MIFFEST2025: SINEMA TANPA SEMPADAN

Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) kembali membuka tirai untuk edisi kelapannya dengan semangat yang lebih berani, segar dan global. Bakal berlangsung dari 19 hingga 27 Julai 2025, festival kali ini tampil dengan tema “Sinema Tanpa Sempadan”, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pentas utama bagi penceritaan dari pelusuk dunia.

Sebanyak 62 buah filem dari 48 negara dalam 43 bahasa akan menghiasi layar perak sepanjang festival. Penganjuran acara berprestij ini adalah bagi mencerminkan kepelbagaian suara sinema yang menjangkau batas geografi, budaya dan generasi.

Pembukaan Ikonik, Penutup Bermakna

MIFFest 2025 akan membuka tirainya dengan tayangan perdana ‘Ninavau’, sebuah karya tempatan yang meresapi warisan budaya Malaysia melalui naratif visual yang autentik dan menyentuh jiwa. Festival ini bakal melabuhkan tirai dengan ‘Transamazonia’, sebuah naskhah lintas benua yang mendalam dan emosional, mengangkat tema ketahanan manusia dalam menghadapi realiti perubahan iklim global.

Penghormatan Buat Legenda Asia

Sebagai sebuah festival yang meraikan nilai sejarah dan sumbangan seni, MIFFest 2025 menganugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada ikon sinema Hong Kong, Ti Lung, yang akan diraikan menerusi tayangan semula filem kultus “A Better Tomorrow” dalam segmen Master At Work.

Manakala pelakon versatil Indonesia, Reza Rahadian, bakal menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Filem atas jasanya memperkukuh sinema Asia Tenggara di persada antarabangsa. Reza yang membintangi hampir 62 buah filem dan beberapa buah drama di Indonesia, bakal hadir ke Malaysia dalam acara MiFFest2025 bagi filem Habibie & Ainun (2012) arahan Faozan Rizal. 

Menjulang Suara Tempatan dan Asia

Komitmen MIFFest terhadap filem tempatan dan serantau diterjemahkan melalui segmen seperti "Malaysian Dispatch" dan "Manifesto", di mana ianya menampilkan karya terbaru arahan Lau Kek Huat dan Azim Rizal. Ruang turut dibuka kepada pengarah baharu melalui segmen "Neon", termasuk filem puitis “Renoir” hasil sentuhan Chie Hayakawa.

Buat pencinta pengalaman sinema santai, MIFFest menghidupkan kembali tayangan luar ruang melalui program “Open-Air Cinema”, membawa filem ke tengah masyarakat yang dipertontonkan di ruang terbuka di bawah taburan bintang.

Fokus Global: Dari India ke Hong Kong

Edisi kali ini mempersembahkan retrospektif khas figura agung Bollywood, Raj Kapoor, serta memperkenalkan segmen baharu “Lenses of Indian Women Filmmakers”, menampilkan karya pengarah wanita seperti Rima Das.

Sementara itu, “Harbour of Stories: Hong Kong On Screen” menyorot lima naskhah sinematik berani yang melangkaui pemikiran dengan karya merentas global sejagat.

Jalinan Kolaboratif Serantau dan Dunia

MIFFest mengukuhkan peranan diplomatik budayanya menerusi kerjasama strategik, termasuk “MIFFest x EUFF” bersama Festival Filem Kesatuan Eropah. Tayangan pembukaan segmen ini dimulakan dengan “Year of the Widow”, sebuah karya yang memprovokasi pemikiran.

Segmen ASEAN On Screen pula menjadi medan bagi enam karya dari Asia Tenggara, disusuli sidang industri yang menyatukan pemain utama serantau termasuk Lee Dong Ha dan Saville Chan.

Kemuncak Gemilang: Malaysia Golden Global Awards 2025

Malam anugerah berprestij Malaysia Golden Global Awards (MGGA) bakal berlangsung pada 26 Julai di Zepp Kuala Lumpur, menyaksikan filem seperti “All That’s Left Of You” dan “My Friend An Delie” bersaing di pentas utama.

Barisan juri antarabangsa diketuai oleh pengarah pemenang Oscar, Asif Kapadia, serta diterajui bersama  Diana Danielle, Jennifer Yu, Rima Das dan Reza Rahadian. Penyertaan antara juri ini menjadikan penganjuran MIFFest sebagai antara festival terbaik tahun ini. 

Sokongan Industri & Peluang Baharu

MIFFest 2025 membuka lembaran baharu untuk pembikin filem melalui kerjasama bersama Oceanus Media Global, True Colour Media dan Iskandar Malaysia Studios, dengan pelancaran geran produksi ASEAN bernilai RM1 juta buat pembikin filem terbaik untuk menghasilkan pelbagai karya berkualiti tinggi dan mampu merentasi sempadan negara. 

Tawaran Eksklusif Tiket

Tiket MIFFest Movie Pass boleh didapati pada harga serendah RM49.99, manakala pelajar dan pengamal media layak memohon akreditasi percuma. Pemegang kad Hong Leong Bank pula menikmati harga istimewa RM39.99.

Raih Pengalaman Sinematik Bertaraf Dunia

MIFFest 2025 bukan sekadar festival, tetapi ianya adalah perayaan global terhadap kuasa sinema dalam menyatukan perbezaan dalam menyampaikan kebenaran manusia melalui naratif visual dan penceritaan. Dari 19 hingga 27 Julai, layar MIFFest menanti untuk mengajak anda melihat dunia dari kaca mata pembikin filem.

Untuk maklumat lanjut dan jadual tayangan, layari: www.miffest.com.my atau ikuti MIFFest di Facebook, Instagram dan TikTok.

Come See a Film, Come See the World.

Catat Ulasan

0 Ulasan