MAGIS DUA ERA SALAMIAH HASSAN & ATILIA HARON

Walaupun berada dalam lapangan seni yang sama, penyanyi Atilia Haron dan Salamiah Hassan buat pertama kalinya bakal berkongsi pentas pada 16 Ogos depan. 

Memilih Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai lokasi utama persembahan, Konsert Gelombang Bahagiaku akan menggabungkan pasangan anak beranak antara penyanyi legenda Salamiah Hassan dengan anaknya Atilia Haron. 

Lebih daripada sekadar konsert, Gelombang Bahagiaku ialah simfoni kasih dua wanita luar biasa antara anak dan ibu yang dipertemukan oleh darah, disatukan menerusi rasa cinta, seterusnya diterjemahkan melalui muzik yang bergema. Inilah satu kekuatan yang tiada tandingannya.

Istimewanya, Salamiah Hassan dan Atilia Haron akan berpadu suara mempersembahkan beberapa seleksi lagu-lagu terbaik dari era zaman awal kemunculan mereka merangkumi lagu solo dan duet terbaharu.

Dibawakan khas oleh Mujik Wand Production, Konsert Gelombang Bahagiaku akan menjadi momen bersejarah Salamiah sepanjang lima dekad di dalam industri muzik tanah air.

Salamiah Hassan, 74, berkata penganjuran konsert ini adalah bagi mengimbas kembali nostalgia dua era sekali gus berkongsi muzik buat generasi muda melalui seleksi lagu-lagu popular Salamiah yang pernah dirakamkannya pada tahun 1970-an.

"Saya sebenarnya mahu peminat muzik terutamanya generasi muda tahu bagaimana sesebuah karya lagu itu dirakamkan. Pembikinan naskhah muzik dahulu sedikit berbeza daripada zaman kini. Ada di antara lagu yang tidak pernah saya nyanyikan, akan saya persembahkan pada malam tersebut.

"Walaupun genre muzik kami berdua berbeza tetapi misi kami sama iaitu mahu meraikan muzik melalui dua era agar setiap pendengar dan peminat merasai bagaimana kami bermula dahulu sehingga ke hari ini, Ada yang istimewa akan kami berdua persembahkan. Jadi sebagai peminat muzik, wajib tonton dan hadirkan diri ke sini untuk merasai bagaimana bunyi bersatu dengan muzik yang dilagukan," katanya.

Impian Anak Yang Menjadi Nyata


Namun bagi Atilia, konsert ini bukan sekadar satu projek seni, tetapi merupakan penghormatan jiwa terhadap insan yang paling dikasihi, ibunya.

This is a dream come true for me! Sejak kecil, saya teringin menjadi seperti ibu saya. Peluang dapat berkongsi pentas yang hebat bersama beliau membuatkan saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia!," kongsi Atilia dengan penuh rasa syukur.

Melihat perjalanan seni ibunya sejak kecil, kini Atilia berasa diberi peluang yang amat bermakna untuk menyatakan rasa cinta dan penghargaan secara langsung melalui pentas dan lagu, bersama wanita yang paling berjasa dalam hidupnya.

Dua Generasi, Satu Nada Cinta


Konsert Gelombang Bahagiaku bukan sekadar menyatukan dua vokal yang berbeza latar muziknya, tetapi turut menggabungkan dua dunia, dua generasi dan dua jiwa yang berpadu dalam satu nadi iaitu muzik.

“Saya sangat teruja. Walaupun cara nyanyian kami berbeza, saya percaya ia akan menjadi gabungan yang cukup istimewa buat para penonton. Ini adalah kali pertama saya dan Atilia berkongsi pentas berskala besar, dan saya sangat bersyukur, di atas kesempatan yang diberikan,” kata Salamiah Hassan yang meraikan ulang tahun ke-55 dalam dunia seni menerusi projek khas Salamiah Hassan: #Legacy – Celebrating 55 Years in Music.”

Duet Pertama Anak & Ibu – “Age Is Just A Number’


Antara detik paling dinantikan ketika konsert nanti adalah persembahan duet pertama mereka “Age Is Just A Number”, sebuah lagu baharu yang menyampaikan mesej positif tentang kehidupan, kematangan dan keberanian menjadi diri sendiri tanpa mengira usia.

“Lagu ini merupakan refleksi kami berdua; dua wanita berdikari yang melakukan perkara yang kami cintai dengan penuh kasih sayang dan semangat yang positif,” ujar Atilia.

Bahagia Itu Bila Menyanyi Bersama

Dalam persiapan menjelang konsert, detik yang paling dinantikan oleh Atilia adalah saat mereka berdua menyanyi sambil bertentang mata di atas pentas.

“Saya sangat menantikan detik magis apabila kami menyanyi bersama dan saling berpandangan di atas pentas. Saya yakin para penonton juga akan turut merasai keajaiban itu," kata Atilia penuh teruja.

Manakala bagi pelantun suara Menghitung Hari, Salamiah pula mengharapkan agar penonton dapat merasai sendiri jalinan kasih ibu-anak yang terpancar bukan sahaja dari nyanyian, tetapi juga dari getaran jiwa dua insan yang saling menyayangi.

“Saya bertuah kerana dapat berkongsi cinta terhadap muzik dengan anak sendiri. Kami berbeza, namun cinta kami terhadap seni menyatukan kami lebih dalam,” kata Salamiah penuh emosi.


Susah & Senang, Kita Tetap Satu


Dalam menjayakan konsert ini, Atilia dan ibunya tidak lari daripada cabaran. Namun atas semangat dan kepercayaan bersama, mereka nekad meneruskan impian ini walaupun bermula dengan usaha sendiri dan bantuan sahabat-sahabat terdekat yang percaya pada misi mereka.

“Sudah tentu ada cabarannya, tetapi sedikit demi sedikit, kami berjaya usahakannya akhirnya. This concert had to be done. Kami buat apa yang perlu sahaja dengan sokongan rakan-rakan. Syukur Alhamdulillah, ada yang percaya dan sudi membantu,” ujar Atilia jujur.

Untuk Semua Yang Mencintai Muzik & Keluarga


Konsert Gelombang Bahagiaku dijangka menjadi sebuah malam yang sarat dengan emosi, penuh kenangan indah dan persembahan yang menyentuh hati. Ia adalah hadiah buat mereka yang menghargai nilai keluarga, cinta yang tidak bersyarat dan muzik yang merentas zaman.

Atilia yang lahir dari rasa cinta Salamiah berharap penonton dan peminat muzik dapat menghadirkan diri untuk merasai bagaimana bunyi dan muzik itu bersatu dalam mewujudkan rasa cinta bersama. Inilah momen yang anda wajar nikmati selagi hayat dikandung badan.

Bagi anda yang ingin menyaksikan konsert ini, bolehlah mendapatkan tiket masuk dengan segera. Tiket-tiket berharga serendah RM150 (Silver), RM250 (Gold) dan Platinum (RM350) boleh di dapati di laman ticket2u sekarang.

Catat Ulasan

0 Ulasan