Di bawah pancaran lampu gemerlapan dan sorakan yang bergema memenuhi Arena of Stars, Genting Highlands, Universal Music Malaysia (UM) sekali lagi mengukir sejarah. Malam penuh prestij Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) menyaksikan Universal Music Malaysia merangkul 10 trofi kemenangan, sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai syarikat rakaman nombor satu di Malaysia . Ianya bukan sekadar penguasa carta, tetapi arkitek penting dalam membentuk landskap muzik tanah air.
Kemenangan bersejarah turut direkodkan menerusi lagu bertajuk Masing-Masing, hasil kolaborasi Ernie Zakri bersama Ade Govinda, yang bukan sahaja meraih anugerah Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, tetapi juga dinobatkan sebagai Lagu Paling Tinggi Distrim. Dalam masa yang sama, album Belagu II dari Dayang Nurfaizah, terbitan Aubrey Suwito, terus meneguhkan nilai seni klasik moden apabila dinobatkan sebagai Album Terbaik, sekali gus menerima pengiktirafan tambahan berupa Dana Kandungan Digital (DKK) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.
Malam AIM24 turut diwarnai dengan penghargaan tertinggi buat Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang menerima Anugerah Sri Wirama sebagai tanda pengiktirafan atas sumbangan beliau selama tiga dekad dalam mengangkat martabat muzik tanah air ke persada antarabangsa. Lebih istimewa, Siti juga adalah rakan kolaborasi Universal Music Malaysia melalui syarikat SN Legacy, sekali gus memberikan dimensi peribadi yang memperkukuh makna kemenangan tersebut.
Bagi Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata kemenangan di AIM24 adalah cerminan dedikasi tanpa henti syarikat rakaman itu dalam mengangkat bakat seni tempatan.
“Kejayaan ini bukti dedikasi kami dalam membentuk serta mengembangkan bakat tempatan agar mampu bersinar di pentas antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Ernie Zakri, yang menggondol dua anugerah berprestij pada malam itu, menzahirkan penghargaan penuh buat semua yang terlibat dalam menjayakan karyanya. Bagi Ernie, setiap kolaborasi antara pengkarya muzik bukan sekadar proses kreatif, tetapi cerminan identiti bersama yang melahirkan karya berkualiti, sarat makna, dan berpotensi meninggalkan jejak bersejarah dalam industri muzik tanah air.
"Kemenangan ini amat bermakna, bukan hanya buat saya tetapi buat seluruh pasukan kreatif yang menjayakan album Aura dan lagu Masing-Masing. Ia bukti bahawa muzik Malaysia mampu menembusi pasaran serantau. Terima kasih Universal Music Malaysia, AIM24 dan semua peminat yang terus menyokong," katanya.
Malam AIM24 tidak hanya menjadi pentas pengiktirafan, tetapi turut bertukar menjadi perayaan seni dengan persembahan memukau yang meninggalkan jejak emosional pada penonton. Antara sorotan utama, DOLLA tampil penuh bertenaga bersama Tobii dari Def Jam Thailand, diikuti kolaborasi lintas negara antara Ernie Zakri dan Anggi Marito, sebelum suasana dipenuhi keharuan menerusi persembahan syahdu Ernie bersama Ade Govinda. Setiap detik membuktikan bahawa muzik bukan sekadar bahasa sejagat, tetapi denyut nadi yang menyatukan Nusantara dalam satu harmoni.
Sementara itu, Faizal Tahir terus membuktikan pengaruhnya apabila membawa pulang empat kemenangan besar di AIM24, termasuk Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik bersama Datuk M Nasir menerusi Campak Bintang dan Lagu Perpaduan Terbaik dengan Bendera. Bagi Faizal, muzik bukan sekadar karya seni, tetapi sebuah amanah yang harus dijaga.
"Bagi saya, muzik adalah medium dan amanah untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Apa yang lebih penting adalah mesej itu sampai dan menyentuh hati yang mendengar.
"Saya harap kejayaan ini boleh jadi inspirasi untuk generasi baru pencipta muzik tempatan. Berkarya itu tiada sempadan. Maka berkaryalah dengan keyakinan. Berkaryalah dengan tujuan. Sepertimana dengan kehidupan, sebuah mahakarya yang tiada tandingan," katanya.
AIM24 juga menjadi pentas bersejarah bagi wajah-wajah baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi dan Firdaus Rahmat, yang diraikan buat pertama kalinya di gelanggang penuh prestij. Kemunculan mereka menandakan kesinambungan generasi, serta harapan baharu untuk masa depan industri muzik tanah air.
Lebih daripada sekadar malam pengiktirafan, AIM24 tampil sebagai simbol evolusi muzik Malaysia dalam menghubungkan warisan dengan pembaharuan, mengangkat bakat legenda sambil melahirkan generasi pelapis. Satu perkara terserlah: muzik Malaysia kini sedang melakar babak penting yang akan dikenang dalam kanon seni tanah air.



0 Ulasan