EXISTS HIMPUN TUJUH ANGGOTA LENGKAP DALAM KONSERT MEMENTO MORI

Selepas lebih tiga dekad mencipta nama dalam industri muzik Nusantara, kumpulan legenda era 90-an, Exists, bakal mengubati kerinduan peminat menerusi penganjuran Konsert Exists Memento Mori pada 1 Ogos depan di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Konsert berskala besar itu menandakan kemunculan semula Exists dalam persembahan mega selepas kali terakhir tampil menerusi Konsert Exists Reunion pada 2019 di Shah Alam dan Singapura.

Mengangkat frasa Latin Memento Mori yang membawa maksud menghargai setiap detik kehidupan, konsert berkenaan menjadi refleksi perjalanan panjang kumpulan itu sejak mencipta fenomena menerusi lagu Untukmu Ibu, sebelum melalui fasa suram dan kembali bangkit dengan karya malar segar yang terus mendapat tempat di hati peminat.

Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, berkata penganjuran konsert itu adalah sebagai penghargaan terhadap legasi Exists yang kekal relevan meskipun industri hiburan berdepan perubahan ketara.

“Mengekalkan usia 35 tahun dalam industri hiburan, khususnya dalam beberapa dekad kebelakangan ini dengan pasaran yang tidak menentu, bukan sesuatu yang mudah. 

"Namun Exists, seperti maksud namanya, terus wujud dan bertahan walaupun pernah melalui fasa redup. Mereka kembali relevan bukan sekadar kerana sikap, tetapi juga kekuatan karya berkualiti yang dihasilkan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan konsert berkenaan sebagai simbol legasi yang akan terus hidup walaupun masa berlalu.

“Satu hari nanti kita semua pasti akan pergi, tetapi apa yang ditinggalkan ialah legasi muzik, semangat dan ‘brotherhood’ sebuah band yang akan terus didendangkan,” katanya.

Istimewanya, Konsert Exists Memento Mori bakal menyatukan barisan lengkap tujuh anggota utama iaitu Ajai, Shah, Ujang, Along dan Musa bersama dua vokalis, Mamat serta Ezad, sekali gus menampilkan gandingan istimewa yang jarang disaksikan di satu pentas.

Mewakili kumpulan itu, pemain keyboard, Ajai, menyifatkan konsert berkenaan sebagai satu bentuk penyatuan bukan sahaja dari sudut muzik, tetapi juga persahabatan yang terjalin sekian lama.

“Kalau kita lihat beberapa tahun kebelakangan ini, Exists seolah-olah disatukan semula dalam erti persahabatan, bukan saja pada muzik.

“Jadi saya harap malam 1 Ogos nanti menjadi tanda ingatan, malah boleh dianggap sebagai sebuah ‘reunion’ bukan sahaja untuk kami, tetapi juga peminat yang membesar bersama lagu-lagu Exists,” katanya.

Konsert yang dijangka berlangsung selama tiga jam itu bakal menghimpunkan lebih 25 lagu popular yang bersifat ‘sing along’, sekali gus menjanjikan pengalaman penuh nostalgia buat peminat pelbagai generasi.

Tiket konsert ditawarkan pada harga RM228 (Untukmu Ibu), RM288 (Mencari Alasan), RM328 (Langkah Seiringan), RM388 (Seperti Dulu), RM428 (Rahsia Pohon Cemara), RM488 (Percayakan Siti) serta pakej eksklusif RM5,000 (Jesnita – sofa berpasangan).

Jualan tiket akan mula dibuka pada 30 April, jam 11 pagi menerusi platform Ticket2U.

Catat Ulasan

0 Ulasan