AISHA RETNO BANGKIT KEMBALI

Dalam dunia hiburan yang kerap didominasi oleh pencarian glamor pantas dan kandungan tular, penyanyi dan penulis lagu berbakat, Aisha Retno, memilih untuk tampil dengan keberanian yang tulus dan jujur.

Setelah melalui pelbagai ujian yang sedikit sebanyak mencabar kredibilitinya sebagai seorang anak seni, Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, kini bersedia membuka lembaran baharu menerusi showcase istimewa pada 20 September 2025.

Anak kepada penyanyi legenda Indonesia, Jean Retno Aryani, Aisha bakal meraikan tujuh tahun pembabitan dalam industri muzik tanah air menerusi sebuah persembahan yang bukan sekadar konsert, tetapi sebuah pengalaman peribadi yang mendalam.

Berjudul The A.I.S.H.A Experience, acara yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025, jam 8.00 malam di Jio Space, Petaling Jaya ini melambangkan permulaan fasa baharu dalam kerjayanya — fasa yang terbit daripada luka, bangkit melalui penyembuhan, dan kini bersinar dengan keyakinan baharu.

Mengakui pernah mengalami trauma terhadap persembahan pentas akibat kecaman dan tekanan emosi, Aisha kini kembali dengan semangat yang lebih kuat.

“Dulu saya takut sangat nak buat konsert. Ada masa saya trauma. Sampai saya terfikir nak berhenti menyanyi. Tapi sekarang saya lebih kuat, lebih bersedia. Showcase ini umpama titik temu antara keberanian saya dan peminat yang sentiasa ada,” ujarnya semasa majlis pelancaran EP terbaharu Rehab di Hyatt Centric, Kuala Lumpur.

Sepanjang persembahan tersebut, Aisha akan menyampaikan deretan lagu hit seperti Sutera, Tak Adil, Terbang, serta beberapa karya eksklusif yang belum pernah didendangkan secara langsung. The A.I.S.H.A Experience dijangka menjadi malam yang penuh dinamik dan emosi, mempamerkan keindahan vokal, kekuatan penulisan lagu serta ekspresi jiwa yang mendalam sekali gus menterjemahkan muzik sebagai nadi yang menyatukan rasa.

Dari Juara Rookie ke Panggung Dunia

Walaupun masih dianggap pendatang baharu oleh sesetengah pihak, rekod pencapaian Aisha membuktikan sebaliknya. Bermula sebagai Juara Rookie dalam Vokal Mania (TV3, 2020), Aisha terus melebarkan sayap dengan menyandang tempat ketiga di Big Stage 2022 dan naib juara Anugerah Juara Lagu ke-38 menerusi Sutera.

Lebih membanggakan, beliau turut mewakili Malaysia dalam Java Jazz Festival di Indonesia serta menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York menerusi kempen EQUAL oleh Spotify — satu pengiktirafan besar buat artis Malaysia.

Tahun 2025 pula menjadi fasa penting dalam kerjayanya dengan pelancaran sebuah album penuh yang menggabungkan elemen pop, R&B, goth-rock dan soul. Single terbaharunya Tak Adil membuktikan keberaniannya untuk bereksperimen dan keluar dari zon selesa.

“Ini bukan sekadar persembahan. Ini adalah pengalaman. Saya mahu peminat merasai setiap bait lagu yang saya tulis, setiap nota yang saya nyanyikan. Semua ini lahir daripada perjalanan emosi yang sebenar,” katanya lagi.

Sokongan Industri & Jualan Tiket

Showcase ini dianjurkan oleh LOL Asia, peneraju hiburan langsung serantau, Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia, Rizal Kamal memuji Aisha Retno sebagai seorang artis yang berpotensi besar untuk menjadi bintang masa depan dalam industri muzik Malaysia.

Menurutnya, Aisha bukan sahaja mempunyai dedikasi tinggi dalam memperjuangkan seni, tetapi juga memiliki mutu vokal yang mengagumkan serta karisma luar biasa ketika di atas pentas — satu kombinasi yang jarang dimiliki oleh artis muda masa kini.

Tiket untuk The A.I.S.H.A Experience akan mula dijual secara atas talian pada 31 Julai 2025, jam 12 tengah hari. 

Catat Ulasan

0 Ulasan