HONEY TRAP: PERISIK WANITA DALAM DUNIA POLITIK

Selepas kejayaan siri Kudeta pada tahun 2022, Astro Originals kembali menggegarkan dunia drama bersiri tempatan dengan karya terbaharu berjudul Honey Trap. Kali ini, penonton bakal dibawa menyelami sisi gelap dunia perisikan menerusi kisah seorang wanita hebat yang menggalas tanggungjawab besar dalam melindungi negara sekali gus berdepan dengan pengkhianatan, konflik dalaman dan ancaman yang tidak dijangka.

Honey Trap bukan sekadar drama thriller biasa. Ia tampil dengan nafas segar yang memadukan aksi mendebarkan, permainan kuasa, emosi yang kompleks serta perspektif feminin yang jarang disorot dalam genre ini.

Siri lapan episod bersama dua episod istimewa ini merupakan kesinambungan dari semesta fiksyen Masraya, yang mula diperkenalkan dalam siri Kudeta. Namun, penonton baharu tidak perlu risau kerana Honey Trap berdiri sendiri dengan naratif baharu dan watak utama yang sepenuhnya berbeza.

Perisik Wanita, Kuasa & Percintaan Dalam Dunia Bahaya

Menampilkan pelakon baharu Nina KSC sebagai Surya Gabriel, watak utama siri ini, penonton bakal mengenali seorang perisik wanita yang bukan sahaja bijak dan berani, tetapi juga menawan dan berjiwa besar. Dalam misinya membanteras kumpulan pemberontak, Surya perlu merekrut seorang aset yang memiliki kaitan rapat dengan pihak musuh. Namun, apabila hubungan mereka semakin rapat dan romantik mula berputik, Surya terperangkap antara tugas dan perasaannya ; sesuatu yang menggoncang integriti dirinya sebagai ejen rahsia.

Turut membintangi siri ini ialah barisan pelakon berbakat seperti Syarul Ezani, Ungku Ismail, Irfan Zaini, Ayez Shaukat Fonseka, Michael Chen, Chazzy Nash, Amyza Aznan, Eugene Ong, May June, Dai Fuad, Sefik Khair serta penampilan istimewa dari karakter asal Kudeta yang pasti membuat peminat tersenyum.

Diarah Pengarah Kudeta, Ilham Dari Kisah Peribadi

Imran Sheik kembali ke kerusi pengarah selepas kejayaan Kudeta, dan kali ini membawa pendekatan lebih mendalam dan peribadi. Beliau menjelaskan bahawa idea Honey Trap lahir daripada pengalaman menjaga ahli keluarga yang menghidap skizofrenia. Melalui watak Surya, beliau cuba mengetengahkan sisi manusiawi mereka yang bergelut dengan isu kesihatan mental namun tetap dipertanggungjawabkan dengan tugas besar sebagai ejen perisik.

“Saya tidak mahu mensensasikan isu kesihatan mental, tetapi saya ingin masyarakat memahami bahawa mereka yang mengalaminya juga mempunyai kekuatan luar biasa. Dalam watak Surya, kita nampak bagaimana seseorang boleh berfungsi sebagai perisik walaupun berdepan cabaran psikologi tersendiri,” katanya. 

Tambahnya lagi, cabaran terbesar produksi adalah menggambarkan dunia dalaman watak-watak ini secara jujur dan mendalam, tanpa menjejaskan elemen aksi dan thriller yang menjadi nadi utama siri ini.

Lebih Peribadi Berbanding Kudeta

Menurut Penerbit Eksekutif Honey Trap yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, siri ini mengangkat penceritaan yang lebih intim berbanding Kudeta, dengan fokus terhadap konflik dalaman, isu sosial dan keseimbangan kuasa.

“Kalau Kudeta lebih kepada skala besar seperti politik dan pentadbiran negara, Honey Trap lebih mendalam dan peribadi. Kami garap isu-isu seperti kesihatan mental di tempat kerja, manipulasi kuasa dan ketidakseimbangan struktur dalam organisasi. Ini sesuatu yang jarang diketengahkan dalam drama perisikan. Ia sangat relevan dan dekat dengan penonton hari ini,” katanya.

Kolaborasi Bersama Goodday Charge

Menariknya, siri ini turut menyaksikan kolaborasi ketiga antara Astro Originals dan jenama susu berkhasiat tempatan, Goodday Charge. Susu diperkaya dengan 10 nutrien penting itu menjadi rakan penaja utama dan terlibat dalam strategi pemasaran bersama termasuk video khas berdurasi 30 saat bersempena penayangan Honey Trap.

Tarikh Tayangan dan Cara Menonton

Honey Trap akan mula ditayangkan bermula 20 Jun 2025 di platform On Demand dan sooka tepat 12 tengah malam setiap Jumaat. Penonton juga boleh menonton di saluran Astro CITRA (108) pada hari yang sama jam 9.00 malam dan di Astro RIA (104) setiap Isnin, jam 9.00 malam.

Sebagai pembuka tirai, dua episod pertama akan tersedia untuk distrim pada hari pertama tayangan di On Demand.Jadi jangan ketinggalan!

Catat Ulasan

0 Ulasan