JANUR IRENG: THE PREQUEL TO SEWU DINO KETAKUTAN PENUH TRAGIK!

Pembukaan sinema Indonesia di Malaysia kali ini memilih Janur Ireng: Sewu Dino The Prequel sebagai permulaan sebuah kisah seram tragedi yang pasti menggugah emosi penonton dan peminat filem seram dari seberang. Filem prekuel ini membawa penonton menyelami asal-usul sumpahan 1,000 hari dengan pendekatan lebih gelap, ganas, dan sarat emosi. Sekali lagi diarahkan oleh Kimo Stamboel, naskhah ini tidak memilih jalan selamat, sebaliknya tampil berani sebagai karya seram tragedi yang menonjol dengan identiti tersendiri.

Filem ini mengisahkan dua beradik, Sabdo dan Intan, yang hidup serba kekurangan namun saling bergantung antara satu sama lain. Tragedi menimpa apabila rumah peninggalan ibu bapa mereka musnah dalam satu kebakaran. Dalam keadaan terdesak, mereka menerima bantuan Arjo Kuncoro, seorang lelaki misteri yang mengaku sebagai bapa saudara dan menjemput mereka tinggal di rumah agam milik keluarganya.

Namun, perlindungan yang dijanjikan bertukar menjadi mimpi ngeri. Rumah keluarga Kuncoro menyimpan rahsia gelap dan ritual kuno yang perlahan-lahan menghancurkan kewarasan Sabdo dan Intan. Intan kerap diganggu kelibat aneh di biliknya, manakala Sabdo dipaksa menjalani upacara ganjil yang bertentangan dengan nalurinya. Kepercayaan lama bahawa kedua-dua beradik ini tidak boleh disatukan kerana berpotensi memiliki kuasa luar biasa menjadi pencetus obsesi dan kerakusan Arjo Kuncoro. Kekayaan hanyalah umpan, sedangkan rumah mewah itu sebenarnya permulaan kepada malapetaka. Satu-satunya jalan untuk memutuskan rantaian teror tersebut ialah santau paling berbahaya di tanah Jawa, dikenali sebagai Janur Ireng.

Dari sudut visual, Janur Ireng tampil lebih ekstrem berbanding Sewu Dino (2023). Sejak awal, filem ini memaparkan unsur seram berdarah secara terang-terangan melalui adegan penyeksaan, limpahan darah dan keganasan yang menguji ketahanan mental penonton. Sentuhan pengarahan Kimo Stamboel jelas terserlah melalui penggunaan bunyi kejutan yang kuat dan visual yang tidak ditapis, menjadikan naskhah ini sesuai untuk penonton matang berusia 18 tahun ke atas.

Walaupun sarat dengan keganasan, kekuatan utama Janur Ireng terletak pada penceritaan yang realistik dan berteraskan emosi. Dengan durasi sekitar 90 minit, naratif dibina secara perlahan tetapi menekan, memberi ruang kepada penonton memahami trauma, ketakutan dan konflik dalaman watak sebelum kisah seram mencapai kemuncaknya.


Marthino Lio dan Ratu Rafa memberikan persembahan mantap sebagai Sabdo dan Intan, menampilkan hubungan adik-beradik yang rapuh namun penuh kebergantungan emosi. Tora Sudiro pula muncul sebagai kejutan utama apabila berjaya melepaskan imej komedi dan menampilkan watak Arjo Kuncoro dengan penuh dingin, kejam dan mengancam emosi penonton. Penampilan Faradina Mufti dan Karina Suwandi turut memperkukuhkan mitologi Sewu Dino, sekali gus membuka ruang naratif yang lebih luas untuk kesinambungan francais ini.

Dari aspek teknikal dan rekaan produksi, penonton dibawa menyelami suasana menyeramkan di rumah Kuncoro. Rekaan rumah yang suram, pencahayaan yang menekan emosi, penggunaan latar muzik dan kesan visual yang menyeramkan berjaya membangkitkan rasa takut secara langsung. Bayangan gelap yang muncul seolah-olah menceritakan kisah entiti hidup yang menyimpan rahsia silam, membuat penonton berasa seolah-olah terperangkap di rumah itu sendiri.

Menariknya, naratif filem ini disusun dengan kemas dan dibantu oleh lakonan mantap para pelakon. Ia mengingatkan penonton kepada karya seram ikonik seperti Sukma dan Gundik lakonan Luna Maya, yang berjaya mengekalkan elemen ketegangan dan kejutan.


Secara keseluruhan, Janur Ireng: Sewu Dino The Prequel merupakan karya seram yang berani, kejam dan sarat tragedi. Ia mungkin tidak sesuai untuk semua penonton, terutamanya mereka yang sensitif terhadap visual berdarah. Namun bagi peminat filem seram tegar, naskhah ini adalah tontonan wajib, menawarkan kisah berakar budaya Jawa dengan nuansa epik tragedi.

Janur Ireng: Sewu Dino The Prequel ditayangkan di pawagam bermula 1 Januari 2026.

4/5 wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan