert.
Jika diimbas pada 18 Ogos 1994, filem Sembilu kali pertama ditayangkan, menampilkan gandingan mantap ketiga-tiga bintang ini. Filem yang mencatat kutipan pecah panggung RM4.39 juta ketika itu telah mewujudkan satu legasi luar biasa, diteruskan melalui Sembilu II, Sembilu 2005, dan siri adaptasi televisyen, menjadikannya antara francais filem hebat di bawah produksi Skop Production dan filem ketiga arahan Datuk Yusof Haslam.
Kini, legasi itu kembali, bukan sekadar di layar perak tetapi di pentas langsung, dengan konsert yang bakal menghidupkan kembali aura, muzik, dan memori era Sembilu, menjadikan setiap detik pengalaman yang tak hanya didengar tetapi dirasai sepenuh jiwa.
Inspirasi Di Sebalik Konsert
Berbicara mengenai idea dan tema konsert ini, pereka fesyen tersohor Ezuwan Ismail, yang juga pengasas Ideatelier, menjelaskan bahawa Sembilu The Reunion Live In Concert lahir daripada ilham spontan yang tercetus hanya 100 jam sebelum sidang media pengumuman berlangsung. Versi konsert Sembilu yang dijadualkan menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil ini dijanjikan sebagai sebuah persembahan yang berbeza dan luar daripada kebiasaan konsert-konsert terdahulu.
Menurut Ezuwan, penonton bakal dibawa menyelami pengalaman seumpama berada di sebuah pawagam berskala mega, lengkap dengan penggunaan teknologi tercanggih bagi mencipta momen magis yang menyentuh emosi. Ia seolah-olah menonton filem Sembilu dalam versi pawagam Axiata malah lebih hebat daripada pengalaman di pawagam eksklusif seperti Aurum atau Indulge jelas Ezuwan, menyifatkan konsert ini sebagai gabungan sinematik dan persembahan langsung yang luar biasa.
Ketika ditemui media di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, Ezuwan turut berkongsi bahawa minat mendalam terhadap filem Sembilu, selain pengalaman bekerjasama dengan ketiga-tiga artis legenda sebelum ini, menjadi dorongan utama untuk merealisasikan konsert reuni istimewa buat peminat setia.
“Apabila melihat kejayaan konsert pertama kami, Sammy Simorangkir, yang tiketnya habis dijual dalam sehari, kami terus teruja untuk menganjurkan konsert seterusnya. Tanpa fikir panjang, saya menghubungi Datuk Yusuf Haslam, dan beliau terus memberikan persetujuan. Selepas itu, barulah saya hubungi Awie, Ziana dan Erra,” jelasnya.
Walaupun persiapan konsert ini hanya mengambil masa sekitar 60 hari, Ezuwan meletakkan kepercayaan penuh kepada tiga figura legenda ini sebagai tunjang kekuatan persembahan.
“Yang paling penting, saya percaya kepada rezeki Allah. Dia sudah tetapkan apa yang terbaik. Kalau kita tidak buat, mungkin orang lain akan buat. Jadi, saya ambil risiko itu,” tambahnya, menggambarkan keberanian dan visi di sebalik kebangkitan semula legasi Sembilu di pentas megah.
Cerita di Sebalik Tabir
Bagi Primadona Filem Melayu, Erra Fazira , tempoh persiapan sekitar dua bulan menjelang konsert ini disifatkan sebagai satu cabaran luar biasa. Namun, bagi pelantun Pasrah itu berkata, cabaran tersebut tidak mustahil untuk ditempuhi.
“Apabila Dato’ Awie dan Ziana sudah bersetuju, mana mungkin untuk saya menolaknya,” katanya, menggambarkan kekuatan keserasian dan kepercayaan antara mereka bertiga.
“Saya terkejut apabila diberitahu masa hanya ada dua bulan. Terus saya kata, ‘ini kerja gila’. Namun, selepas diperkenalkan dengan pasukan kerja yang begitu komited dan berpengalaman, keyakinan itu hadir. Aspek bunyi, pencahayaan dan visual sangat penting kerana elemen inilah yang akan memberi impak sebenar kepada penonton,” jelasnya.
Bagi Ziana Zain pula, kekuatan utama konsert ini terletak pada gabungan semula trio asal Sembilu yang pernah mencipta fenomena hampir tiga dekad lalu.
“Gemuruh itu sedikit berkurang kerana Erra dan Awie ada di sebelah. Ramai peminat sering bertanya bila saya akan mengadakan konsert. Apabila cadangan untuk menyatukan kami bertiga muncul, saya rasa inilah masanya,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Awie melihat peluang ini sebagai ruang untuk kembali berkongsi pentas bersama rakan seperjuangan, sekali gus menghidupkan semula nostalgia yang masih segar dalam ingatan peminat.
“Memang ada perancangan untuk meneruskan konsert Suara Kita 2, tetapi apabila idea Konsert Sembilu ini muncul, saya rasa ia sesuatu yang sangat istimewa. Ia mampu mengembalikan memori dan emosi yang pernah dilalui bersama peminat,” ujarnya.
Persembahan Penuh Nostalgia
Konsert ini bakal menampilkan 22 buah lagu ikonik daripada era kegemilangan Sembilu, digarap di bawah arahan muzik Aubrey Suwito. Susunan muziknya mengharmonikan elemen pop, balada dan rock, mencipta landskap bunyi yang segar namun tetap setia kepada roh asal karya tersebut, sekali gus memastikan setiap persembahan meninggalkan kesan mendalam.
Diperkukuh dengan dekorasi pentas berskala besar, visual dramatik, pencahayaan artistik serta elemen penceritaan yang diinspirasikan daripada babak-babak ikonik filem, penonton dijanjikan pengalaman imersif seolah-olah menyaksikan Sembilu dihidupkan semula secara langsung di hadapan mata. Setiap lagu bukan sekadar dipersembahkan, tetapi diceritakan semula melalui emosi, cahaya dan visual yang menyentuh jiwa.
Berkongsi perasaan, Dato’ Awie berkata, “Sembilu ialah satu perjalanan emosi yang besar dalam hidup saya. Menyanyikan lagu-lagu ini bersama penonton yang membesar dengan karya ini adalah satu penghargaan yang sangat bermakna.” Erra Fazira pula menambah, “Konsert ini memberi peluang kepada kita untuk membuka kembali album kenangan,” manakala Ziana Zain menyifatkan lagu-lagu Sembilu sebagai karya yang memiliki jiwa tersendiri. “Saya tidak sabar untuk menghidupkan kembali magis itu di pentas,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menyaksikan detik bersejarah ini, tiket konsert Sembilu The Reunion Live In Concert ditawarkan serendah RM149 (Zon Pasrah) hingga RM1,389 (Zon Sembilu) dan telah mula dijual sejak 8 Disember lalu.
Persoalannya kini, mampukah Primadona hebat Erra Fazira, Ratu Pop Negara Ziana Zain dan Dato’ Awie kembali menggegarkan pentas seperti mana mereka melakukannya 32 tahun lalu? Jawapannya hanya satu, semuanya bakal terjawab pada malam 7 Februari nanti.


.png)
.png)
.png)


0 Ulasan