Platform sukan tempur dari Indonesia, BYON, melakar sejarah apabila buat pertama kalinya memilih Malaysia sebagai lokasi debut antarabangsa menerusi penganjuran BYON Combat Showbiz 7 yang dijadual berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur pada 25 April ini.
Dibawakan menerusi kerjasama strategik bersama Kharisma Music International, acara berkenaan dijangka menarik kehadiran lebih 3,000 penonton selain mencuri perhatian peminat sukan tempur serantau susulan kejayaan besar yang diraih BYON di Indonesia sebelum ini.
Sebagai platform sukan tempur 360 darjah, BYON tampil dengan konsep menggabungkan aksi pertarungan berintensiti tinggi merangkumi disiplin seperti tinju dan kickstriking bersama elemen hiburan berskala besar, sekali gus meletakkan jenama itu sebagai antara peneraju baharu dalam industri berkenaan.
Rekod penganjuran terdahulu turut mengukuhkan pengaruh BYON apabila mencatat lebih 536,000 pembelian Pay-Per-View (PPV) di platform Vidio selain meraih ratusan juta tontonan digital.
Edisi ketujuh kali ini dijangka menjadi tumpuan apabila menampilkan barisan petarung elit dari Malaysia dan Indonesia dengan perlawanan ulangan antara Putra Abdullah dan Ronal Siahaan sebagai kemuncak acara.
Pertembungan itu yang sebelum ini berakhir dengan keputusan seri akibat kecederaan selepas lima pusingan dijangka berlangsung lebih sengit, dengan kedua-dua petarung membawa misi membuktikan keunggulan masing-masing bagi merebut gelaran sulung Byon Kickstriking Asia Title.
Selain itu, aksi ulangan Fahri Alamsyah menentang Kabilan Jelevan turut dijangka mencuri perhatian, manakala perebutan ICB International Belt antara juara bertahan Nidal Mahmoud dan pencabar Adam Maulana menjanjikan pertembungan menarik antara pengalaman dan semangat baharu.
Pertarungan membabitkan Ammarul Shafiq dan Haris Sofyan pula diramal menjadi antara aksi paling agresif, selain pertembungan wanita antara Winona Karamoy dan atlet Muay Thai negara, Emmabel Cassandra, yang dijangka menampilkan variasi teknik dan strategi di gelanggang.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music International, Ahmad Jeffny, berkata pihaknya berbangga dapat membawa acara bertaraf antarabangsa itu ke Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada perkembangan baharu industri sukan tempur tempatan.
“Penganjuran ini bukan sekadar acara sukan tempur, sebaliknya satu pengalaman hiburan menyeluruh yang mampu memperkenalkan dimensi baharu kepada peminat tempatan serta merapatkan jurang antara atlet serantau,” katanya.
Kemasukan BYON ke pasaran Malaysia dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri sukan tempur negara, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf global.
Sebagai rakan OTT rasmi, Vidio akan menyiarkan acara ini secara eksklusif menerusi platform PPV kepada penonton di Malaysia, Indonesia dan pasaran antarabangsa lain.
Tiket bagi menyaksikan acara ini boleh didapati secara dalam talian dengan harga antara RM75 hingga RM650, manakala akses PPV ditawarkan pada harga RM17 bagi penonton di Malaysia.


.jpg)


0 Ulasan