Penyanyi Amir Masdi, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air apabila persembahan Winds of Glory: AM: PM dan SPWinds In Concert yang dipentaskan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi, mendapat perhatian serta pujian daripada Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Konsert berkenaan berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,700 penonton, sekali gus mencerminkan sambutan hangat terhadap kolaborasi istimewa Amir bersama Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds).
Amir berkata, maklum balas positif yang diterima itu memberi makna besar buat dirinya, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada seorang pemimpin negara yang disegani.
“Bagi saya, penghargaan ini bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi mewakili seluruh tenaga kerja di belakang tabir termasuk SPWinds dan pasukan produksi,” katanya.
Pada masa sama, Amir menekankan bahawa kekuatan persembahan tersebut lahir daripada keserasian antara vokal dan susunan muzik orkestra yang menjadi nadi utama konsert berkenaan.
Menyentuh soal persediaan, beliau menjelaskan setiap elemen diberi perhatian teliti bagi memastikan persembahan yang disajikan mencapai tahap terbaik, terutama dengan kehadiran tetamu kenamaan.
“Kami memberi fokus kepada semua aspek termasuk nyanyian, susunan muzik, visual dan cara berinteraksi di pentas supaya keseluruhan persembahan tampil lebih menyeluruh dan berkualiti,” ujarnya.
Antara segmen yang mencuri perhatian ialah persembahan lagu Azizah, karya malar segar nyanyian P. Ramlee, yang dipilih bersempena citarasa Perdana Menteri.
Walaupun bukan dalam senarai kebiasaan, Amir mengambil inisiatif untuk mendalami lagu tersebut sebelum mempersembahkannya dengan olahan muzik baharu bersama SPWinds.
“Kami cuba beri nafas berbeza pada lagu itu. Ia satu cabaran, tetapi memberi kepuasan apabila diterima dengan baik,” katanya.
Konsert berkenaan bukan sahaja mengetengahkan keupayaan vokal Amir, malah memperlihatkan keindahan gabungan muzik berorkestra yang disusun rapi, sekali gus menawarkan pengalaman persembahan bertaraf tinggi kepada penonton.
0 Ulasan